Mencari Pencinta Rasul di Madinah

Kongsikan kepada yang lain
Share
Di hadapan hidangan bersama Muhammad Sobur dan bapa saudaranya.

Mencari Pencinta Rasul

Salam ceria.
Dunia ini akan selamat jika hati-hati penghuninya lebih-lebih lagi para penguasa tidak cinta dunia. Hati mereka sentiasa bergetar takutkan Allah. Jiwa mereka sayu merindui Nabi Muhammad SAW. Ketika itu barulah setiap apa yang ada di tangan mereka selamat. Mereka selamat, semua di bawah tanggung jawab mereka selamat.

Pernah diceritakan, di zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sangat adil, Allah tunjukkan keberkatan pemerintahannya hingga serigala tidak pernah menyerang ternakan para pengembala kambing. Seolah-olah yang saling bermusuhan boleh berkasih sayang. Malah tanpa dikuliahkan atau diberi panduan, para pengembala menjadikannya sebagai satu indicator iaitu kekalnya keberkatan selagi khalifah yang adil berada di tampuk pemerintahan. Ini dapat kita fahami bila dikisahkan seorang pengembala di zaman itu, tiba-tiba melihat kambingnya diserang serigala lalu spontan keluar dari mulutnya;
“Khalifah telah wafat!
Khalifah telah wafat!”

Keberkatan pemimpin yang adil, yang patut bermusuh pun berkasih sayang. Sebaliknya pemimpin yang tidak adil, yang patut berkasih sayang pun bergaduh. Berapa ramai hari ini bergaduh suami isteri. Anak bermusuh dengan ayahnya sendiri. Anak mengasari, memukul malah ada yang lebih dahsyat dari itu membunuh ibu bapa mereka sendiri. Sesama adik beradik berdendam kesumat. Betapa lagi yang memang sentiasa bermusuh-musuhan seperti kehidupan ahli-ahli politik.

Itulah yang berlaku di mana-mana sekarang malah sejak dunia Islam kehilangan pemimpin yang adil.

Baru-baru ini anjang bersama rombongan Tuan PE, CEO dan para ALP GISBH singgah di Buraydah, Qassim dalam perjalanan dari Riyadh ke Madinah Al-Munawwarah. Di Qassim kami di layan oleh Muhammad Sobur, salah seorang tiga pemuda di Saudi yang bersahabat dengan Tuan Nasir serta membantu projek Muassasah Qulubul Ikhwan di sini. Sobur adalah pengurus Kilang Pembungkusan Kurma GISBH di Qassim.

Nasi Bokhari memang sedap. Beras Basmatinya yang panjang lembut kurang kanji. Berderai sebiji-sebiji. Dipenuhi dengan taburan kekacang, gajus dan kismis. Apalagi bila rasa manis asli dari hirisan karot telah meresap dalam nasi. Bertambah lazat bila dimasak dengan daging kambing muda tetapi mempunyai sedikit lemak di celah kepingan dan ketulan dagingny yang empuk… Sedapnya.

Ketika kami bermalam di Hotel Apartment Lilian di bandar Buraydah, Sobur yang menyediakan makan malam kami. Apalagi kalau bukan Nasi Bokhari Kambing dari air tangan isterinya. Sobur datang bersama sepupunya, Talhah dan bapa saudaranya, ayah Talhah. Daripada ayah Talhah kami mendengar banyak cerita mengenai Afghanistan.

Mereka berasal dari Uzbekistan. Apabila Rusia menguasai Uzbekistan dan memaksa orang Islam meninggalkan agama, keluarga mereka melarikan diri ke Afghanistan. Apabila Rusia menyerang Afghanistan, rakyat Afghanistan bangun menentang. Mereka adalah para Mujahidin Afghan. Kami beruntung dapat mendengar sendiri dari mulut ayah saudara Sobur. Rupanya dia adalah salah seorang daripada Mujahidin. Dia kenal dan berkawan dengan Burhanuddin Rabbani, Qalbuddin Hikmatyar, Ahmad Masood, Ahmed Azzam dll yang nama-nama mereka anjang biasa membacanya ketika anjang remaja berkait dengan peperangan di Afghanistan.

Segalanya berjalan baik di awalnya bilamana perjuangan mereka selalu mendapat bantuan daripada Allah. Tetapi apabila mereka mula mendapat sedikit kuasa dan menerima bantuan kewangan dan senjata dari AS, berlaku perpecahan di kalangan mereka. Dunia yang masuk dalam hati telah merosakkan segala-galanya. Mereka menang mengalahkan kuasa besar Rusia yang hebat tapi gagal melawan nafsu cinta dunia.

Benarlah sabda Nabi mengatakan perang nafsu lebih besar dari peperangan senjata. Ya, jika kalah peperangan senjata lahir, mati…. kalau cukup syarat akan menerima anugerah syahid.

Sedangkan yang kalah lawan nafsu, dikuasai cinta dunia sanggup membunuh kawan seperjuangan bila memiliki senjata AS. Bila ada sedikit kuasa pula, menindas kaum yang lain, kerana para pejuang ketika itu berbilang kaum seperti Phusto, Tajik, Uzbek, Arab dll. Maka yang menerima duit dan bantuan dari AS yang tidak berkat itu akan menurut sahaja arahan AS lalu berlakulah penzaliman dengan kuasa dan harta yang mereka miliki. Akhirnya kerosakan akibat berperang sesama sendiri lebih parah daripada peperangan menentang komunis Rusia.

Dengan sebab itu keluarga Muhamnad Sobur ini melarikan diri membawa iman bersama kaum kerabatnya ke Pakistan seterusnya ke Madinah dan menentap lama di Madinah menjadi jiran Rasulullah SAW. Semuanya diceritakan dengan detail oleh ayah Talhah sambil menyerahkan anak cucunya kepada Tuan Nasir, “Ambillah anak-anak, anak saudara dan cucu-cucuku ini untuk dididik. Kamu adalah orang-orang yang baik.”

Menurut beliau, di Afghan sekarang kemiskinan merata. Adiknya membuka sebuah madrasah yang mempunyai 600-700 orang pelajar, makan sehari semalam hanya sekali sahaja kerana terlalu miskin. Para ulama sudah tidak berperanan kerana cakap-cakap mereka sudah tidak didengari. Orang ramai kelaparan dan hanya memikirkan sesuap makanan untuk kelangsungan hidup, seolah-olah tidak sempat mendengar ilmu dan nasihat para ulama. Tuan Nasir bertanya bermacam-macam soalan untuk mengetahui apakah puncanya Allah tidak membantu muslimin di sana.

Antaranya Tuan Nasir bertanya, orang kaya ada tak? Kata beliau, ramai tapi kedekut sambil mengenggam jari-jari tangannya. Orang Melayu kata, ‘Genggam tak tiris’, bayangkan genggam air tapi tak menitik jatuh, bakhil giler….

Apabila ulama tidak berperanan. Tidak lagi mendidik masyarakat. Tidak dibantu Allah dengan menguasai ekonomi dan harta benda dunia. Atau dibantu tetapi hanya memikirkan diri sendiri dan keluarga atau hanya pandai menghukum sahaja akhirnya orang ramai tidak terdidik. Yang kaya bakhil. Sombong. Mementingkan diri. Yang miskin dengki, sakit hati, berdendam. Masyarakat terlalu pincang dan saling bermusuhan. Maka sebahagian pencinta Allah dan Rasul berhijrah membawa diri.

Tuan Nasir bertanya, tiadakah kelompok yang boleh mewujudkan masyarakat contoh untuk ditiru di kalangan orang Afhanistan dari semua sudut, maksudnya aqidah, ibadah, akhlak, pembinaan keluarga, ekonomi, pendidikan, pertanian, penternakan, hiburan dalam semua aspek kehidupan. Respon beliau; tak ada. Ini yang kami nak belajar dari Tuan….

Begitulah di mana sahaja Tuan Nasir pergi, bila ditayangkan video profile GISBH ramai yang tertanya-tanya, bagaimana GISBH buat? Bolehkah kami join? Bagaimana nak belajar? Akhirnya sepanjang perjalanan ini kami menambah kawan atau bertambah rapat dengan kawan yang sedia ada; Ameer, Mohd Sobur, Hani, Dr Hisham, Muhanddis Salim, Syeikh Jamil Faqih, Abdullah Al Yamani, Syeikh Jamil Al-Amoudi, Syeikh Khalid Abu Muhammad Riyadh, Talhah dan ayahnya, Syeikh Sulaiman, Syeikh Muhammad Sulaiman, Dr Abdul Aziz Ka’ki dan ramai lagi. Kalau ada seorang dua yang berdengki dan prejudis tu biasalah. Sabda Nabi;
لكل ذي نعمة محسود
Setiap orang yang mendapat nikmat didengki.

Kata ayah Talhah, nanti ke Madinah wajib datang ke rumahku. Aku nak jamu nasi Bukhari yang dibuat oleh emak Talhah. Guru kepada isteri Mohd Sobur. Rasanya 10 kali ganda sedap dari ini. Begitu bersunguh-sungguh mereka ingin memuliakan tetamu khasnya Tuan Nasir yang meluangkan masa sama-sama memikirkan umat Islam di Afghanistan walaupun belum pernah ke sana.

Ampun maaf dari anjang kali ini. Hari ini kami akan ke kilang biskut lagi dan ke kedutaan untuk berbincang majlis MoU antara GISBH dengan Syarikat Deemah. Doakan semuanya berjaya.

Menuju ke Kilang Syarikat Deemah

Bilik 226, Hotel Court Yard by Marriot
7.38am, Jun 1, 2021

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *