MENZIARAHI MAKAM SAIYIDATINA MAIMUNAH RA

Kongsikan kepada yang lain
Share

MENZIARAHI MAKAM SAIYIDATINA MAIMUNAH RA

Selepas bersarapan di restoran Amer kami singgah menziarahi Makam isteri Rasulullah SAW yang mulia, Saiyidatina Maimunah RA dalam perjalanan ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah.

Gambar bangunan Makam dari dalam kereta

Nama lengkapnya adalah Barrah binti Al-Haris bin Hazm bin Bujair bin Hazm bin Rabiah bin Abdullah bin Hilal bin Amir bin Sha’shaah. Ibunya bernama Hindun binti Aus bin Zubai bin Haris bin Hamatsah bin Jarsy.

Dalam keluarganya, Saiyidatina Maimunah termasuk dalam tiga bersaudara yang memeluk Islam. Saiyidina Ibnu Abbas meriwayatkan dari Rasulullah SAW, “Al-Mu’minah adalah tiga bersaudara, iaitu Maimunah, Ummu Fadhal, dan Asma’.”

Kami bergambar di depan pintu Makam yang berkunci

Saiyidatina Maimunah dilahirkan enam tahun sebelum Rasulullah diutuskan. Oleh kerana itu beliau mengetahui saat-saat orang-orang hijrah ke Madinah. Beliau banyak terpengaruh oleh peristiwa hijrah tersebut dan juga banyak dipengaruhi kakak perempuannya, Ummu Fadhal, yang telah lebih dahulu memeluk Islam. Namun beliau menyembunyikan keislamannya kerana merasakan bahawa orang sekelilingnya akan menentangnya. 

Ada hikmahnya kerajaan baru Saudi kerana kalaulah dahulu memang tiada peluang berdoa di pintu makam begini kerana akan dihalang oleh polis atau mutawwi’.

Suaminya berasal dan keluarga Abdul Uzza (Abu Lahab). Sebagian besar riwayat mengatakan nama suaminya adalah Abu Rahim bin Abdul-Uzza, seorang musyrik yang mati dalam keadaan syirik. Suaminya meninggalkan Saidatina Maimunah sebagai janda ketika beliau berumur 26 tahun.

Pondok Mutawwi’ ada berdekatan makam ini didirikan semata-mata untuk mengatakan kepada pengunjung, di sini tiada kubur dan kamu dilarang berdoa di sini. Menurut Tuan Abil, di situ dahulu adalah kawasan perkuburan termasuk jalanraya yang besar di sebelah bangunan makam ini.

Setelah suaminya meninggal, tanpa halangan Saiyidatina Maimunah dapat menyatakan keimanan dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW. Sehingga dengan suka rela beliau menyerahkan dirinya kepada Rasulullah SAW untuk dinikahi. Beliau adalah wanita terakhir yang dinikahi oleh Nabi SAW ia berlaku pada tahun ketujuh Hijrah dengan mahar 500 dirham.

Tentang penyerahan diri Saiyidatina Maimunah kepada Nabi SAW ini telah dinyatakan dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman: 

“Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kawinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengawininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Al-Ahzab: 50

Saiyidatina Maimunah tinggal bersama saudara perempuannya, Ummul Fadhal, isteri Saiyidina Abbas bin Abdul Mutalib. Suatu ketika, Maimunah menyatakan kepada kakaknya Ummul Fadhal niat penyerahan dirinya kepada Rasulullah SAW.

Ummul Fadhal menyampaikan berita itu kepada suaminya lalu Saiyidina Abbas pun memberitahu Rasulullah SAW. 

Rasulullah SAW mengutus seseorang kepada Saiyidina Abbas untuk meminang Saiyidatina Maimunah. Betapa gembiranya perasaan Saiyidatina Maimunah setelah mengetahui kesediaan Rasulullah SAW menikahi dirinya.

Pada tahun berikutnya, setelah perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW bersama kaum Muslimin memasuki Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Sesuai dengan isi perjanjian Hudaibiyah, Nabi diizinkan untuk menetap di sana selama tiga hari sahaja.

Orang-orang Quraisy menolak permintaan Nabi dan kaum Muslimin untuk tinggal di sana lebih dari tiga hari. Kesempatan itu digunakan Rasulullah SAW untuk melangsungkan pernikahan dengan Maimunah. Setelah pernikahan itu, baginda  dan kaum Muslimin pun meninggalkan Mekah.

Maimunah mulai memasuki kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW dan baginda menempatkannya di bilik khas untuknya seperti isteri-isteri baginda yang lain. Saiyidatina Maimunah bergaul baik dengan isteri-isteri Nabi penuh hormat dengan tujuan mendapatkan keredaan hati baginda semata-mata.

Terima kasih Tuan Nasir kerana membawa anjang ke sini. Rasanya inilah kali pertama anjang kunjungi makam-makam isteri Rasulullah SAW yang mulia ini.

Berkenaan dengan Saiyidatina Maimunah, Saiyidatina Aisyah pernah berkata. “Demi Allah, Maimunah adalah wanita yang baik kepada kami dan selalu menjaga silaturrahmi di antara kami.”

Beliau dikenal dengan kezuhudannya, ketakwaannya, dan sikapnya yang selalu ingin mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga diriwayatkan memiliki ilmu pengetahuan yang luas.

Pada masa pemerintahan Khalifah Saiyidina Muawiyah bin Abu Sufian, bertepatan dengan perjalanan kembali dari haji di suatu tempat dekat Saraf,  Saiyidatina Maimunah merasakan ajalnya sudah tiba. Ketika itu beliau berusia 80 tahun, bertepatan dengan tahun ke-61 Hijrah. Beliau dimakamkan di tempat itu juga sebagaimana wasiat yang beliau sampaikan. Di tempat inilah kami datang berziarah dan berdoa. Moga Allah berkati perjuangan GISBH seperti Allah telah berkati perjuangan Rasulullah, isteri-isteri baginda, keluarga baginda dan para sahabat RA.

Bukannya mudah untuk sampai ke sini khasnya di musim Covid begini tetapi jika Allah kehendaki, ia dimudahkan.

Saiyidatina Maimunah meriwayatkan sekitar 76 hadis dari Nabi SAW. Beberapa hadis yang diriwayatkannya telah ditakhrij dalam kitab hadis Imam Bukhari dan Muslim sekitar 13 hadis, 7 hadis sama-sama disepakati oleh kedua Imam (muttafaq ‘alaih), satu hadis lainnya ditulis oleh Imam Bukhari dan 5 hadis lainnya ditulis oleh Imam Muslim.

Ibu Azura, Ibu Azie, Puan Kakak dan I Zahrati antara muslimah yang direzekikan ikut berziarah. Moga seluruh muslimah GISBH diberi hati seperti Saiyidatina Maimunah RA.

Moga Allah tinggikan darjat ibu kita Saiyidatina Maimunah RA, Al-Fatihah

Vila GISBH Mekah

7.08 PM, Jun 26, 2021

  • https://www anjangmuor com/2021/06/26/menziarahi-makam-saiyidatina-maimunah-ra/ (7)

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *