Kematian yang dicemburui, jemaah surau menangis bila ‘Husain Gila’ meninggal

Kongsikan kepada yang lain
Share

Kematian yang dicemburui, jemaah surau menangis bila ‘Husain Gila’ meninggal.

Kisah sebenar mengenai seorang lelaki bernama Husein atau lebih dikenali sebagai Husein Si Orang Gila yang menjadi sering diperkatakan dalam kalangan penduduk di Klang, Selangor. Sehingga ke hari ini jemaah tetap mendoakan Husein dan merindui kehadirannya di surau.

Kematian yang dicemburui, ketika dimandikan sifat sebenar Husein ditunjukkan Allah

Sehingga hari ini nama Husein menjadi sebutan walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia dan kematiannya sangat dirasai. Malah ketika jenazahnya dimandikan, tiga tukang mandi jenazah bertukar kerana tidak sanggup akibat menggigil, menangis serta sebak melihat Allahyarham.

Bukan kerana rasa geli atau takut, sebaliknya terpukau dengan wajahnya yang dulu hitam berdaki kini berseri-seri, gigi yang berkarat jadi putih bersinar, bau busuk hilang begitu sahaja.

“Wanginya jenazah Husein sehingga kalah bau haruman atar jemaah pakai. Allahuakbar! Kalian nak tahu, dari zahirnya kita nampak dia kurang siuman, tapi hakikatnya dia bijak, kita lihat dia berdaki, kotor, busuk. Zahirnya bila dimandikan kelihatan sifat sebenar Allahyarham.

Seminggu surau sunyi sepi, sebulan juga silih berganti imam bertukar-tukar sebab nak mendoakan Husein. Bayangkan 30 hari setiap kali lepas solat, mesti mendoakan kesejahteraan Husein sampai menitis air mata imam dan jemaah rindukan Husein,” cerita jemaah surau.

Siapa sebenarnya Husein? Seperti diceritakan oleh salah seorang jemaah sebuah surau, Husein sering ada di surau itu bagi membantu mengutip sampah di atas karpet dan menyimpannya dalam poketnya. Walaupun pernah diberikan penyapu untuk memudahkan kerjanya, namun Husein tetap mahu mengutip sampah menggunakan tangan kerana ingin mengutip pahala berganda daripada Allah.

“Katanya rugilah dirinya sekiranya pakai penyapu kerana kalau kutip guna tangan 10 kali ganda Allah beri pahala kepadanya,” ujarnya. Kehadiran Husein sangat dirasai oleh jemaah surau berkenaan sehingga kehilangannya secara tiba-tiba menimbulkan pertanyaan.

“Patutlah dah lama tak nampak Husein, rupa-rupanya di dah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Dia digelar Husein Gila sebab dari zahirnya kita lihat di tak seperti orang biasa atau normal. Rugilah kalau aku pakai penyapu, kalau satu aku kutip guna tangan… 10 kali ganda Allah berikan pahala kepada aku.

Tidak hanya mengutip sampah, Husein juga ringan tulang mencuci bilik air surau menggunakan berus giginya sendiri. Kata jemaah itu, Husein akan memberus lantai, dinding bilik air dengan bersungguh-sungguh sehinggakan satu bilik air tidak siap dicuci kerana dia menggunakan berus gigi.

Tidak cukup dengan itu, jemaah itu memberitahu antara sikap mulia Husein apabila dia sering mengutip butiran nasi sebelum diletakkan di lantai untuk memberi makan kepada semut.

“Jika kami berikan dia berus menyental dia tetap tidak mahu dan ingin menggunakan berus giginya sendiri. Apabila ditanya, katanya rugilah kalau dia pakai berus lantai sebab sekejap dah siap. Kalau pakai berus gigi malam baru siap dan setiap waktu yang berlalu mencuci bilik air Allah akan berinya hadiah yang banyak.

“Astaghfirullahalazim. Orang bagi duit dia tidak mahu kerana katanya dia ada tangan, ada kaki boleh jalan cari makanan orang buang, membazir berdosa. Dia tak perlukan duit. Dia beritahu hanya makan untuk hidup dan bersihkan surau… Subhanallah!,” cerita jemaah itu.

Pernah suatu hari, muazin surau lambat tiba untuk azan solat Maghrib dan Husein menawarkan diri untuk mengalunkan azan dan saat itu imam serta jemaah menitiskan air mata. Mana tidaknya, azan yang dialunkan Husein cukup sempurna sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri jemaah yang mendengarnya.

“Imam bertanya pada Husein “Pandai kau azan ya?” Jawabnya, “Memanglah pandai dah hari-hari aku kat sini, solat je tak wajib. Aku solat tapi cara aku la. Allah tak wajibkan aku. Korang pun tak suka aku, semua duduk jauh-jauh”… kemudian dia ketawa,” imbaunya lagi.

Menyingkap kisah sebenar tentang Husein, jemaah itu memberitahu lelaki itu sebenarnya seorang pelajar di sebuah sekolah pondok namun menjadi mangsa dera ibu tiri dan bapanya sehingga dia tertekan dan mula merayau tidak tentu arah.

Tambah jemaah itu lagi, kisah Husein boleh dijadikan iktibar kepada kita yang masih hidup dan mencari kesempurnaan di dunia persinggahan sementara ini. “Allah pandang nawaitu kita, hati kita, ketulusan dan keikhlasan serta keimanan, ketaqwaan, keislaman, ketaatan dan kesetiaan kita… Bukan pada rupa, warna kulit, status, harta, pangkat, darjat dan kepuraan zahir dan batin.

Kredit: SelayangPandang.net

AM: Ada di kalangan manusia orang yang hatinya bersama Allah, tidak putus-putus. Tiada siapa yang tahu. Ia mengajar dan mendidik hati kita supaya sentiasa berhati-hati dalam pergaulan sebab kita tidak tahu hakikat hati seseorang, takut-takut zahirnya menipu kita, sedangkan hatinya, hati wali Allah.

  • https://www anjangmuor com/2022/06/23/kematian-yang-dicemburui-jemaah-surau-menangis-bila-husain-gila-meninggal/ (2)

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

1 comment

  1. Salam.
    Hebat Husin ni. Rupa2nya kita tak boleh nilai sesorang daripada pakaian dan penampilannya.
    Ada orang tu penampilannya hebat – pakaian Sunnah, tapi akhlak hancur. Dia rasa dia dah ahli syurga.

    Saya teringat kisah pelacur bagi anjing minum air, jadi ahli syurga. Dia taubat dulu ke sebelum mati?

    Terima kasih.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *