Tuan Nasir Menyantuni Nelayan GISBH

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

2 hari lepas anjang di Air Bintan, gerak ke Melaka dengan Tuan Nik Fateh, En Abang Suhail dan Tok Ipin @ MR. SOL. Sampai Melaka dah malam. Pagi kami bersarapan di Bakeri Ikhwan

Krubong Perdana lepas tu pergi meninjau Saza Beach Villa & Resort dan terus bertemu Datuk usahawan Gaharu di Kuala Linggi. Nanti kita tulis khas tentang ini. Pastu kami ke FRIM di Ampang bertemu dengan Dr Mohd Noor dan Dr Muhammad Hafiz dan terus menuju ke BCH, Rawang.

Hampir Maghrib anjang dan Tuan Fateh tinggalkan vila GISBH di Kota Emerald menuju ke Kelantan. Kami konvoi dengan sebuah ambulan GISBH. Hampir jam 12 kami sampai ke rumah tetamu GISBH di Gua Musang. Lepas Subuh kami gerak ke GISBH Gong Kulim untuk bergabung dengan rombongan YBhg Tuan Nasiruddin ke Jeti Tok Bali. Tuan Nasir ingin melihat sendiri Kapal Nelayan GISBH dan menyantuni Tekong dan awak-awaknya.

Oleh kerana jeti tuan asal kapal nelayan tersebut agak jauh dari premis-premis atau pekan, ia menyukarkan awak-awak membeli keperluan mereka. Jeti nelayan biasa pula penuh dengan kapal-kapal nelayan, menyukarkan awak-awak menaikkan pukat untuk dibaiki. Allah takdirkan, GISBH dibenarkan menggunakan sebuah jeti yang sedang dalam proses pemindahan operasi. Jadi di jeti itu hanya ada kapal GISBH. 

Kapten/Tekong/Juragan Kapal GISBH seorang warganegara Thailand. Awak-awak pula ada dua golongan; awak-awak mahir dari Thailand dan awak-awak dari team RPU (Remaja Pembela Ummah) GISBH Kluster Maritim. Mereka memakai tshirt hitam kelabu berbeza dari pakaian rasmi RPU iaitu berwarganya hitam biru atau hijau biru.

Kedatangan Tuan Nasir disambut oleh semua anak kapal termasuk Tekong yang hanya berbahasa Thai. Awak-awak ini sangat gembira dengan kedatangan Tuan Nasir, lebih-lebih lagi Tuan Nasir boleh menyapa mereka dalam Bahasa Thai begitu juga Puan Azura. Antara ulasan mereka, orang-orang kaya biasanya kalau beli kapal dan upah awak-awak, mereka tak tengok pun kapal dari dekat, apa lagi naik atas kapal melihat sendiri semua sudut di kapal dan bertanya fungsi setiap alat malah sempat belayar seketika seperti Tuan Nasir. Orang lain hanya tanya berapa hasil tangkapan? Duit je la… Tapi Tuan Nasir ni lain, menurut mereka. Ya dengan panduan YBhg Tuan Nasir, Pengarah GISBH Kelantan telah menyediakan untuk mereka 4 buah kipas, tandas, sleeping bag dan pakaian seragam. Selama ini biasa bagi mereka bekerja tanpa pakai baju malah kadang-kadang hanya berseluar dalam.

Bekerja dengan GISBH, kebajikan mereka di jaga. Mereka kata, kapal GISBH ni paling mewah sebab ada tandas yang lengkap ada pintu dan mangkuk tandas. Tandas kapal lain hanya turun tangga di  ruang kecil bumbung dan  ‘…..lepaskan hajat anda.’

Sebenarnya GISBH buat tandas khas kerana menjaga syariat. Masuk dalam kapal nelayan kerana nak besarkan Allah dan Rasul. Nak bangunkan syariat Allah dan sunnah Rasul. Sebab itu ia akan di’up grade’ sedikit demi sedikit. Pakaian diberi untuk tutup aurat dan kemas selaras. Kipas untuk mengurangkan kepanasan bahang di laut.

Penantian awak-awak dari Thailand ini untuk memakai t-shirt khas untuk anak kapal GISBH tercapai hari ini apabila dapat menyarung t-shirt berlengan panjang RPU berwarna gabungan hitam dan kelabu. Anjang macam nak juga tapi katanya kena duduk sini terus… Hurmmm. Selepas menyapa awak-awak, Tuan Nasir menaiki kapal Ikhwan melalui hujung kapal api-api yang kecil sedikit. Boleh la langkah dari jeti sahaja. Tapi tetap kena berhati-hati.

Di kapal api-api kami dapat melihat lampu-lampu yang digunakan untuk menarik perhatian ikan dan unjang daun kelapa tempat ikan berkumpul lalu diperangkap dengan pukat.

Dari kapal api-api kami menaiki kapal besar. Mula-mula Tuan Nasir lihat lubang ais. Total ada 9 lubang. 3 lubang untuk isi ais. Ais di simpan di sini dan diletak garam supaya lambat cair. Ais di sini dikira ikut ketulan bongkah segi empat tepat atau blok ais, ukurannya dalam 3 kaki. Penjodoh bilangannya tongkol. 3 lobang itu memerlukan 120 tongkol ais. 1 tongkol harganya RM15. Ia perlu dihancurkan dahulu baru diisi ke dalam lubang tersebut. Lubang yang lain pula diisi air bersih dan ikan hasil tangkapan.

Lepas itu Tuan Nasir ke bahagian depan kapal atau ‘Luan’. InsyaAllah akan diletak lilitan serban Sultan Turki Uthmaniah di situ. Kapal ini dibina dengan kayu cengal yang sangat solid. 

Kemudian Tuan Nasir melihat alat untuk menarik pukat yang dipanggil robot. Anak kapal tunjukkan demo penggunaannya pada kami. Kata Tuan Nasir, tenaga letrik dari engin kapal ini sangat kuat, sebab itu boleh gerakkan ‘robot’ ini.

Kemudian Tuan Nasir meninjau bahagian buritan untuk melihat engin kapal, tandas dan akhirnya naik ke tingkat atas, bilik juru kemudi. Di sini terdapat stering kapal, gear, kompas, speaker. Tempat tekong pula kena naik satu tingkat lagi. Di sini terdapat Sona Ikan dan GPS. Tekong akan beri arahan dari atas guna micropon melalui speaker. Juru kemudi pula mengawal stering dan gear kapal. Tuan Nasir sempat cuba mengendalikan stering kapal dengan panduan Juru Kemudi.

Kami sempat belayar dengan kapal besar ini manakala sebahagian lagi belayar dengan kapal api-api. Kesungguhan Tuan Nasir memberi semangat baru kepada para awak-awak dan tekong kapal. Para RPU pula kelihatan sangat bersedia memikul tanggung jawab baru ini. Anjang pula sangat terasa keberkatan hidup berjemaah kerana tak pernah terfikir akan sampai suatu hari, GISBH akan punyai kapal nelayan sendiri dan terlibat dalam dunia nelayan. 

Ia satu keperluan. Siapa lagi yang boleh diharapkan memecah monopoli kapitalis penghisap darah selama ini selain dari GISBH yang tidak terlibat dengan pinjaman bank. Dalam GISBH diajar agar meminta dan mengharap dengan Allah dan berkorban untuk membuktikan cinta kepadaNya. Siapa pula yang sanggup membimbing para nelayan untuk membesarkan Allah dan Rasul ketika bertugas? Inilah kerja para Ikhwan.

Tuan Nasir bercadang untuk menempah kapal nelayan yang ‘Patuh Syariat’ di mana ruang sembahyang, tandas dan lain-lain dibina dengan cantik tersusun indah seperti kapal mewah tapi ia bot nelayan. Agar Islam terbela, walaupun di tengah laut menangkap ikan bersama para nelayan.

Jumpa lagi.

Bilik 4, Gong Kulim

6.27pm, Nov 9, 2020


anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: