Masjid Saiyidina Uqbah bin Nafi’ RA

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Kami dibawa oleh Saudara Hatem ke Masjid Saiyidina Uqbah bin Nafi’ di bandar yang juga diberi nama Uqbah bin Nafi’. Suasananya seperti pekan-pekan atau kampung di Malaysia. Masjid itu terletak di tepi jalan, di hadapannya ada bulatan kecil dan ada Parking Lot.

Terdapat kawasan yang di pasang rantai sekelilingnya. Juga tiang-tiang bendera yang banyak. Di tepi Parking Lot itu terdapat runtuhan bangunan lama yang dibuat dari batang tamar dan tanah liat.

Terdapat dua buah masjid di situ. Masjid lama di mana terdapat makam Saiyidina Uqbah bin Nafi’ dan masjid baru yang dibina dengan pembiayaan kerajaan Saudi. Masjid lama ini telah dibina lebih 10 kurun yang lalu tetapi masjid (lama) dalam bentuk yang ada sekarang adalah dari zaman Turki Uthmaniah 1798M/1214. Di masjid ini terdapat sebuah pintu kayu yang berumur lebih dari 1000 tahun. Di pintu makam terdapat batu yang telah berumur lebih 1200 yang membuktikan bahawa kubur ini ialah kubur Saiyidina Uqbah bin Nafi’ ditulis dengan tulisan kufi yang belum ada titik. Ertinya sangat lama.

Kami menunaikan solat jama’ takdim dan melawat makam Saiyidina Uqbah’ bin Nafiq. Dengan keberkatan, kawasan makam yang berkunci dibuka untuk rombongan GISBH melawatnya. Kami menghadiahkan bacaan ayat-ayat Al Quran kepada roh As Syahid diiringi doa dari YBhg Tuan Nasir.

Hakikat yang perlu kita akui para Syuhada’ sebenarnya tidak mati, mereka hidup di sisi Tuhannya. Firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَن يُقْتَلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتٌۢ ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ وَلَٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Al-Baqarah: 154

Moga dengan keberkatan Saiyidina Uqbah bin Nafi’ dan 300 orang Syuhada di tanah Tahuda atau sekarang di panggil bumi Sidi Okba (Uqbah) ini, Allah kabulkan doa dan permintaan kami agar ditukar pakaian kami dari mazmumah kepada mahmudah. Kami hanya membawa rintihan dan tangisan kepada Allah di hadapan makam serorang yang sangat agung, salah seorang dari 124 ribu orang Sahabat Rasulullah SAW. Beruntungnya mereka yang diizinkan bersama.

Ibu Zura pula mengingatkan kami dengan dua remaja yang mempunyai nama yang yang ada kaitan dengan nama sahabat yang hebat ini iaitu Muhammad Uqbah Fadhil dan Muhammad Nafi’ Nasiruddin. Begitulah perjuangan yang panjang ini, memang dari awal cita-citanya ingin mengikuti perjuangan Rasulullah dan Para Sahabat. Hari ini, ia bukan khayalan, Allah izinkan kami melihat makam Saiyidina Uqbah Penakluk Afrika setelah melalui banyak bandar yang pernah beliau dan tenteranya takluki berkurun lama dahulu dengan kekuatan takwa kepada Allah.

Menaiki kenderaan Mercedes dan Peugeot yang agak selesa tetapi bila jaraknya ribuan kilometer dan ada jalanraya yang rosak akan membuatkan kami sangat meletihkan khususnya para pilot dan co pilot. Sedangkan kenderaan itu ber’air cond’, ada absorber dan siap dengan minuman dan jajan. Cuba bayangkan para pejuang zaman dahulu yang hanya menaiki kuda, tanpa kemudahan seperti kita tentulah beratus kali lebih susah dari kita. Malu kita untuk mengalah dengan segala keletihan di dalam safar yang panjang ini bila mengenangkan sejarah pejuang dahulu.

Di Masjid ini juga terdapat makam seorang lagi Sahabat Rasulullah SAW iaitu Saiyidina Abu Asakir Hasan Al Fihri RA.

Terima kasih kepada para pemimpin GISBH khasnya Tuan Nasir yang membawa kami ke sini, moga Allah jadikan kami orang yang bersyukur.

Menghampiri sempadan Tunisia

5.21pm, Nov 6, 2019

———————————————————–

Mari mengenali Saiyidina Uqbah bin Nafi’ RA

Saiyidina Uqbah bin Nafi’ RA

1. Nama: Uqbah bin Nafi’ bin Abdil Qais Al-Fihri Al-Quraisy.

2. Seorang panglima, pembuka dan penakluk tanah Afrika.

3. Dilahirkan di Mekah 1 tahun sebelum Hijrah atau (622 M)

4. Ibunya berasal dari kabilah Muiz dari Bani Rabi’ah. Dari pihak ibunya, beliau bersaudara dengan Saiyidina Amru bin Al-Ash.

5. Bapanya Nafi’ bin Abdil Qais adalah seorang pembesar dan pahlawan Mekah. Saiyidina Uqbah berasal dari Bani Fihr, yang terkenal masyarakatnya mahir menaiki kuda dan berani.

6. Bani Fihr terkenal dengan kepahlawanan. Di kalangan mereka, yang paling terkenal ialah Saiyidina Amru bin Ash.

7. Saiyidina Uqbah bin Nafi’ ikut serta bersama pasukan Saiyidina Amru bin Al-Ash ketika penaklukan Mesir.

8. Oleh karena kegigihan dan keberaniaannya maka Saiyidina Amru bin Al-Ash, mengirimnya ke negri Nobi untuk membebaskannya.

9. Saiyidina Amru menugaskannya untuk memimpin kumpulan pengintip untuk membuka daerah Afrika Utara dan mengamankan sempadan wilayah barat dan selatan Mesir melawan serangan Rom dan sekutunya Barbar.

10. Pada tahun ke 21 H beliau ditugaskan oleh Saiyidina Amru bin Ash untuk memimpin pasukan ke daerah Zuwailah untuk membukanya secara damai. Zuwailah terletak selatan Libya dan mereka berjaya.

11. Saiyidina Uqbah berjasa membangunkan kota Qairawan. Beliau ingin islam tetap kuat berada di Afrika kerana ia melihat sifat orang Afrika ini memerlukan kepada seorang pemimpin yang menguatkan keislaman mereka. Jika pemimpin islam meninggalkan mereka, mereka mudah terpengaruh untuk meninggalkan Islam.

12. Qairawan ketika itu mempunyai banyak hutan belukar yang dipenuhi haiwan buas dan ular-ular berbisa. Saiyidina ‘Uqbah menyuruh pasukannya yang berjumlah sepuluh ribu orang itu untuk membersihkan dan membakar hutan belukar itu untuk dijadikan kawasan pembangunan bermula pada tahun 50H dan selesai pada tahun 55H.

13. Bermula dengan membangunkan sebuah masjid yang masih tegak berdiri hingga saat ini dengan nama Masjid Uqbah.

14. Pada tahun 55 H/675 M, Saiyidina Muawiyah menggantikan posisi Uqbah dengan Abu Muhajir bin Dinar, seorang yang terkenal memiliki kemampuan memimpin. Saiyidina Uqbah segera menyambutnya dan melepaskan segala jawatannya serta mengatur tenteranya untuk menyambut kedatangan panglima pasukan yang baru. Begitulah sifat mukmin yang sejati dunia hanya berada di tangannya, tidak masuk ke dalam hatinya.

15. Abu Muhajir membawa banyak kemenangan strategi di wilayah Afrika Utara mengalahkan kekuasaan Rom yang berada di daerah ini. Bahkan ia juga berhasil mengajak seorang tertua suku Barbar bernama Kasilah bin Lumzum yang amat disegani oleh para pengikutnya serta beragama Nasrani untuk masuk Islam. Namun Kasilah bin Lumzum berkhianat akhirnya.

16. Setelah Saiyidina Muawiyah meninggal dunia dan Khilafah digantikan oleh anaknya Yazid bin Muawiyah, Khalifah mengembalikan Saiyidina Uqbah sebagai panglima pasukan tahun 62H/682M dan mengangkatnya sebagai wali di Magrib, lalu Saiyidina Uqbah menuju ke Qairuwan.

17. Saiyidina Uqbah meneruskan penaklukan yang telah dilakukan oleh Abu Muhajir. Ketika pasukannya telah sampai di depan pintu kota Tangier, Abu Muhajir mengatakan kepada Saiyidina Uqbah bahwa kota ini adalah kota Kasilah bin Lumzum, seorang Nasrani yang telah masuk Islam pada masa kepemimpinannya. Namun Uqbah tidak terus mempercayainya dan meneruskan penaklukannya ke wilayah Tangier dan sekitarnya. Lebih-lebih Rom memiliki banyak pasukan yang ditempatkan di Magrib Tengah (Wilayah Al-Jazair).

18. Saiyidina Uqbah dan tenteranya berangkat dari Qairuwan dan menawan kota demi kota tanpa dapat dihalang. Saiyidina Uqbah membuka kota Baghayah, kemudian mereka berhenti di kota Tlemecen, iaitu salah satu kota terbesar di Magrib Tengah. Di kota itu berakar umbi tentara Romawi yang sangat banyak jumlahnya juga orang-orang kafir Barbar.

19. Melihat itu panglima Uqbah mempersiapkan pasukannya, diiringi dengan teriakan Takbir yang saling sahut bersahutan, maka terjadilah perang yang cukup sengit di antara kedua pasukan.

20. Dalam peperangan itu pasukan Rom dan Barbar menunjukan keberanian dalam menghadapi maut, hari itu merupakan hari yang sulit bagi Kaum Muslimin, sehingga Allah menurunkan pertolongan-Nya kepada mereka. Pasukan musuh akhirnya berhasil dikalahkan hingga berundur ke daerah Az-Zab.

21. Saiyidina Uqbah lalu mengkaji kekuatan kota Zab sebelum melakukan persiapan penyerangan. Kota Zab memiliki empat daerah yang cukup besar dan strategik. Daerah pertama adalah daerah yang ditempati oleh raja wilayah itu, di sekitar kota itu terdapat tiga ratus enam desa yang sudah dibangunkan. Saiyidina Uqbah membuka daerah itu dan melakukan penaklukan desa-desanya. Pasukan-pasukan Rom yang berjaga di tempat itu tidak mampu menahan lajunya Saiyidina Uqbah dan pasukannya yang menyerang mereka secara bertubi-tubi.

22. Setelah berjaya menakluki daerah pertama, beliau melanjutkan ke daerah Taharat. Melihat itu pasukan Romawi meminta bantuan kepada suku Barbar penyembah berhala.

23. Mengetahui hal itu, Saiyidina Uqbah berdiri lalu menyampaikan Khutbah dihadapan tenteranya, “Wahai manusia, sesungguhnya orang yang paling mulia dan terpilih di antara kalian adalah orang-orang yang Allah reda terhadap mereka dan Allah telah turunkan kepada mereka Kitab-Nya. Berbaiahlah kepada Rasulullah dengan penuh keredaan untuk memerangi orang-orang yang kafir kepada Allah hingga hari kiamat. Mereka adalah orang-orang yang paling mulia diantara kalian dan orang-orang yang lebih dahulu daripada kalian dalam berbaiah. Mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, Tuhan semesta alam untuk mendapatkan keuntungan yang besar, iaitu surga-Nya. Kalian sekarang berada di negeri yang asing, tapi sesungguhnya kalian telah membuat pertukaran dengan Tuhan semesta alam. Dia melihat kalian di tempat ini, dan kalian tidak datang ke tempat ini selain untuk mencari keredaan-Nya, mengagungkan Agama-Nya, maka berbahagialah, ketika musuh begitu banyak di hadapan kalian, janganlah kalian gentar ataupun takut, kerana mereka akan lemah di kaki-kaki kalian jika Allah kehendaki. Tuhan kalian tidak akan menyerahkan kalian, maka kalahkan mereka dengan hati yang bersungguh-sungguh, kerana sesungguhnya Allah telah menjadikan ketakutan bersarang di hati-hati para pendosa.” kata-kata ini telah mengobarkan semangat pasukannya untuk terus teguh berjuang.

24. Pekikan takbir, “Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” membuat semakin takut dan gentar pasukan Rom yang didukung suku Barbar, mereka merasa bahwa mereka bukan hanya sedang melawan satu pasukan muslim, tetapi mereka sedang melawan satu kekuatan besar yang tidak mungkin mereka kalahkan.

25. Maka bertemulah kedua pasukan itu di medan pertempuran, para panglima Rom berusaha menaikkan kembali moral pasukannya namun ia sudah terlambat, pasukan Muslim menyerang dengan semangat jihad hingga akhirnya pasukan Rom dan sekutunya berhasil dikalahkan.

26. Setelah itu Saiyidina Uqbah melanjutkan perjalanannya hingga sampailah ia di depan kota Tangier, disana salah seorang pemimpin pasukan Rom yang bernama Julian menyerah kalah kepada Saiyidina Uqbah dan bersedia membayar Jizyah.

27. Lalu Saiyidina Uqbah bertanya kepada Julian mengenai rencana pembukaan Andalusia. Julian berkata, “Apakah anda akan membiarkan orang-orang kafir Barbar berada di belakang anda dan mengancam kemegahan anda di saat anda sedang berada di Eropah?” Uqbah bertanya, “Di mana orang-orang kafir Barbar?” Mereka ada di negeri Sous, mereka adalah orang-orang yang pemberani dan suka menolong” Lalu Saiyidina Uqbah bertanya lagi, “Apa agama mereka?” “Mereka tidak memiliki agama kerana mereka kaum Majusi,” Jawab Julian.

28. Kemudian Saiyidina Uqbah mengarahkan pasukannya menuju negeri Sous, ia menerobos segala penjuru negeri ini dan mengalahkan setiap pasukan Barbar yang ia temui hingga akhirnya ia sampai di Lautan Atlantik, dengan hati yang sungguh-sungguh ia berkata, “Ya Rabb, jika tidak ada lautan ini, sesungguhnya aku akan merentasi negeri ini untuk berjuang di jalan-Mu, Ya Allah, saksikanlah bahwa aku telah mencurahkan seluruh tenaga, jika tidak ada lautan ini, sungguh aku akan memerangi orang-orang yang mendustakan-Mu hingga tidak ada seorangpun menyembah selain-Mu.”

29. Saidina Uqbah telah berjaya mencapai tujuannya dalam gerakan pembukaan Islam di Utara Afrika, Kabilah Barbar telah tunduk kepadanya. Saiyidina Uqbah telah menciptakan ketakutan yang luar biasa di dalam dada-dada para penjajah. Setelah selesai penaklukan wilayah Afrika Utara, ia memutuskan untuk kembali ke Qairuwan. Ketika sampai di Tangier ia memberi izin kepada pasukannya untuk berpecah dan menuju ke Qairuwan secara kumpulan-kumpulan kecil, kerana ia percaya pemilik kota Tangier telah beriman dan tunduk kepada Islam.

30. Namun ternyata perkiraan Saiyidina Uqbah salah, ketika beliau dan tiga ratus orang pasukannya sampai di kota Tahuda, pasukan Rom dan Barbar kemudian menutup pagar kota itu, melihat keadaan itu Saiyidina Uqbah berusaha tetap tenang dan berusaha mengajak mereka untuk masuk Islam, namun ajakan yang begitu indah itu tidak di indahkan oleh mereka, di sinilah Kasilah bin Lumzum menampakkan kekafirannya, ia mengkhianati Saiyidina Uqbah dan mengumpulkan pasukan dengan jumlah yang ramai untuk menyerang pasukan Uqbah yang hanya berjumlah tiga ratus orang itu, kejadian ini membuat Uqbah sangat marah dan memerintahkan pasukannya untuk bersiap siaga menghadapi pasukan Kasilah bin Lumzum

31. Pada saat itu Abu Muhajir berada dalam pasukannya namun Saiyidina Uqbah marah kepadanya dan menawannya. Ketika Abu Muhajir melihat pasukan Kasilah menyerang, ia melantunkan bait-bait syair Abu Mahjan At-Tsaqafi yang terkenal :

    Cukuplah kesedihan jika kuda itu memakai topeng

    Dan aku dibiarkan terjerat dan terbelenggu

    Jika aku berdiri tali yang mengikatku besi

    Jika pertempuran ditutup tanpa aku, maka akan menjadi tuli orang yang memanggil

32. Mendengar lantunan itu, Saiyidina Uqbah melepaskan ikatan Abu Muhajir sambil berkata kepadanya, “Kebenaran ada di Qairuwan dan pimpinlah urusan kaum muslimin, kerana aku ingin mencari Syahadah (Mati syahid).” Abu Muhajir berkata, “Aku juga ingin mati syahid.” kemudian melompatlah mereka berdua ke tengah-tengah peperangan hingga akhirnya Saiyidina Uqbah dan semua orang yang bersamanya memperoleh kemuliaan mati syahid. Peristiwa itu terjadi pada tahun 63H bersamaan 683M. Ia dikenali dengan Perang Mammas.

33. Saiyidina Uqbah bin Nafi’ merupakan teladan dalam ibadah, akhlak, wara’, keberanian dan keteguhan. Ia juga seorang ahli strategi perang yang handal, memliki kemampuan yang luar biasa dalam memimpin. Tidak hairan jika sangat dicintai oleh mereka yang di bawahnya mahupun oleh Khalifah. Doanya dikabulkan, pendapatnya dimenangkan. Ia sama sekali belum pernah kalah dalam pertempuran, dalam perangnya ia selalu menggunakan strategi yang baru, tak dijangka dan serangan mendadak. Ia telah menanamkan pengaruh yang besar di dalam jiwa orang-orang Barbar dengan kesyahidan dan keberaniannya, sehingga ia di juluki dengan “Tuanku Uqbah”.

P/s Line slow sangat. Rasanya kena upload gambar lambat sikit.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *