Makam Sultan Solahuddin Al Ayubi

Kongsikan kepada yang lain
Share
Souq Hamidiah meriah macam dulu

Keluar dari makam Saiyidina Abu Hurairah, penjaga makam hadiahkan kami jajan. Sebahagian penjaga makam di tempat lain, meminta-minta derma atau sedekah. Di Syria ni lain pula, mereka yang memberi walaupun hanya jajan wafer. InsyaAllah ada berkat Sahabat Nabi SAW.

Kami meredah lorong Souq Hamidiah. Macam-macam kedai ada. Kedai pakaian, kedai emas dan barang kemas, kedai minyak wangi, kedai ais krim Arab – ais ditumbuk hingga likat. Di tengah-tengah lorong itu pun ada yang susun barang berniaga. Pakaian musim sejuk, mainan kanak-kanak, manisan Arab yang dipanggil manna wa salwa, syeir banat dan bepang. Di hujung jalan ada kedai buku dan gerai yang menjual jus delima dan oren segar. Dulu ramai yang panggil kami dengan Bahasa Melayu, sekarang mungkin dah tak biasa nampak orang Malaysia. BM pun dah lupa.

Pasarnya masih meriah macam dahulu juga. Tak macam baru lepas Perang. Sesak macam dulu dengan orang-orang tempatan dan pelancong. Kebanyakan pelancong dari Syiah Iraq dan Lubnan serta Syiah tempatan. Mereka buat haji di sini. Anjang pun tak faham haji macam mana. Ziarah makam tu kira haji agaknya. Masalahnya rombongan anjang pun ditanya, datang sini nak buat haji ke? Aduhhhh ada ke tunaikan haji selain di Mekah. Syiah… Syiah…Tapi di Malaysia Syiah dah mula mendapat tempat. Malaysia baru.

Menara dan tembok dinding Masjid Umawi dari arah Souq Hamidiah

Keluar di hujung lorong, kami terus melihat tembok dan menara Masjid Umawi tersergam di hadapan mata disimbahi cahaya mentari senja. Di kemerah-merahan mega petang yang indah kami ambil peluang bergambar sebentar dan terus bergegas menyusur tembok masjid menuju dataran belakang untuk ke makam Sultan Solahuddin Al Ayubi.

Takut dah tutup.” Sebab dah hampir Maghrib. Kami niat jama’ taakhir dan tak masuk Masjid kali ni sebab kalau nak solat di sini, kena prepare awal dengan anak-anak. Ada lelaki perempuan lagi.

Kami dialu-alukan oleh penjaga makam. Makam Sultan Solahuddin Al Ayubi di dalam bangunan khas di kawasan perkuburan belakang Masjid. Bangunan bentuk segi empat sama berkubah coklat ini bertangga. Yang dah berumur mungkin perlukan bantuan kerana tangganya tanpa pemegang. Tapi cuma ada 3 mata tangga je. Jangan risau.

Nama sebenar baginda ialah Solahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub dilahirkan di Tikrit, Irak pada tahun 532 Hijrah /1137 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 589 H/1193 M di Damsyik. Berbangsa Kurdi. Beliau adalah pengasas Daulah Al-Ayyubiyah dan bergelar Sultan Solahuddin. Seorang pahlawan Islam yang paling gagah berani dalam perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitul Maqdis dari tangan kaum Salib Kristian. Kota-kota yang dikaitkan dengan beliau ada di merata tempat di Mesir, Jordan dan Syria. Salah seorang pemimpin Islam yang terkenal sangat adil. Anjang kagumi sejarah baginda, tentera-tentera baginda lebih-lebih lagi baginda bukan berbangsa Arab tapi sangat membela Islam. Orang Melayu kena belajar dari sejarah ini, mulia dan bermaruahnya sesuatu bangsa itu bukan kerana bangsanya tetapi kerana kuatnya hubungan dengan Allah. Kerana agamanya. Sayangnya tiada penekanan tentang kembali kepada Tuhan walaupun Tun M telah sebut semua yang berlaku adalah salah kita sendiri. Bila dah salah kena ajak semua bertaubat dan kembali kepada Allah. Moga-moga rahmat Allah turun.

Makam Sultan Solahuddin Al Ayubi

Kisah Ringkas Sultan Solahuddin Al Ayubi.

https://www.kiblat.net/2017/12/27/perang-salib-di-masa-shalahuddin-al-ayyubi/

Rasa sayu apabila melangkah masuk melihat makam yang tersergam bertutup kain baldu hitam dengan sulaman ayat-ayat Al Quran berbenang emas. Jasad yang mulia ini telah bersemadi di sini selama 826 tahun tetapi roh perjuangannya terasa berada di dada-dada para pejuang agama yang ingin sangat melihat agama ini dimuliakan.

Tuhan bantulah kami seperti Kau membantu hamba-Mu Solahuddin Al Ayubi. Cukupkanlah syarat-syarat takwa dan lainnya pada diri-diri kami. Tunaikan hajat pemimpin-peminpin kami. Kabulkan doa-doa mereka. Dengarilah rintihan hati mereka. Berkatilah kami semua dengan keberkatan Solahuddin Al Ayubi.

Kami berwirid ringkas dan berdoa. Di sebelah makam baginda ada sebuah replika makam yang dihadiahkan oleh kerajaan Jerman kepada Syria kerana memuliakan baginda. Untuk pengetahuan semua pembaca AM, Sultan Solahuddin sangat dikagumi oleh orang timur dan barat, muslim dan non muslim. Anjang diberitahu, pernah ada sekumpulan pelancong Jepun yang berdiri tegak depan makam dan tabik ‘spring’ ke arah makam kerana salute dengan Solahuddin Al Ayubi, orang timur yang berjaya mengalahkan barat.

Kita pun tak dapat bayangkan bagaimana hanya dengan menunggang kuda para pejuang Islam bergerak dari Damsyik ke Kaherah, ke Jordan, ke Baitul Maqdis. Jauhhhhh, bergunung-ganang. Padang pasir. Musim panas terlalu panas. Musim sejuk terlalu sejuk bahkan ada tempat yang bersalji. Kita ikuti perkembangan kembara darat Paris – Samara, ikuti melalui status Whatsapp pun terasa letihnya, betapalah tentera-tentera Islam zaman dahulu mempertahankan agama. Orang sekarang nak ajak korban RM10 sebulan sekali dalam grup #BMF untuk bangunkan Fardhu Kifayah (dalam grup yang ada ribuan ahli pun) belum tentu mampu. Tak percaya cubalah.

Di sebelah makam Sultan Solahuddin Al Ayubi ada replika makamnya, di sebelah replika makamnya ada makam ulama terkenal Syria bertaraf dunia iaitu Syeikh Dr Muhammad Saed Ramadhan Al Buthi. Beliau terbunuh ketika krisis di Syria. Rupa-rupanya kerajaan Syria mengiktiraf Ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syeikh Dr Muhammad Saed Ramadhan Al Buthi. Semasa belajar di Syria peringkat MA, anjang sempat menadah kitab dengan beliau. Orangnya sangat tegas di dalam kelas tetapi sangat tawadhu’ sesama ulama. Moga Allah terima roh beliau. Al Fatihah.

Menara Pengantin Perempuan

Selepas menziarahi makam, kami melihat dataran belakang Masjid Umawi. Mendengar sejarah Menara Pengantin Perempuan dan bekas rumah kediaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang juga ada di sekitar kawasan tersebut.

Menara pengantin perempuan itu di namakan begitu kerana bakal pengantin perempuan menetapkan siapa yang ingin menikahinya perlu menyediakan maharnya yang merupakan emas yang cukup sebagai perbelanjaan untuk membina sebuah menara di Masjid Umawi. Begitu mulia wanita zaman itu bila menjadikan mahar yang merupakan hak mutlak dirinya sebagai perbelanjaan membina masjid. Sekarang kebanyakan mahar digunakan untuk kenduri kahwin dengan katering kerana hidup bergotong-royong, rewang dan lain-lain hampir pupus. Tak pernah pula terdengar orang yang jadikan maharnya untuk pembangunan rumah Allah.

Kami akhiri keluar malam itu dengan menikmati syawarma Syam di pinggir Masjid Umawi kerana katanya Abu Umar, (Tuan Kafe lama GISBH di Syria) nak jamu kami malam itu.

Syawarma Syam

Ya Allah! Bantulah Islam dan Muslimin… Ya Allah! Jadikan kami orang yang bertakwa dengan rahmat-Mu. Moga kami selamat dunia dan akhirat.

Otw ke Restoran Nur Muhammad Istanbul

5.08pm, Okt 9, 2019

#MaruahMelayu

  • https://www anjangmuor com/2019/10/09/makam-sultan-solahuddin-al-ayubi/ (19)

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *