AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Musim Katak Melompat

Kongsikan kepada yang lain
Share

Musim Katak Melompat

Puluhan tahun dahulu lagi Almarhum Ustaz Asha’ari dah syarahkan kisah katak. ‘Katak Bawah Tempurung’. Anjang cuba ingat-ingatkan.

Ada seekor katak, dari kecil membesar di bawah sebiji tempurung yang bertangkup. Mujur ada sedikit ruang udara yang masuk kerana tempurung itu bertangkup di atas sebatang ranting kayu. Membesarlah si katak di dalam tempurung ini. Di tepi longkang. Di bawah pokok. Itulah dunianya. Ia tiada dunia lain.

Rezekinya apa sahaja yang masuk melalui lubang kecil celah ranting tadi. Sesekali masuk lalat hijau@langau. Dapatlah si katak makan lalat. Gembiralah sangat si katak. Di sangkanya itulah makanan yang paling sedap di dunia kerana dia di bawah tempurung. Mana dia tahu serangga yang lain yang jauh lebih sedap dari langau. Padanya lalat hijau jauh lebih sedap dari nyamuk kurus. Langau dah macam kita makan nasi Mandy kambing.

Kadang-kadang terdengar si katak terjerit-jerit kesakitan. Macam terlalu sakit gamaknya. Rupa-rupanya dia digigit semut, disangkanya itulah sakit yang paling teruk di dunia. Tiada sakit yang lebih perit dari digigit semut. Dunianya bawah tempurung, manalah dia tahu.

Sesekali sekala masuk air hujan bercampur longkang ke bawah tempurung. Si katak gembira sakan. Padanya umpama cendol durian, lai chi kang atau air katira. Mana dia tau, dia di bawah tempurung. Rasa air longkang di sangka paling lazat.

Suatu hari ada beberapa orang kanak-kanak bermain bola tak jauh dari pokok tersebut. Tiba-tiba bola yang mereka main terkena tempurung si katak lalu ia terbuka. Terperanjat besarlah si katak kerana rupanya ada dunia lain selain bawah tempurung. Dunia yang sangat besar dan luas. Ada langit, awan, hijau dedaun dan rumput. Udaranya pun sangat segar. Serangga makanannya pun sangat banyak dan pelbagai jenis. Jauh lebih lazat dari langau yang masuk sekali sekala di bawah tempurungnya. Ada dunia lain yang nikmatnya jauh lebih dahsyat dari dunia bawah tempurung!

Tak sempat si katak melompat jauh, dia terkena tendangan bola. Melambung lalu jatuh ke atas akar pokok. Aduuhhh sakitnya. Jauh berkali-kali ganda dari gigitan semut di bawah tempurung. Belum sempat dia mengaduh sakit, datang kanak-kanak itu memukulnya dengan kayu. Ketika melompat melarikan diri, seekor kucing pula mengejarnya dan sempat mencakarnya dengan kukunya yang tajam. Rupa-rupanya, sebesar nikmat yang ada, kesusahan dan ujiannya pun besar. Si katak itu tak tahu, ada katak lain yang telah ditelan ular, ada yang telah mati leper dilenyek kereta. Malah ada yang mati dilanggar flight kerana melintas di landasan kapal terbang sewaktu pesawat berlepas.

Begitulah perumpamaan manusia di dunia yang tak tahu menahu tentang akhirat. Bila dapat nikmat di dunia, seperti wang ringgit, kereta mewah, isteri cantik
terlalu gembira terlonjak-lonjak. Disangkanya itulah segala-galanya. Kalau tak dapat, sedih, kecewa dan putus asa. Kalau ditimpa ujian pula, dirasa terlalu menderita. Tiada orang yang lebih sakit menderita sepertinya seperti sakit, dihina, miskin, kematian orang yang dikasihi, ketakutan.

Apabila mati, barulah dia terperanjat rupanya ada alam lain yang jauh lebih hebat dari alam dunia ini.
لَّقَدْ كُنتَ فِى غَفْلَةٍ مِّنْ هَٰذَا فَكَشَفْنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلْيَوْمَ حَدِيدٌ

“Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami buka pandangan kamu yang tertutup maka kamu dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat.

Itu baru alam barzah. Lebih-lebih lagi bila di masukkan ke syurga atau neraka, maka terlalu dahsyatlah keadaannya. Nikmatnya terlalu hebat. Azab siksanya terlalu dahsyat tidak terperi sakitnya. Begitulah majoriti manusia, sibuk dengan harta, kuasa dan wanita di dunia sedangkan sangat bangkrap di akhirat nanti. Nanti akan terkejut seperti katak keluar dari bawah tempurung. Dah puluhan tahun Abuya pesan, jangan jadi katak bawah tempurung. Mati baru terperanjat.

Katak sebenarnya banyak jenis. Terdapat 4,810 spesies katak di dunia dan 254 spesies di Malaysia. Ini tak termasuk katak-katak politik iaitu politikus yang bertukar parti dan menikam belakang kawan lama untuk tujuan tertentu dilihat sebagi lompat parti. Mereka dinamakan sang katak.
Dulu Ibrahim Ali dituduh sebagai katak, lepas tu ramai lagi yang lompat parti lalu ditertawakan oleh Ibrahim Ali: “Wellcome to The Club!”

Ada yang mempertahankan ‘melompat seperti katak’ itu baik kerana melompat dari parti yang tidak berperinsip kepada parti yang berprinsip itu umpama ber’hijrah’. AM tertanya-tanya, ada ke parti politik yang benar-benar berprinsip. Prinsip politikus yang tak pernah berubah sejak dahulu lagi ialah ‘KEPENTINGAN’. Di mana ada kepentingan diri, keluarga dan kroni, di situlah dasar yang mereka pertahankan.

Contohnya, ada parti yang kononnya ‘sumpah perjuangan’ mereka untuk ‘MEMBELA AGAMA, BANGSA & NEGARA’. Tapi malangnya hasil perjuangan mereka lebih separuh abad; agama tak dibela, kartel daging haram berkuasa berdekad-dekad lamanya, 85% kilang makanan yang mendapat sijil halal dikuasai oleh bukan Islam, rasuah perkara biasa, pecah amanah kerap berlaku, bukan sahaja zina berleluasa dan anak haram dibuang merata-rata malah umat Islam dah sampai bunuh diri kerana lemahnya iman. Agama langsung tak terbela.

Kata nak bela bangsa melalui politik. Bila tak sehaluan, pecah muncul parti baru. Sesama parti lama ada yang tak sehaluan, pecah lagi, muncul parti baru. Parti lama yang kononnya memperjuangkan Islam pun pecah juga, muncul parti baru. Akhirnya bangsa Melayu Malaysia pecah kerana politik tak kurang dari 7-8 kumpulan. Bila tidak bersatu, umat Islam akan bertambah lemah. Ini ke Hijrah yang dimaksudkan?Bukan Hijrah kerana Allah dan Rasul tapi Hijrah kerana kepentingan poket dan perut sendiri. Bangsa hancur punah, mereka peduli apa.

Mereka kata nak membela negara, betul ke? Bila terjadi rasuah di peringkat negara, hancur masa depan negara. Bila ribuan pelancong asing masuk negara dan hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan. Ada yang ‘kantoi’ dah mendapat kad pengenalan Malaysia. Beribu-ribu hektar hutan diteroka secara haram, balak dan hasil hutan diperolehi pihak tertentu tanpa penuhi syarat. Ada keputusan-keputusan atau pembatalan perjanjian tertentu yang melibatkan kerugian berjuta ringgit kepada negara. Malah banyak skandal kewangan yang melibatkan kerugian berbilion ringgit yang kita lihat bukan membela negara tapi umpama menjual dan menggadai negara. Hasil dari keputusan dan tindakan yang berkepentingan diri, negara bukan sahaja menanggung kerugian bahkan boleh mengakibatkan terhutang dan umpama digadaikan.

Sebenarnya para pemimpin politik mempunyai masalah yang sama iaitu tidak mampu menguasai nafsu sendiri, kepentingan diri dan nafsu mereka di sekelilingnya. Malah rata-rata ikut cakap isteri. Tak mampu mengawal kehendak isteri sendiri. Di kalangan mereka sendiri tidak berani menegur isteri yang lain kerana isteri masing-masing juga bermasalah dan sukar dikawal. Selama ini kita digembar-gemburkan dengan skandal 1MDB sebenarnya ramai yang ada skandal 1BINI.

Berkawan dalam politik dan pengikut politik pula tidak setia dengan pemimpin. Mudah sahaja melompat. Seperti katak melompat. Mulianya, si katak yang melompat demi mencari rezeki dan menyelamatkan diri dari musuh. Hinanya manusia yang melompat atau tak melompat tapi agamanya tidak dibela, bangsanya terbiar dan negaranya hampir tergadai. Di akhirat terperanjat seperti katak keluar bawah tempurung bila lihat apa yang Allah sediakan di Syurga dan Neraka!

Vila GISBH Sarjah, UAE.
10.05 am, Nov 23, 2021

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *