Kisah Sembahyang Orang-orang Bertakwa
Kisah Sembahyang Orang-orang Bertaqwa
Salam ceria.
YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali mengajak semua staf GISBH untuk mengkoreksi sembahyang masing-masing dan usahakan agar kualitinya ditingkatkan dengan ilmu, amalan dan penghayatan. Ia bermula dengan kuliah-kuliah kefahaman, ulangkaji fardhu Ain berkaitan sembahyang dan memeriahkan surau dengan program sembahyang jemaah lima waktu. Malah nasyid-nasyid berkaitan sembahyang yang ada 8 buah itu sentiasa dikumandangkan di premis-premis perniagaan hatta menjadi ring-tone di telefon bimbit.
Untuk memeriahkan suasana ini dan menambah rasa di hati, anjang ingin berkongsi kisah-kisah sembahyang orang soleh zaman dahulu agar menjadi bandingan dengan kita untuk memotivasikan diri kita supaya mengusahakan sembahyang yang diterima oleh Allah agar terbakar dan musnah sifat-sifat mazmumah kita. Agar pokok-pokok sombong, dengki, bakhil, degil, mementingkan diri sendiri, tamak, bangga, malas, tak bertanggung jawab dan lain-lain, dahan dan rantingnya kita tebang dan cantas hingga sembahyang kita berjaya merubah diri dan perangai kita. Mari kita teliti kisah mereka. Moga ada keberkatannya.
Semasa Saiyidina Mujahid RA menceritakan perihal sembahyang Saiyidina Abu Bakar RA dan Saiyidina Abdullah bin Zubair RA, beliau berkata: “Mereka berdiri tegak tanpa bergerak seolah-olah mereka telah terpaku ke bumi.”
Semua para ulama berpendapat bahawa Saiyidina Abdullah bin Zubair RA telah belajar sembahyang daripada Saiyidina Abu Bakar RA dan Saiyidina Abu Bakar RA pula mempelajarinya daripada Rasulullah SAW sendiri.
Menurut riwayat, Saiyidina Abdullah bin Zubair RA apabila bersujud, sujudnya itu terlalu lama sehingga burung burung dapat bertenggek di atas badannya. Kadang-kadang beliau rukuk dan sujud sepanjang malam.
Pada suatu masa, beliau telah diserang oleh musuh. Akibat serangan itu, tembok masjid telah pecah dan serpihannya telah kena pada lehernya.
Pada ketika itu beliau sedang sembahyang, hebatnya hati sahabat, kerana beliau meneruskan juga sembahyangnya tanpa sebarang rasa takut.
Pada suatu masa pula, beliau sedang mengerjakan sembahyang sedangkan anaknya, Hasyim tidur berdekatan dengannya. Seekor ular telah jatuh dari bumbung lalu membelit anaknya yang sedang tidur itu. Kanak-kanak itu memekik-mekik ketakutan. Seisi rumah berlari-lari mendapatkan kanak kanak tersebut. Akhirnya mereka berjaya membunuh ular itu. Namun, Saiyidina Abdullah RA tetap meneruskan sembahyangnya dengan tenang. Setelah selesai, beliau pun bertanya: “Apa yang kamu hebuhkan semasa aku sedang sembahyang tadi?”
Isterinya menjawab:
“Semoga kamu dirahmati Allah. Anak itu nyaris-nyaris mati dan kamu tidak menghiraukannya.”
Saiyidina Abdullah RA berkata: “Apa terjadi pada sembahyang jika aku memberi perhatian padanya?”
Saiyidina Umar RA telah ditikam dan luka akibat tikaman inilah yang akhirnya menyebabkan beliau meninggal dunia.
Setelah ditikam, badannya berdarah dan kadang-kadang beliau pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu sembahyang, beliau pun bangun lalu mengerjakannya.
Katanya: “Tidak ada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan sembahyang.”
Saiyidina Uthman RA istiqamah sembahyang sepanjang malam sambil mengkhatam seluruh Al-Quran.
Apabila waktu sembahyang tiba, tubuh Saiyidina Ali RA menggeletar dan wajahnya menjadi pucat. Telah bertanya seorang hamba Allah tentang punca keadaan beliau begitu.
Katanya: “Telah tibalah masanya untuk aku tunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Aku oleh Allah sedangkan langit, bumi dan bukit bukau pun enggan menerimanya.”
Seorang hamba Allah bertanya kepada Khalaf bin Ayub:
“Adakah lalat menganggu kamu semasa mendirikan sembahyang?”
Beliau menjawab: “Sedangkan sampah masyarakat pun menahan dengan penuh kesabaran apabila dipukul oleh polis, untuk membangga-banggakan kesabaran itu kemudian kelak. Ini pula aku, mengapa pula aku mesti merasa terganggu apabila berdepan dengan Tuhanku?”
Muslim bin Yasin, semasa hendak mengerjakan sembahyang berkata kepada ahli-ahli keluarganya:
“Teruskanlah perbualanmu. Aku tidak akan mendengar sepatah pun daripadanya.”
Pada suatu hari, beliau mendirikan sembahyang di masjid Jamek di Basrah. Tiba-tiba sebahagian daripada masjid itu telah runtuh. Para jemaah yang lainnya lari bertempiaran tetapi beliau tetap dengan sembahyangnya kerana tidak mendengar suatu apa pun.
Ada orang bertanya kepada Hatim Al-Asham tentang cara ia mengerjakan sembahyang, beliau menjawab: “Apabila hampir waktu sembahyang aku pun berwudhu’ lalu berjalan ke tempat sembahyang. Aku pun duduklah di situ sehingga ketegangan yang terdapat pada tubuhku kendur.” (Ertinya ketakutan dalam hendak menghadap Allah hingga fizikalnya juga tegang.)
“Kemudian, aku berdiri untuk sembahyang. Semasa inilah khayalanku membayangkan suatu gambaran yang jelas di hadapan mataku, iaitu Kaabah di hadapanku, kakiku di titian Sirat dengan Syurga di sebelah kananku dan Neraka di sebelah kiriku serta malaikat Israil di belakangku. Aku merasa seolah-olah inilah sembahyangku yang terakhir sekali. Hatiku seolah-olah bercampur aduk di antara dua perasaan. Takut yang sembahyangku ditolak dan berharap yang ianya akan diterima. Dalam keadaan inilah aku menunaikan sembahyangku.”
- https://www anjangmuor com/2022/09/07/kisah-sembahyang-orang-orang-bertakwa/ (1)