GISBH DI PROGRAM PENEMPATAN SEMULA (PPS) PENJARA KAJANG
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENEMPATAN SEMULA (PPS) PENJARA KAJANG.
Dengan keberkatan Rasulullah SAW, pada 17hb Jun 2020, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten – CEO GISBH dijemput hadir ke MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENEMPATAN SEMULA (PPS) PENJARA KAJANG. Majlis bermula jam 11.00 pagi dihadiri Pengarah Penjara Kajang TKP Tuan Abdul Halim Mahasan, Timbalannya Tuan Basakaran, wakil-wakil syarikat korporat dan NGO yang menjadi tulang belakang menjayakan PPS ini.
YH Dato’ CEO dijemput sebagai wakil GISBH atas pencapaian kejayaan 100% GISBH mengendalikan program pemulihan bekas banduan Penjara Kajang seramai 6 orang dan ke enam-enam mereka masih kekal bersama GISBH hingga hari ini. Mereka ditawarkn program penempatan di GISBH bagi memenuhi hasrat mereka yang mahu berubah mencari sinar baru dalam kehidupan dan diterima masuk secara berperingkat sejak 29 Ogos 2019 yang lalu.
Berbeza dengan pendekatan badan korporat dan NGO yg lain, GISBH menerima mereka untuk dididik dan diasuh mendapatkan Tuhan dalam hidup mereka. Pendekatannya dengan melayani mereka seadanya dengan menganggap mereka seperti saudara sendiri yang memang inilah ajaran Islam yang mengatakan Umat Islam itu hakikatnya bersaudara.
Majlis berkenaan bertujuan memberi penghargaan atas sokongan dan kerjasama syarikat korporat dan NGO yang membantu menjayakan PPS ini.
Setakat ini lebih 400 orang bekas banduan (yang dibebaskan) yang dihantar kepada lebih 20 buah badan berkenaan. Sebahagian besar tidak dapat bertahan lama. Kebanyakannya menghilangkan diri atau tidak mampu bertahan berlama-lama di sesuatu tempat. Keserasian dengan semua pihak adalah suatu yang sukar bagi kebanyakan bekas banduan. Di dalam GISBH, hal sebegini tidak berlaku. Inilaah antara faktor memudahkan mereka dapat mengikuti program pemulihan dengan sangat berkesan.
Walaupun dalam atur cara majlis pagi, GISBH sudah dimaklumkan tidak ada sebarang ucapan daripada pihak GISBH dan pelatih Rakan Baru (RB) (panggilan GISBH untuk Bekas Banduan (BB) di dalam majlis, tetapi tanpa disangka-sangka Pengerusi Majlis menjemput seorang pelatih dari syarikat lain bercakap meluahkan rasa hatinya terpilih mengikuti PPS. Ucapannya sekitar persoalan kerja dan kesedarannya untuk terus berusaha agar berjaya dalam hidup. Kemudiannya pengerusi majlis menjemput Saudara Rakan Baru (RB) GISBH untuk memberikan ucapan. RB Zainal telah memulakan ucapannya dengan mukaddimah dalam Bahasa Arab dalam gaya menyampaikan khutbah. Ini sangat mengejutkan yang hadir terutama Tuan Pengarah Penjara sendiri. Semua terpaku melihat seorang yang sejarahnya sangat gelap – iaitu mula masuk penjara ketika berusia 17 tahun sehingga sekarang umurnya sudah 48 tahun – sebanyak 19 kali keluar masuk penjara dan 10 kali Pusat Serenti – semuanya atas kesalahan dadah. Keadaan saudara Zainal berucap menceritakan soal perlunya rasa takut setakut-takutnya kepada Allah dan rasa rindu serindu-rindunya pada Nabi adalah faktor seseorang boleh berperanan sebagai hamba dan khalifah yang boleh memberi khidmat sebaik-baiknya kepada masyarakat. Ucapannya yang menarik dan berminda itu memakan masa hampir 9 minit agak mencemaskan pihak urusetia majlis kerana semuanya bimbang Sdr Zainal akan menyampaikan ‘kuliah panjang’ yang boleh merencatkan majlis. Tetapi Alhamdulillah ucapan mendapat pujian oleh Tuan Pengarah Penjara selepas itu. Sebelum mengakhiri ucapannya, saudara Zainal sempat pula memperkatakan perlunya insan kepada pemimpin dan pemimpin yang dicari-cari itu di zaman ini ialah pemimpin yang cirinya bayangan Rasulullah SAW!!
Kemudiannya majlis secara spontan menjemput YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten bagi menyampaikan ucapan mewakili syarikat-syarikat korporat yang lain. Ucapan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten tanpa teks itu sangat memuaskan hati, sangat lengkap sebagai satu panduan dan juga gambaran konsep pendekatan GISBH dalam mendidik para bekas banduan. Ianya bukan soal beri pekerjaan atau bukan bertitik tolak dari niat hendak mengambil apa-apa manfaat dari mereka sebaliknya mahu memberi sebanyak-banyak ruang untuk mereka dapat berubah.
Majlis di akhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan dan sesi bergambar. YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dan saudara Zainal juga dijemput sesi rakaman temuramah dengan Harian Metro dan Metro TV.
Sarjan Ridhwan yang lebih dikenali sebagai Sarjan Awang dan Sarjan Rizal – antara pegawai Program Penempatan Semula (PPS) berkali-kali menyatakan hasrat mereka melalui Majlis ini ialah GISBH dapat dikenali dan dapat dipromosi sebagai satu-satunya syarikat korporat yang lain dari yang lain – yang berupaya dengan izin Allah mengubah manusia yang awalnya tidak ada harapan sama sekali untuk jadi baik. Hal ini disentuh Pengarah Penjara yang merasa terharu dan tersentuh menyaksikan penyampaian Saudara Zainal sebelumnya dan tambah menguatkan semangat beliau untuk meningkatkan kerjasama dengan semua yang terlibat. Beliau sendiri memilih mengajak YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten duduk di meja utama bersama timbalannya dan juga seorang wakil kementerian. Hanya 4 orang dibenarkan berada dalam satu meja makan bulat yang disediakan. Ini merupakan satu penghormatan istimewa yang diberikan oleh Pihak Penjara Malaysia kepada YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten (CEO GISBH). Banyaklah hal yang dapat dikongsikan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dengan Pengarah Penjara iaitu Tuan Abdul Halim yang bertekad untuk mengadakan majlis yang serupa tetapi lebih berprestij di peringkat Negeri Selangor. Untuk pengetahuan Negeri Selangor ada 4 buah Penjara:
1) Penjara Kajang (lelaki) – 5,000 orang
2) Penjara Kajang Wanita 1,500 orang
3) Pusat Koreksional Puncak Alam (bawah umur) 800 orang
4) Penjara Sg Buloh 3,000 orang.
Ini menjadikan negeri Selangor mempunyai banduan paling ramai dari 73,000 banduan di seluruh negara.
Majlis tersebut juga memberi kesempatan GISBH dikenali ramai di dalam majlis dengan promosi GISBH oleh pihak urusetia, penyampaian sumbangan sejadah dan Al Quran lebih 70 set untuk kegunaan program HALAKAH (kerohanian) di surau penjara dan juga sebaran pamplet di kalangan hadirin. Semoga dengan keberkatan Rasulullah, Tuhan terus alirkan bantuan-Nya untuk sistem GISBH diakui mampu dilaksanakan dalam semua sektor kehidupan masyarakat dan negara.
- https://www anjangmuor com/2020/06/18/gisbh-di-program-penempatan-semula-pps-penjara-kajang/ (13)