Kuda Arab GISBH

Kongsikan kepada yang lain
Share

Kuda Arab GISBH 

Salam ceria. 

Apa kabo semua? Kali ini mari kita bercerita tentang pemeliharaan kuda dalam GISBH. Setakat hari ini, GISBH mempunyai 16 buah Stable kuda, 10 buah di Malaysia dan 6 buah lagi di luar negara dengan jumlah kuda sebanyak 93 ekor kuda dari pelbagai ras atau baka.

sila klik untuk tonton ketangkasan kuda Arab Ikhwan

Tujuan GISBH menternak, membiakkan dan melatih kuda adalah untuk menyuburkan rasa rindu kepada Rasulullah SAW kerana baginda sangat sayangkan haiwan termasuklah kuda. Ertinya dengan memelihara kuda, hati-hati kita akan semakin terhubung dengan baginda kerana memang itulah niat asalnya. Memelihara dan menunggang kuda itu adalah sunnah baginda SAW. 

Di samping itu ia mendidik remaja GISBH berdisiplin, bertanggung jawab, amanah, cergas, pembersih, berani, kuat, sihat dan banyak lagi sifat mahmudah kerana menternak, menjaga, melatih kuda sangat mendidik ke arah melahirkan peribadi yang begini.

Di dalam al-Quran perkataan ‘kuda’ الخيل disebut sebanyak 5 kali. Ia menggunakan perkataan yang berbeza tetapi yang dimaksudkan ialah kuda seperti al-naziat, al-adiyat, al-saffat, al-dhariyat dan al-mursalat. Semunya dimaksudkan kepada kuda.

Rasullullah SAW amat mengemari kuda dan mengalakkan pertandingan lumba kuda, berikut adalah beberapa kata-kata baginda tentang kuda, antaranya:

“Pada ubun-ubun kuda terikat banyak kebaikan selamanya sampai hari kiamat , dan pemiliknya selalu mendapat pertolongan kerananya . Maka usaplah ubun-ubun kuda dan berdoalah dgn meminta keberkatan.” Al-Hadis

” Belajarlah memanah dan menunggang kuda” (Hadis Muslim)

Dulu kuda-kuda di atas muka bumi ini semuanya liar hinggalah Allah anugerahkan kelebihan kepada Nabi Ismail untuk menundukkan kuda dan menjadikannya tunggangan. Nabi Ismail adalah manusia pertama yang menunggang kuda. Allah kurniakan kuda-kuda sebagai khazanah kepada baginda dan Allah ilhamkan kepada baginda untuk menunggangnya. Sabda Nabi SAW:

اركبوا الخيل ، فإنها ميراث أبيكم إسماعيل

“Tungganglah kuda, sesungguhnya ia adalah warisan ayah kamu Nabi Ismail.”

Nabi pernah menyebut kepada seorang sahabat tentang kewajipan memelihara kuda jika mampu.

“Memelihara dan memberi nafkah kepada kuda (beri makan, rawatan dsb) dikira sedekah malah seorang yang memelihara kuda dianggap sebagai seorang yang terus menerus bersedekah.” Al-Hadis

So, silap besarlah siapa yang menuduh “Membazir je bela kuda ni!” Membazir tu saudara syaitan. Takkan Nabi suruh kita jadi saudara syaitan sebab Baginda yang suruh kita membela kuda.

Seorang yang membela kuda dengan niat fi sabilillah akan mendapat pahala, dan setiap yang dimakan kuda itu, setiap jejak kakinya malah kencing dan najis kuda itu berpahala baginya. -Maksud Hadis

Silap besar juga la orang yang mempertikaikan seorang yang menjaga kuda, menghina orang yang menguruskan najis kuda sedangkan semuanya berpahala. Tak sama menguruskan kuda dengan menjual kismis. Ada orang yang ambil keuntungan dunia atas nama makanan sunnah tetapi menghina ternakan kuda yang diperintah oleh Nabi.

Ada beberapa jenis baka kuda di dalam GISBH Diantaranya..

Pure Arabian, Anglo Arabian, Thoroughbreds, Cross Breds, Shagya Arabian, WarmBloods dan kuda padi daripada pelbagai gred.

Semua Stable Kuda ini diuruskan oleh para RPU dari Jabatan Sunnah Berkuda di bawah Sektor Keluarga dan Pembangunan Remaja.

Baru-baru ini, Ikhwan Equestrian, Biro Sukan Sunnah Remaja Pembela Ummah di bawah naungan GISBH, telah menerima kedatangan ahli baru di Stable Ikhwan PPI BCH iaitu seekor kuda jantan baka Arab berharga RM33,000.

Kuda jantan berumur 3 tahun ini diberi nama Emir Idris Al-Baha’ oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali.

Emir Idris Al-Baha’

Di dalam dunia pemeliharaan kuda di seluruh dunia, kuda Arab yang paling popular dan sangat digilai. Kelab-kelab kuda Arab berada di merata dunia bahkan hingga di Eropah dan AS.

Kuda arab mempunyai kepala kecil dengan bagian hidung agak melengkung ke dalam, matanya bersinar. Ekornya terurai panjang, ditambah penampilannya yang anggun dengan tinggi sekitar 150 cm. Tiada pertikaian, kuda arab juga adalah kuda paling cantik dibanding jenis kuda yang lain. Selain itu, kuda ini mempunyai kaki serta kuku yang kuat sehingga dapat berlari kencang. 

Selain dari cerdik, Kuda Arab juga terkenal tinggi daya tahannya, kerana mampu  bertahan dengan makan serta minum yang sangat minimum. Orang Arab badwi di timur tengah ada yang menggunakannya pada pacuan dalam jarak ratusan kilometer hanya dalam 4-5 hari.

Rasullullah SAW apabila memerhatikan pada peperangan Uhud, tentera Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda sedangkan kafir Quraisy mempunyai tentera berkuda seramai 200 orang, terus mengarahkan selepas  peperangan agar para sahabat  membentuk pasukan berkuda dengan memelihara dan membiak baka kuda terbaik di tanah Arab iaitu ‘Kuda Asli Arab’.

Atas arahan Bagindalah, para sahabat dan orang-orang Arab Badwi di kalangan mereka mula menternak dan membiak kuda-kuda Arab baka baik. 

Di dalam GISBH, Tuan Adib merancang untuk membawa kuda-kuda betina dari seluruh Stable GISBH di Malaysia untuk dikahwinkan dengan kuda Arab baka baik ini untuk menambah elok baka kuda GISBH. Nanti akan lahir anak-anak kuda yang hampir sebaya dari baka Arab yang baik ini. Kita merasa sedih kerana kuda-kuda Arab Asli yang cantik dan tangkas di negara-negara Arab seperti Saudi dan UAE sekalipun banyak yang dibeli dari pusat penternakan kuda di Eropah bukan dari negara Arab itu sendiri. Aset Umat Islam ini sudah tidak berada di tangan umat Islam akibat kelalaian umat Islam sendiri.

Di zaman Rasullullah SAW Kuda Arab tidak pernah dijual kepada orang-orang luar, Kuda Arab hanya berada di Tanah Arab dan tidak pernah keluar dari semenanjung tanah Arab. 

Di zaman Tabien, Tariq bin Ziad telah membawa 12,000 pasukan berkuda dari Morocco dan Tunisia ( Kuda Bar bar) bersama 12 ekor kuda Arab ke Sepanyol. Itulah pertama kali Kuda Arab dibawa masuk ke Eropah. Di sana kuda-kuda itu dikacukkan dengan kuda-kuda Inggeris yang seterusnya melahirkan kuda kacukan yang masyhur pada hari ini iaitu ‘thoroughbred’

Hari ini hampir semua kuda terbaik di dunia mengalir di dalamnya darah kuda Arab kerana telah dikacukkan untuk menambah baik baka kuda mereka.

Moga kuda-kuda di dalam GISBH bertambah baik bakanya dan seluruh GISBH mendapat keberkatan dari pemeliharaan haiwan kesayangan Rasulullah SAW ini untuk menambah rasa cinta dan rindu kepada baginda SAW. Aamiin ya Allah.

Bilik 7, Ikhwan Inn, BCH

12.47am, Feb 12, 2021

Anjang bersama anak kuda Arab yang cantik bernama Ulfah di Stable Kuda GISBH Pochan

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: