JENIS DAN CIRI AKTIVITI PERIKANAN DI MALAYSIA

Kongsikan kepada yang lain
Share



JENIS DAN CIRI AKTIVITI PERIKANAN

Sektor perikanan di rantau Asia Pasifik merupakan sektor ekonomi yang penting. Sektor ini penting kerana sebahagian besar negara-negara Asia Pasifik adalah dikelilingi oleh lautan yang luas khususnya Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber-sumber perikanan.

Selain itu, tradisi pemakanan penduduk Asia Pasifik yang menjadikan sumber perikanan sebagai protien utama untuk melengkapi sumber karbohidrat iaitu beras. Antara negara Asia Pasifik yang maju dengan sektor perikanan ialah Jepun, China, dan Thailand.

Bagi negara Malaysia, kegiatan perikanan merupakan salah satu sektor yangpenting kepada ekonomi negara, namun begitu kemajuan dalam sektor ini masih di tahap yang rendah dibandingkan dengan negara Jepun dan Thailand. Antara negara Asia Pasifik yang menjalankan aktiviti perikanan ialah seperti Vietnam, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, dan Korea Utara serta negara-negara Oceania seperti Australia dan New Zealand. Aktiviti perikanan di negara-negara Asia Pasifik boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu

  1. Perikanan pinggir pantai
  2. Perikanan laut dalam
  3. Perikanan akuakultur

Perikanan Pinggir Pantai

Lokasi Perikanan

Perikanan pinggir pantai dijalankan di kawasan laut cetek iaitu di kawasan pentas benua. Perikanan pinggir pantai di Malaysia misalnya dijalankan di kawasan perairan seperti di Laut China Selatan, Laut Sulu, Selat Melaka, dan Selat Tebrau. Jarak dari pantai bagi menjalankan aktiviti perikanan pinggir pantai ialah tidak melebihi 32kilometer dan kedalaman air lautnya kurang daripada 180 meter.

Teknologi atau Peralatan Tangkapan

Kegiatan perikanan pinggir pantai diusahakan oleh nelayan pinggir pantai yang masih bergantung kepada teknologi tradisional seperti pukat tangkul, pukat tarik, jala, pompang, bubu, bitol, pancing, kelong dan sebagainya. Nelayan pinggir pantai ini turun ke laut pada awal pagi dan pulang dengan hasil tangkapan mereka pada waktu petang. Terdapat pelbagai jenis ikan yang ditangkap seperti tenggiri, parang, bawal, bilis, udang, ketam dan sotong.

Skala Pengeluaran

Hasil tangkapan bagi nelayan piggir pantai biasanya kecil dan sedikit. Hasil tangkapan lebih digunakan untuk keperluan harian keluarga dan selebihnya barulah dijual. Namun begitu pada masa kini konsep sara diri ini telah berubah, sebahagian besar hasil tangkapan dijual dan sedikit sahaja digunakan untuk keperluan keluarga. Hasil jualan tangkapan ikan ini menjadi sumber pendapatan nelayan-nelayan pinggir pantai. 

Modal

Sebahagian besar nelayan pinggir pantai terdiri daripada golongan yang miskin. 

Disebabkan faktor tersebut, para nelayan pinggir pantai tidak mempunyai modal yang cukup untuk mengusahakan aktiviti perikanan secara besar-besaran. Kebanyakkan nelayan pinggir pantai terpaksa bergantung kepada orang tengah untuk meneruskan kegiatan perikanan. Keadaan menyebabkan nelayan terikat dengan sistem hutang orang tengah. (golongan pemborong atau peraih).

Untuk membantu nelayan-nelayan pinggir pantai yang bermasalah ini, kerajaan Malaysia telah menyediakan bantuan modal, subsidi bot, dan pukat bagi membolehkan mereka mengusahakan kegiatan perikanan tanpa bergantung kepada orang tengah.

Perikanan Laut Dalam

Lokasi Perikanan

Perikanan laut dalam dijalankan di kawasan perairan antarabangsa seperti di Lautan Pasifik, Lautan Atlantik dan Lautan Hindi. Jarak dari pantai bagi aktiviti perikanan laut dalam ialah melebihi 32 kilometer dan kedalaman laut melebihi 180 meter.

Teknologi atau Peralatan Tangkapan

Kegiatan perikanan laut dalam diusahakan oleh nelayan-nelayan yang terlatih dan bekerja secara khusus kepada sektor ini. Perikanan laut dalam bergantung sepenuhnya kepada peralatan moden seperti kapal atau bot besar seberat 200 tan yang dilengkapi dengan radar pengesanan ikan, sistem telekomunikasi canggih, jentera penarik, pukat tunda, pukat harimau, pukat apollo, kemudahan dingin beku, dan kemudahan memproses ikan yang ditangkap. Nelayan biasanya berada di laut lebih daripada seminggu. Bagi nelayan laut dalam di negara Thailand dan Jepun mereka akan berada di laut dalam tempoh berbulan-bulan. Pelbagai jenis ikan yang ditangkap seperti tuna, tenggiri, bawal, merah, ikan paus, dan lain-lain.

Skala pengeluaran

Hasil tangkapan adalah banyak dan secara besar-besaran. Hasil tangkapan digunakan untuk jualan atau dieksport ke luar negara. Selain itu, hasil tangkapan juga digunakan dalam industri pengetinan ikan khususnya ikan sardin.

Bagi sesetengah nelayan laut dalam, pengkhususan dalam tangkapan ikan telah dibuat. Misalnya hanya dibenarkan menangkap ikan tuna dan ikan paus sahaja.

Modal

Modal yang digunakan oleh nelayan laut dalam adalah besar dan sesetengahnya dimiliki oleh syarikat swasta atau koperasi nelayan. Modal yang besar perlu bagi pembelian bot berkuasa tinggi, pukat yang moden seperti pukat tunda, sistem telekomunikasi canggih, dan bayaran upah kepada pekerja atau nelayan secara khusus. Di negara Malaysia, lokasi pendaratan ikan laut dalam telah dikhususkan di pelabuhan-pelabuhan perikanan seperti di 

  1. Tanjung Api, (KuantanPahang)
  2. Kuala Kemaman (Terengganu)
  3. Tok Bali (Kelantan)
  4. Kuala Perlis(Perlis).

Perikanan Akuakultur 

Perikanan akuakultur pada masa kini merupakan sub sektor pertanian yang amat penting sebagai pelengkap kepada sektor perikanan laut di Malaysia. Akuakultur menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah tangkapan ikan di Malaysia. Akuakultur yang dijalankan negara ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  1. Perikanan air tawar 
  2. Perikanan air payau dan air masin (marinkultur)

Lokasi kegiatan

Perikanan air tawar banyak dilakukan di dalam sungai, tasik, kolam, paya dan sawah padi. Manakala marinkultur pula dijalankan di muara sungai, paya bakau atau paya nipah, pinggir pantai, atau teluk yang terlindung. Kawasan akuakultur yang popular di Malaysia adalah seperti 

  1. Pulau Aman di Pulau Pinang.
  2. Sabak Bernam di Selangor.
  3. Beluran di Sabah.
  4. Mercang dan Kuala Setiu diTerengganu.
  5. Temerloh di Pahang.
  6. Mersing di Johor.

Jenis-jenis ternakan 

Jenis ternakan adalah berbeza mengikut kesesuaian air yang ada. Jika perikanan air tawar biasanya dipelihara ikan patin, talapia, karp, kelah, kaloi, udang galah dan sebagainya. 

Manakala marinkultur pula menternak ikan siakap, kerapu, ketam, tiram, udang harimau, dan lain-lain lagi.

Teknologi atau Kaedah.

Industri akuakultur menggunakan kaedah moden seperti kolam buatan, ternakan dalam sangkar, benih-benih ikan kacukan atau dibiak secara khusus, makanan tambahan, rawatan air dan pengurusan sistematik seperti mengasingkan ikan mengikut saiz dan umur. Selain itu perikanan akuakultur juga turut menggunakan alat dingin beku dan bekalan oksigen untuk menjamin ikan sentiasa hidup ketika berada di pasaran.

Modal

Ternakan akuakultur yang diusahakan oleh pihak swasta biasanya menggunakan modal yang besar. Contohnya ternakan udang harimau di Rompin, Pahang yang bertujuan untuk eksport. Manakala ternakan individu pula menggunakan modal yang sedikit seperti yang diternak oleh nelayan tempatan di pinggir-pinggir pantai atau muara sungai. Kebanyakan modal individu disalurkan oleh kerajaan secara pinjaman atau subsidi.

Skala Pengeluaran

Sebahagian besar Skala pengeluaran adalah untuk pasaran di dalam negara dan luar negara. Penternakan kecil-kecilan biasanya berorientasikan pasaran dalam negara seperti di pasar tani atau pasar malam. Penternakan ini dilakukan secara kecil-kecilan kerana dijadikan sumber pendapatan sampingan. Manakala penternakan yang dijalankan oleh syarikat swasta lebih berorientasikan eksport ke luar negara seperti Singapura, Jepun, Taiwan dan Korea. Antara ternakan akuakultur yang dieksport ke negara-negara tersebut adalah seperti udang harimau, ikan siakap dan kerapu.

Kaedah dan Alatan Penangkapan

Pukat merupakan salah satu daripada peralatan menangkap ikan secara tradisional yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Namun begitu secara tidak langsung, fungsinya kini dipertingkatkan lagi dengan adanya beberapa perubahan dan pembaharuan yang dilakukan ke atas alat ini. Terdapat beberapa jenis pukat, antaranya ialah pukat sorong, pukat tunda, dan pukat rinau. Pukat biasanya digunakan oleh para nelayan kecil dan sederhana. Lazimnya pukat mempunyai lubang-lubang agar besar antara 4-6 inci. Pukat digunakan oleh nelayan laut dalam dengan menggunakan bot besar. Nelayan jenis ini akan pergi memukat pada masa laut tidak bergelora selama 3-5 hari. Hasil tangkapan adalah ikan yang lebih besar dan tangkapan lebih banyak.

Pukat Tarik

Pukat tarik biasanya digunakan oleh nelayan di Pantai Timur seperti Kelantan,Terengganu dan Pahang. Ianya berbentuk seperti sebuah bakul yang besar, malahan,pukat ini juga turut dikenali sebagai Pukat Payung. Pukat ini boleh digunakan dalamperairan dalam ataupun cetek airnya dan cara menggunakannya sama sahajaberbanding dengan pukat-pukat yang lain. Biasanya pukat tarik digunakan untuk mendapatkan ikan yang lebih besar. Ikan-ikan yang biasa ditangkap dengan menggunakan pukat tarik ialah ikan kembong. 

Nelayan-nelayan di Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Pahang dan Terengganu banyak menggunakan pukat tarik.

Pukat Bakul / Pompang

Pukat bakul berbentuk agak kecil jika dibandingkan dengan pukat-pukat yang lain. Asalnya pukat jenis ini dibiarkan terbuka disebabkan oleh bingkai yang terdapat di sekeliling mulutnya. Sekarang ia dibuat daripada benang jaring yang boleh juga dipanggil sebagai pukat bakul berbingkai. Ia dipasangkan di dasar laut yang mempunyai permukaan lembut dan rata serta menghadap ke arah arus yang deras. Pukat bakul atau lebih dikenali sebagai pompang ini, hanya digunakan pada masa air pasang besar sahaja iaitu kira-kira 7-8 hari setiap bulan. Pompang di dalam air dipasangkan pada kayu pancang yang mengarah kepada arus. Ini kerana apabila ikan berenang akan mengikut arus akibat ditolak oleh alurnya yang kuat. Ikan yang terperangkap dipukat terdiri daripada ikan kekek, ikan baja, udang dan lain-lain lagi.

Pukat Jerut

Pukat jerut berupa suatu dinding jaring yang panjangnya sehingga beberapa kilometer, beserta dengan tali pemberat (tali kajar bawah) yang sama panjang atau lebih panjang daripada tali pelampung (tali kajar atas). Pukat jerut juga sebidang pukat yang mempunyai beberapa biji gelang yang digantung pada bahagian bawahnya. Gelang tersebut diperbuat daripada kayu, timah atau benda berat yang lain seperti tembaga. Hari ini gelang tersebut diperbuat daripada sadur logam. Logam tahan karat yang berbentuk bujur, bersama mekanisme gelang yang dapat dibuka. Masyarakat Melayu dahulu lebih suka menggunakan tembaga asli untuk membuat gelang tersebut.

Pukat Rentang

Pukat rentang biasanya digunakan untuk menangkap ikan di kawasan muara sungai dan kawasan-kawasan pantai berteluk yang biasanya mempunyai lumpur. Pukat  rentang biasanya digunakan untuk menangkap ikan belanak, ikan baja, ikan duri, ikan gelama dan sembilang. Nelayan biasanya memancangkan kayu pancang di dalam air sebanyak 20 batang. Panjangnya kira-kira 3 meter setiap satunya. Nelayan-nelayan akan berdayung ke kawasan kurungan (lingkungan pukat tersebut)sambil mengetuk papan dan tin-tin kosong dengan tujuan menakutkan ikan-ikan tersebut. Ikan-ikan yang berada di dalam ketakutan akan bertempiaran dan pada masa yang sama akan merempuh pukat-pukat tersebut. Pukat rentang ini biasanya digunakan oleh nelayan yang menjalankan kegiatan menangkap ikan secara kecil-kecilan. Namun terdapat juga nelayan yang  menggunakan pukat ini untuk aktiviti menangkap ikan secara komersial dengan dipermodenkan mengikut kesesuaiannya dan kemampuan nelayan.

Pukat Sodok

Pukat sodok mempunyai dua cagak kayu yang panjangnya lebih kurang satu meter dan mempunyai pemegang yang sama panjang, namun hujung kedua-dua saling sambung bersambung. Cagak ini dilengkung menggunakan sekeping kayu dan dawai yang berfungsi untuk menarik kedua-dua hujungnya bersama. Sekeping jaring dilekatkan pada  bingkai ini, mendatar di bahagian hujung dan semakin melabuh ke arah pemegang. Setelah sampai pada penyilang, jaring terus ke bahagian belakang membentuk satu kocek. Semasa digunakan, kocek ini digantung melalui satu gelung tali dari pemegang, dan pengguna mengasingkannya dari bahagian pukat utama. Ikan yang ditangkap ditolak melalui gelung ini ke dalam kocek untuk disimpan di situ. Biasanya peralatan ini digunakan oleh orang perseorangan di kampung-kampung.

Pukat Sorong

Pukat sorong merupakan sejenis pukat yang berbentuk segitiga. Pukat sorong digunakan untuk menangkap udang di tepi pantai semasa air mati. Pukat-pukat jenis ini tergolong dalam pukat yang merupai pukat tunda, sama ada dari segi bentuk ataupun fungsinya, namun ianya berbeza dari segi proses melabuhkannya di mana pukat sorong ditolak ke hadapan manakala pukat tunda pula ditarik.

Pukat-pukat bakul dikerjakan dengan tangan untuk menyauk ikan dan hidupan lain di dalam laut. Pada mulanya pukat jenis ini dibuat daripada papan seperti bakul datar tetapi, selalunya pukat ini terbuka disebabkan oleh bingkai di sekeliling mulutnya. Pukat sorong yang asal bersaiz kecil jika dibandingkan dengan pukat sorong yang ada sekarang. Operasi menyorong boleh dijalankan di waktu siang atau malam mengikut adanya kumpulan udang. Pada malam bulan gelap kegiatan ini tidak boleh dijalankan di kawasan air jernih kerana air laut akan mengeluarkan cahaya berkemutih menyebabkan udang mengetahui datangnya pukat. Untuk mengatasi masalah ini nelayan menggunakan lampu yang terang kerana mata udang tidak dapat menahan cahaya lampu dan menyebabkan udang tersebut tidak dapat melihat pukat yang telah disorong.

Operasi menyorong pukat tersebut dijalankan oleh dua orang nelayan dipesisiran pantai. Setelah mengetahui tempat kumpulan udang, dua batang buluh diturunkan dan kain jaring dipasangkan kepada buluh. Pangkal buluh diikatkan pada haluan sampan, dan kedua-dua nelayan tadi akan turun ke dalam air yang kedalamannya yang biasa ialah di antara 1.2 meter hingga 1.5 meter.

Di dalam air, nelayan akan memegang buluh tersebut supaya buluh itu akan sentiasa berada dalam keadaan terbuka dan separuh tenggelam. Buluh akan disorong bersama sampan kehadapan dan udang-udang akan masuk ke dalam jaring dan seterusnya ke dalam kandul.

Bubu

Bubu merupakan sejenis alat menangkap ikan dan termasuk dalam kumpulan perangkap. Ianya sering digunakan oleh masyarakat Melayu yang tinggal di persisiran pantai, lautan ataupun penduduk desa yang tinggal berhampiran dengan sungai. Walaupun bentuknya yang agak berbeza dengan mana-mana perangkap yang lain kerana saiznya yang agak kecil, namun ianya mudah dibawa dan senang diletakkan ditempat yang didapati banyak mempunyai ikan.

 Terdapat beberapa jenis bubu antaranya ialah bubu batang, bubu daun, bubu janbul dan bubu sadah. Bubu merupakan salah satu alat tangkapan tradisional Melayu yang masih kekal dengan bentuk asal dan ianya masih digunakan sehingga hari ini. Secara amnya, sebuah bubu dibentuk daripada tapak berbentuk empat segibujur yang diperbuat daripada rotan atau buluh mengikut rupa bentuk tertentu. Seluruh tapak dan rangka ini diliputi dengan kawat mata punai. Di bahagian depannya terdapat satu pintu masuk yang dipanggil injap yang berbentuk seperti leher kuda. Fungsinya adalah untuk memerangkap hasil tangkapan dengan membenarkan ikan masuk tetapi menghalangnya daripada keluar, manakala satu lagi pintu yang boleh dibuka dan ditutup, berada di bahagian tapak untuk mengeluarkan hasil tangkapan.

Pembuat bubu hanya memerlukan kemahiran meraut dan menganyam buluh. Buluh tersebut perlu dipotong kecil-kecil secara memanjang dan diraut untuk menjadi bilah yang boleh dianyam. Bahagian atasnya dibentuk untuk dibuat lingkaran supaya dapat menyokong buluh-buluh yang akan disatukan dengan pengadangnya.

Sehingga kini masih terdapat penduduk desa menggunakan bubu tradisional untuk menangkap ikan air tawar khasnya bagi memenuhi keperluan harian. Antara hasil tangkapan ikan yang biasa diperolehi ialah ikan sepat, keli, haruan, puyu dan ikan air tawar yang lain yang amat digemari oleh masyarakat desa. Pada masa ini, bubu telah diubahsuai dan diperbuat daripada bahan-bahan logam sesuai dengan penggunaannya untuk dilabuhkan di dasar lautan agar tahan lebih lama. Sungguhpun begitu, pembuatan bubu tradisional ternyata lebih mudah dan menjimatkan berbanding dengan bubu moden.

Jala

Jala merupakan sejenis peralatan menangkap ikan tradisional yang sehingga kini masih digunakan walaupun terdapat beberapa alatan tangkapan ikan yang lain yang sudah tentu lebih canggih dan mudah digunakan oleh para nelayan masa kini. Oleh itu, penghasilannya masih diteruskan sehingga ke hari ini. 

Penduduk kampung pendalaman biasanya menghasilkannya untuk dipasarkan ataupun hanya untuk kegunaan sendiri. Ianya diperbuat daripada benang-benang kapas atau benang nilon yang agak kasar bagi menyokong beban berat hasil tangkapan. Ianya menggunakan teknik anyaman benang menggunakan coban. 

Dikeliling jala diletakkan cincin besi sebagai pemberat. Teknik menebar jala dititik beratkan pada zaman dahulu, malah setiap upacara penebaran jala dilakukan beramai-ramai dan diketuai oleh raja atau sultan. Dalam setiap perahu terdapat satu kumpulan nelayan iaitu terdiri daripada pendayung, seorang pengemudi dan seorang lagi penebar jala yang berdiri dihujung haluan dan akan melakukan tugasnya sebaik sahaja menerima arahan menebar jala. Jala tradisional biasanya mempunyai jaring yang lebih kecil, diperbuat daripada benang kapas yang telah dipintal dan panjangnya dari tengah ke tepi biasanya dua atau tiga lengan panjangnya, manakala bagi panjangnya pula biasanya dua atau tiga belas lengan panjangnya. Jala tersebut haruslah ditebar dengan cara yang betul agar dapat melebar dengan lebih luas.

Kelong

Kelong merupakan batang nibong yang dipacak berbaris-baris di dalam dasar laut dan hujungnya timbul di permukaan. Kelong akan menghadap arus laut untuk memerangkap ikan ke dalamnya. Kawasan kelong yang telah ditanam cerucuk nibong ataupun kini digunakan kayu dan besi akan dipasang dengan jala bertujuan untuk memerangkap ikan setelah dipukul ombak mengikut arus laut. Kawasan ini akan dibekalkan dengan pencahayaan yang mencukupi pada waktu malam dengan tujuan untuk menarik ikan masuk ke dalam kelong dan sekaligus memerangkap ikan tersebut di kawasan jala. Kelong pada kebiasaannya popular di kawasan pantai barat semenanjung yang berombak sederhana dan tidak mengalami musim tengkujuh yang ketara.

  • https://www anjangmuor com/2021/03/23/jenis-dan-ciri-aktiviti-perikanan-di-malaysia/ (187)

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *