Ustaz Ismail Kamus Dalam Kenangan

Kongsikan kepada yang lain
Share
Al-Fatihah

Ustaz Dato’ Ismail Kamus (lahir 2 Disember 1948 – 8 Mei 2020) adalah seorang pendakwah bebas berbangsa Melayu yang terkenal di negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Beliau juga merupakan mantan Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Gombak Setia, Selangor bertanding di atas tiket Parti Islam Se-Malaysia pada tahun 1999 hingga 2004. Beliau merupakan Pengasas dan Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia.

Dato’ Ismail Kamus mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali selama enam tahun sebelum ke Maahad Hisyamuddin, Kelang. Disana beliau sempat berguru dengan seorang ulama yang tersohor al-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhari. Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beliau memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.

Dato’ Ismail Kamus pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam. Ustaz Ismail Kamus mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr. Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.

Dato’ Ismail Kamus adalah pengasas dan pakar pengamal perubatan Islam di Darussalam. Beliau juga sebagai penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Ustaz Ismail Kamus juga sering kali keluar di stesen TV di rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Selain itu beliau juga tampil di rancangan-rancangan TV terpilih seperti di TV3 dan Astro Oasis. Perkembangan beliau juga boleh diikuti di laman sosial Facebook dan Blog kelolaan peminat beliau. Ceramah beliau juga terdapat di dalam bentuk CD, VCD, MP3 dan menerusi laman Youtube.

Ustaz Ismail Kamus juga menulis beberapa buku ilmiah seperti berikut:

  1. Indahnya Hidup Bersyariat (dan Edisi Kemaskini)
  2. Indahnya Amalan Doa
  3. JIN – Hakikat dan Pengubatan
  4. Wahai Tuhan Engkaulah Penyembuh
  5. AL-QURAN – Penyembuh Penyakit dan Penangkal Musibah.

Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Negeri Selangor untuk N17 Gombak Setia atas tiket PAS. Beliau bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1999 dan menang. Pada Pilihan raya umum Malaysia 2004, beliau sekali lagi bertanding di DN yang sama, namun tewas. Beliau juga bertanding di Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya yang sama, juga tewas. Di dalam parti, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau dimasukkan ke wad di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 April 2020 disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah. Exco Penerangan Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh dilaporkan berkata, ketika itu pemeriksaan mendapati keadaan tidak berkait dengan masalah jantung dan kemudiannya Ismail terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama. Hasil pemeriksaan di HKL mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru beliau, sementara hasil ujian saringan COVID-19 yang dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya adalah negatif.

Menurut Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 8 Mei 2020, pukul 12.30 tengah malam di kediamannya di Ampang, Selangor.

Al-Fatihah

Anjang pernah menulis tentang Ustaz Ismail Kamus dalam AM ketika beliau singgah ke Restoran Nasi Ayam Hainan, Seremban 2 pada tahun 2018….

Dalam AM, anjang catat;

Hari ini Dato’ Ismail Kamus datang untuk kali pertamanya ke Restoran Nasi Ayam Hainan Ikhwan, di Seremban 2.

Kehadiran Dato’ Ismail Kamus bersama pembantunya dan AJK Surau Rasah Kemayan seramai 6 orang. Siapa nak baca boleh ke sini:https://www.anjangmuor.com/2018/10/28/dato-ismail-kamus-di-restoran-nasi-ayam-hainan-ikhwan-seremban-2/

Tambahan maklumat mengenai guru kepada Almarhum Ustaz Ismail Kamus.


Antara yang pernah menjadi guru kepada Ustaz Ismail Kamus ialah Syeikh Mahmud Bukhari. Beliau bukan raja, bukan anak raja atau kerabat diraja, tapi beliaulah yang mendidik raja dan kerabat diraja Selangor suatu ketika dahulu. Beliau seorang tokoh agama yang terkenal khususnya di Selangor.

Syeikh Mahmud Ariff Bukhari berasal dari Makkah dan berbangsa Uzbek. Nama penuhnya ialah Mahmud Ariff Abdullah Turah Khan Tashkandi. Beliau dilahirkan di Jiad, Makkah pada 12 September 1897.

Tokoh ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah menerima jemputan Tengku Alam Shah yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan Selangor yang keenam pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Beliau mendidik anak-anak Sultan termasuk Allahyarhamah Tengku Ampuan Bariah, Bonda yang mendidik Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu Darul Iman.

Beliau juga ditugaskan untuk menubuhkan Maahad Hishamudin dan menjadi guru utama. Sebab itu ramai juga muridnya di kalangan rakyat jelata. Antara murid-murid beliau yang terkenal di negara ini ialah Allahyarham Dato Hasan Azahari, Dato Ismail Kamus dan Ustaz Ashaari Muhammad. Didikan beliau sangat berkesan, kerana beliau bukan sahaja memberi ilmu tetapi juga menunjukkan contoh tauladan yang baik. Sheikh Mahmud meninggal dunia pada 10 September 1965 ketika berada di Jeddah. Jenazahnya disemadikan dengan penuh penghormatan di Makkah.

Hari ini kita pula kehilangan tokoh agama yg terkenal di Malaysia.

Al fatehah atas pemergian Ustaz Ismail Kamus. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yg beriman. Aamiin.

Kredit: FB Nor Ariffin

  • dato ismail kamus (1)

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “Ustaz Ismail Kamus Dalam Kenangan

  • May 8, 2020 at 1:35 am
    Permalink

    Pernah berguru dgn Sy Mahmud Bukhari rupanya. Alfatehah lahuu

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: