Perasmian Ikhwan Cafe Pulau Pinang

Kongsikan kepada yang lain
Share


Salam ceria.

Pada 1hb Disember 2020 anjang diberi peluang mengikuti rombongan YBhg Tuan Nasiruddin Mohd dan RPU ke Jitra dari Sri Manjung, Perak. Ia adalah dalam rangka lawatan Tuan PE GISBH ke cawangan-cawangan GISBH sementara beliau masih berada di Malaysia. Sebenarnya beliau telah memperolehi visa ke Indonesia dan Turki tetapi keadaan Covid-19 di negara-negara tersebut nampaknya masih tinggi dan kurang terkawal maka hasrat itu ditangguhkan. Sehingga kini, Tuan Nasir telah berada di Malaysia lebih 1 tahun setelah tinggal lama di Istanbul Turki.

Dalam perjalanan ke Jitra, Kedah, kami singgah ke Pulau Pinang di mana terdapat sebuah restoran GISBH yang baru beroperasi dengan nama Ikhwan Cafe Pulau Pinang. Kami menaiki 7 buah kenderaan dengan bilangan ahli rombongan seramai 31 orang. Alhamdulillah sepanjang perjalanan dalam musim covid ini, setiap road block yang kami tempuh, kami dilepaskan dengan mudah apabila Polis melihat logo GISBH dan bendera Malaysia di sisi setiap kenderaan kami. Kami juga mempunyai surat rasmi syarikat dan surat kebenaran Polis untuk merentas negeri atas urusan syarikat.

Anjang tumpang HRV En Attirillah. Dapatlah berkenalan dengan anak muda hitam manis ini yang tampak berpotensi untuk lebih maju ke hadapan. Keinginannya untuk hidup dalam sistem hidup Islam memberi kekuatan kepadanya untuk memberi komitmen kepada perjuangan walaupun mempunyai banyak peluang keduniaan. Allah merespon kepada perubahannya dengan memberinya peluang pekerjaan yang lebih bebas dan tidak terikat.

Di Pulau Pinang Ybhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali merasmikan sebuah lagi rangkaian restoran GISBH dengan nama Ikhwan Cafe Pulau Pinang. Bersama-sama dalam majlis perasmian ialah Ybhg Tuan Ahmad Anuar Abd Rahman (Pengarah Zon GISBH Wilayah Utara), Ybhg Puan Azura Md Yusof, Ybhg Tn Adib At Tamimi dan seluruh rombongan. 

Antara kelainan restoran Ikhwan ini ialah ia menghidangkan makanan asli Melayu seperti gulai batang pisang, otak lembu masak lemak, otak lembu masak pacak-pacak, Tembusu sangai, siput sedut masak lemak cili api, keladi asam rebus, sambal petai sotong dan udang, sambal tempe kering, ulam-ulaman dengan sambal belacan dan kuih muih tradisional Melayu seperti kuih koci,  roti jala, buah Melaka, lompang, lopis dll.

Restoran 2 tingkat di Setia Triangle, Bayan Lepas ini boleh memuatkan 70 orang dalam satu-satu masa (kalau tiada SOP Covid-19) Terdapat aquarium yang dihiasi dengan ikan koi, pari air tawar dll.

Sila klik untuk tonton video. Sebarkan dengan cara subscribe, like, share & beri komentar.

Alhamdulillah banyak panduan yang diberikan kepada staf Ikhwan Cafe Pulau Pinang untuk terus up grade masakan, servis dan menghayati akhlak mulia sebagai hiburan jiwa kepada pelanggan.

Yang paling penting ialah hati kenalah sentiasa mengingati Tuhan!

Sebaik-baik manusia itu ialah manusia yang paling banyak berkhidmat pada manusia yang lain!

Terima kasih juga kepada semua pelanggan yang terus menyokong rangkaian perniagaan Ikhwan demi menyelesaikan persoalan Fardhu Kifayah. Jangan lupa mai makan di Ikhwan Cafe na. Dah biasa makan nasi kandaq, mai pekena masakan Melayu pulak.

Jumpa lagi….

Bilik 736 Mawar, Ombak Villa, Langkawi

9.55pm, Dis 3, 2020

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *