Kluster Gaharu GISBH

Kongsikan kepada yang lain
Share
Sila klik untuk tonton video


Salam ceria.

GISBH baru bertemu seorang usahawan gaharu. Tok Ipin atau MR. SOL. Melaluinya GISBH dapat berkenalan dengan seorang lagi usahawan gaharu yang Tok Ipin anggap sebagai gurunya dalam bidang gaharu iaitu Datuk Abdul Razak Ali. Sebelum itu mari kita kongsi info tentang gaharu.

Pokok gaharu ini nama sebenarnya dalam Bahasa Melayu, pokok karas. Bahan wangi yang dia hasilkan dipanggil gaharu.

Pokok Karas yang sihat tidak akan menghasilkan gaharu. Tak kira berapa pun umur pokok karas tersebut, kalau dia sihat, tak akan ada gaharu walaupun berusia puluhan tahun, hidup di tengah hutan belantara.

Pokok karas hanya menghasilkan gaharu apabila ia stres atau di sakiti. Contohnya Pokok Karas di hutan yang menghasilkan gaharu mungkin kerana pokok tersebut mengalami kerosakan atau kesakitan seperti terkena panahan petir atau dihempap pokok lain yang tumbang, dihempap dahan pokok yang patah atau mungkin juga diserang penyakit.

Apabila stres kerana cedera atau diserang penyakit, pokok karas akan menghasilkan cecair yang bertujuan melawan penyakit atau memulihkan dirinya. Cecair itulah nanti akan menjadi gaharu.

Pokok karas yang ditanam pula perlu disuntik dengan bahan-bahan tertentu untuk membuatkan pokok karas tersebut menghasilkan gaharu. Jadi, gaharu hanya akan terbentuk apabila pokok karas tersebut mengalami masalah kesihatan atau kecederaan.

Pengajaran yang kita dapat ialah, kalau betul didikan kepada seseorang, dengan kesusahan, cabaran, tekanan bila tepat didikan dengan dibawa kepada Allah dan Rasul, ia akan jadi peribadi mulia yang sangat memberi manfaat kepada manusia. Harum kisah hidupnya seperti bauan gaharu. Pohon karas yang disakiti menghasilkan gaharu yang wangi.

Tengoklah sejarah para Rasul dan Aulia Allah, penuh dengan ujian, kesakitan, penderitaan, caci maki dan hinaan manusia tetapi sangat indah kisah hidup mereka.

Kemudian, untuk menghasilkan gaharu dari pohon karas yang ditanam, ia memerlukan masa yang panjang. Paling kurang 7 tahun umurnya baru sesuai disuntik. 

Begitu juga melahirkan generasi yang bertakwa perlukan waktu yang panjang. Kadang-kadang belum sempat diuji oleh pemimpin, dia telah teruji dengan tugasan atau kawan-kawan juga keperluan kehidupan lalu ingin lari dari perjuangan. Nak jadi baik ni, bukan semudah menyediakan kudapan pagi. Pokok gaharu kalau tak sakit atau diuji, hanya melepaskan pucuk masing-masing. Bila diuji, menghasilkan haruman yang tinggi nilainya. Remaja yang tak dididik dengan teguran, nasihat, marah, tugas dan tanggung jawab hanya akan jadi ego pakaian diri. Memakai pakaian orang-orang soleh tetapi berperangai dengan sikap orang-orang jahat.

Sebab itu RPU yang boleh diharap atau ‘menjadi’ itu mahal. Sebab susah untuk melahirkannya seperti usaha menghasilan gaharu. 

Harga kayu gaharu mencecah RM20 segram. Harga minyak gaharu pula antara RM150 sehingga RM2,000 bagi tiga mililiter atau lebih. Mahalll tu. Harga pula bergantung pada gred kayu gaharu. Nilai RPU lagi mahal, kalau ‘menjadi’ la.

Lebih gelap struktur kayu gaharu, lebih tinggi kualiti dan semerbak bau dikeluarkannya. Semakin gelap warna kayu yang terhasil maka semakin bernilai ia. Malah kayu akan diracik-racik, diambil yang gelap sahaja. Ada yang putih tanpa nilai, dibuang begitu sahaja. Sebab itu menilai manusia pun jangan terikat kepada luaran semata-mata, yang putih cantik, hansome itu yang disangka berkualiti tetapi boleh je berlaku yang hitam mengelit itu yang suci hatinya dan banyak manfaatnya.

Beberapa hari lepas anjang berpeluang melawat BIOBENUA TEKNOLOGI SDN. BHD. dan bertemu direktornya Datuk Hj Abdul Razak Hj Ali. Orang Bakri, Muar rupanya. Kira orang kampung la dengan anjang sebab sama-sama Muo. Datuk kenal pula dengan En Karim Cikgu Md Yasin, orang kampung anjang. 1 classmate.

Rumah beliau di Lot A – 108, Kenanga Avenue, Nusa Dusun Orchard Resort, Kuala Linggi, 78200 Kuala Sungai Baru, Melaka. Mula-mula sampai, nampak bangunan berbumbung tanpa dinding dengan longgokan kayu gaharu. Setelah bertanya kepada pekerja di situ, kami ditunjukkan arah pintu ke rumah beliau. 

Alhamdulillah Datuk ada di dalam kederaan 4WD di depan rumah. Tok Ipin yang pergi jumpa Datuk dulu, sebab dia kenal Datuk. Anjang follow je. Setelah bersalaman dengan Datuk, kami terus dapat lihat produk-produk yang Datuk hasilkan dari gaharu di sebuah meja panjang. 

Ada macam-macam produk seperti minyak wangi, bukhar, setanggi, sabun, balm, aroma terapi yang semuanya dari gaharu termasuk pen dari kayu gaharu yang berharga RM1.2K… Mahalll tuuuu.

Datuk banyak berbual dengan Tok Ipin dan menceritakan aktiviti yang beliau usahakan. Lepas itu kami dibawa ke dapur tempat serbuk kayu karas direbus dengan menggunakan gas dan dapur khas lalu wapnya di salurkan dalam tabung kaca ke radas. Dengan cara penyulingan begini, minyak dikeluarkan dari kayu gaharu. Prosesnya lebih kurang sama dengan proses mendapatkan minyak wangi dari bunga ros di Taif, Arab Saudi.

Selepas melihat sendiri bagaimana minyak gaharu dimasak, kami dibawa ke bangsal tempat ia diproses. Bermula dari batang-batang pokok karas yang dipotong-potong. Ia disusun dan dilonggokan. Datuk buat usahasama dengan orang-orang kampung yang menanam. Datuk inject ubat, tebang pokok, proses dan jadi bahan siap. Kalau tak silap anjang kos bahagi dua 50%-50%, begitu juga hasil. Dasar Datuk nak membantu para petani kecil gaharu sampai perolehi hasil. Bukan hanya jual benih, ambil duit. Atau cucuk pokok, ambil duit, tinggalkan para petani, pandai-pandailah usahakan gaharu. Selalunya kalau cara begini, mereka tidak akan memperolehi hasil. Rugi je habis masa menunggu sehingga 7 tahun.

Setelah dipotong-potong, kayu itu diasingkan antara teras yang ada gaharu dengan yang tiada. Malah diasingkan juga mengikut kadar hitamnya teras. Semakin hitam semakin banyak kandungan gaharunya. Kayu-kayu itu diracik-racik kemudian dihancurkan untuk direndam lalu direbus.

Setelah direbus dan diambil pati minyaknya, hampas rebusan itu masih boleh digunakan untuk di bentukkan dengan acuan lalu di letakkan minyak gaharu dan dijual sebagai setanggi gaharu.

Untuk maklumat bersama, semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya boleh digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik. Kat Air Bintan, kami ada tanam 300 batang pokok gaharu. Dah 4 tahun umurnya. Silap tak cuba minum rebusan air daunnya.

Datuk bersedia untuk adakan usahasama yang menguntungkan kedua pihak dan amat berbesar hati dapat bertemu dengan anak Pengerusi Eksekutif GISBH sendiri, En Suhail Nasiruddin. Moga segala yang dirancang Allah izinkan untuk dilaksanakan.

GISBH berniat untuk menceburi bidang pertanian gaharu ini dengan membuat sebuah pusat latihan pertanian di Perak yang khusus mengusahakan gaharu dari A-Z tetapi berasaskan pembangunan insaniah. Satu kluster baru akan diujudkan di kalangan RPU GISBH untuk mencapai cita-cita ini. Moga haruman gaharu akan semerbak mewangi di seluruh GISBH. Aamiin.

Rumah Tetamu Gong Kulim

5.49pm, Nov 10, 2020

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *