DOA TOLAK PENYAKIT BERJANGKIT

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria,

Empat hari lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Virus ini telah menjangkiti lebih lebih 156,000 orang di 142 buah negara dan meragut 5,819 nyawa setakat jam 7.30AM waktu Malaysia, bahkan angka ini terus meningkat.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk merawat mereka yang telah dijangkiti malah yang lebih utama membendung ia dari terus merebak. Antaranya mendidik masyarakat menjaga kebersihan khasnya tangan dan peralatan yang digunakan. Menyekat perjalanan pesakit atau mereka yang di syaki mengidap dengan arahan kuarantin. Mengesan individu yang pernah ada direct contact dengan pesakit. Mengkaji sejarah perjalanan pesakit sebelum dijangkiti dan setelah terkena. Walaupun begitu tidak semua usaha tersebut berjaya dilaksanakan 100%, malah yang telah maksimum pengawalannya secara lahir pun ia kelihatannya tetap merebak hingga ke Itali dan Iran yang terjejas teruk walaupun berjarak ribuan km dari China.

Sebagai umat Islam, selain dari usaha-usaha rawatan dan pencegahan, sangat perlu diusahakan agar hati umat ini didekatkan kepada Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang mencipta segala yang ada. Yang lahir dan yang halus seni. Allah Maha segala-galanya.

Antara amalan yang baik dilakukan untuk menyelesaikan masalah yang telah menjadi ancaman bersama seperti penyakit berjangkit adalah dengan doa cara bertawassul. Ia pernah dilakukan oleh sahabat Rasulullah ketika berhadapan dengan kemarau panjang yang menyeksa semua makhluk.

Saiyidina Umar bin Al-Khattab RA bertawasul melalui Saiyidina Abbas RA, bapa saudara Rasulullah SAW ketika terjadi kemarau yang panjang pada tahun 18 H sehingga tanah menjadi berdebu kerana kekeringan. Kemarau panjang itu berlaku sehingga sembilan bulan lamanya. Maka orang ramai mengadu mengadu kepada Saiyidina Umar bin Al-Khattab lalu lalu beliau bertawasul melalui Saiyidina Abbas RA.

‎وَعَنْ أَنَسٍ; – أَنَّ عُمَرَ – رضي الله عنه – كَانَ إِذَا قَحِطُوا يَسْتَسْقِي بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ اَلْمُطَّلِبِ. وَقَالَ: اَللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَسْتَسْقِي إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا, وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا، فَيُسْقَوْنَ – رَوَاهُ اَلْبُخَارِيُّ

Ertinya, “Dari Saiyidina Anas RA, Amirul Mukminin Umar bin Al-Khatthab RA ketika masyarakat mengalami kemarau yang panjang bertawasul dalam istisqa (meminta turun hujan) melalui Saiyidina Abbas bin Abdul Muthalib RA. Saiyidina Umar RA dalam doa istisqanya mengatakan,

“Ya Allah, kami telah bertawassul kepadaMu dengan Nabi kami, maka Engkau telah turunkan hujan dan sekarang kami bertawasul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkanlah hujan, maka diturunkan hujan ke atas mereka.”

-Riwayat Bukhari.

Saiyidina Umar terkenal mempunyai pemikiran yang tajam malah banyak kali setelah beliau kemukakan pandangannya, maka turun ayat Al-Quran membenarkan pendapatnya. Antaranya;

1. Menjadikan Makam Ibrahim sebagai tempat sembahyang.

2. Hijab untuk para isteri Nabi SAW.

3. Ketika isteri-isteri Nabi saling cemburu, termasuk puteri Saiyidina Umar, Saiyidatina Hafsah, Saiyidina Umar memberikan nasihat kepadanya supaya jangan cemburu kerana Nabi boleh menceraikannya dan Allah boleh gantikan dengan isteri yang lebih baik darinya.

4. Tawanan Badar.

5. Pengharaman arak.

6. Ketika turun ayat “wa laqad khalaqnal insana min tsulalatin min tin”, umar berkata: “fa tabarakallahu ahsanal khaliqin”. Kemudian turunlah akhir surat al-Mu’minun ayat 19 sebagaimana diucapkannya. Begitulah hebatnya Saiyidina Umar.

Oleh itu apabila Saiyidina Umar RA bertindak bertawassul dengan bapa saudara Nabi ketika musim kemarau yang mencengkam sudah pasti inilah pendapat yang terbaik serta mendapat restu Allah maka Allah datangkan hujan dengan berkat Saiyidina Abbas RA melalui tawassul Saiyidina Umar RA.

Begitulah umat Islam mengambil panduan, pedoman dan contoh dari pemimpin mereka yang bertakwa sewaktu susah dan senang. Maka ketika umat Islam malah seluruh manusia berada dalam kesulitan begini dalam menghadapi wabak corona, apa yang patut mereka lakukan?

Sebenarnya ada satu doa yang telah lama diamalkan oleh umat Islam Ahli Sunnah wal Jamaah dalam menolak wabak penyakit berjangkit. Ia adalah doa bertawassul dengan menyebut nama-nama ahli bait Rasulullah SAW. Doa tersebut amat mujarab. Lafaznya seperti berikut:

لي خمسة أطفي بها حرّ وباء الحطمة

المصطفى والمرتضى وابناهما مع فاطمة

Ia juga dikenali sebagai doa tawassul dengan Ahlil Bait yang lima yang juga dikenali sebagai Ahlul Kisa (أهل الكساء).

Doa tawassul ini masyhur diamalkan iaitu doa tawassul dengan Ahlul Bait yang lima (Ahlul Kisa’). Mereka adalah baginda Rasulullah SAW, Saiyidina Ali RA, cucu baginda; Hasan dan Husain juga puteri baginda; Saiyidatina Fatimah.

Diriwayatkan ketika turun ayat Al-Quran:

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Terjemahannya:

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Surah Al-Ahzab: 33

Diriwayatkan oleh Imam At Tirmizi dalam sunannya;

عن عمر بن أبي سلمة ربيب النبي صلى الله عليه و سلم قال لما نزلت هذه الآية على النبي صلى الله عليه و سلم { إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا } في بيت أم سلمة فدعا فاطمة و حسنا و حسينا فجللهم بكساء و علي خلف ظهره فجللهم بكساء ثم قال اللهم هؤلاء أهل بيتي فأذهب عنهم الرجس وطهرهم تطهيرا قالت أم سلمة وأنا معهم يا نبي الله ؟ قال أنت على مكانك وأنت على خير

Dari Umar bin Abi Salamah, anak tiri Nabi SAW yang berkata “Ayat ini turun kepada Nabi SAW di rumah Ummu Salamah, kemudian Nabi SAW memanggil Fatimah, Hasan dan Husain dan menutup mereka dengan kain dan Ali berada di belakang Nabi SAW, baginda juga menutupinya dengan kain. Kemudian baginda SAW berkata “Ya Allah merekalah Ahlul Baitku, maka hilangkanlah dosa dari mereka dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya. Ummu Salamah berkata “Apakah Aku bersama mereka, Ya Nabi Allah?. Beliau berkata “Kamu tetap pada kedudukanmu sendiri dan kamu dalam kebaikan”.

Maka seorang ulama sufi telah menyusun doa tawassul dengan susunan syair yang menarik

لِي خَمْسَةٌ أُطْفِي بِهَا حَرَّ وَبَاءِ الْحُطَمَةِ

اَلْمُصْطَفَى وَالْمُرْتَضَى وَابْنَاهُمَا مع فَاطِمَة

LII KHAMSATUN UTFI BIHA, HARRA WABA’ IL HUTOMAH

AL MUSTAFA WAL MURTADHA WAB’NAA HUMA MA’ FATIMAH.

“Ada bagiku lima orang dengannya aku memadamkan kepanasan penyakit berjangkit, mereka itu ialah Muhammad Al Mustafa (yang terpilih), Ali Al Murtadha (yang diredhai) dan kedua anak mereka (Hasan dan Husain) bersama Siti Fatimah.”

Penyusunnya bernama Imam Muhammad Al Faqih Muqaddam (574-653H). Beliau berketurunan Rasulullah SAW dari jalur Saiyidina Hussain RA, aqidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah Al Asy’ariah, bermazhab Syafie dan bertarekat Ba’alawi atau Alawiyyin. Moga Allah meninggikan darjat beliau di akhirat. Orang yang menuduh doa ini dari Syiah sepatutnya malu dengan diri sendiri. Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaahlah yang paling benar-benar mencintai Rasulullah dan Ahli Bait tanpa kepentingan.

Doa ini bukan sahaja menjadi amalan para Wali Songo di Nusantara malah ada seorang ulama terkenal Ahli Sunnah wal Jamaah Iaitu Al-Qadhi Syeikh Yusuf bin Ismail An-Nabhaani (1265-1350H) di dalam kitabnya Sa`aadatud Daarain mukasurat 627 menyatakan:

Bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah wabak.

Maksud mujarrab ialah telah dicuba dan didapati berkesan. Ia juga menjadi amalan di seluruh nusantara khasnya dalam jemaah Darul Arqam (1968-1994M).

Oleh itu, alangkah baiknya jika kita dapat memohon dengan Allah melalui keberkatan kekasih-kekasihnya dengan mengamalkan doa ini 7 kali setiap usai menunaikan sembahyang fardhu 5 waktu agar dengan keberkatan mudah-mudahan wabak Covid-19 ini berhenti merebak dan kita kembali menjalani kehidupan seperti biasa tetapi bertambah takut dengan Tuhan yang Maha Berkuasa.

Ikhwan Resort Air Bintan

9.03 AM, Mac 15, 2020

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

4 comments

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *