Jujurlah… Ia disukai semua.

Kongsikan kepada yang lain
Share

Jujurlah… Ia disukai semua!

Jujur dalam Bahasa Arab disebut AsSidqu. Benar atau jujur. Salah satu sifat yang wajib bagi seorang Nabi. Dari kecil kita dah hafal. Sidiq, Amanah, Tabligh, Fatonah. Ia sifat wajib yang pertama. Sudah tentu ia sangat penting. Ia termasuk sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Allah. Seluruh para Nabi dan Rasul adalah orang yang sangat jujur terhadap Allah dan sesama manusia. Dalam percakapan dan perbuatan. 

Sejarah mencatat, Nabi Muhammad SAW merupakan seorang peniaga yang berjaya dan masyhur sebelum baginda diangkat sebagai utusan Allah kerana kejujurannya. Bahkan, ketika masih bujangnya, beliau sudah menjadi seorang yang mempunyai pendapatan yang sangat besar. Ketika bernikah dengan Siti Khadijah, mahar pernikahannya itu adalah 20 ekor unta. Sekarang seekor unta nilainya tak kurang RM5K. Kalau 20, ertinya maharnya sahaja tak kurang RM100K.

Nabi Muhammad berkenalan dengan Siti Khadijah di dunia perniagaan. Ketika Nabi Muhammad masih muda, baginda sering diminta membawa barang dagangan milik Siti Khadijah, salah seorang konglomerat terkaya di Hijaz ketika itu. Orang ramai mengenali peribadi Saiyidina Muhammad sebagai seorang yang jujur dalam segala hal. Bahkan, beliau digelar sebagai Al-Amin, orang yang paling dipercayai.

Kejujuran itu menjadi pakaian peribadinya dalam semua keadaan termasuk ketika berbisnis. Sifat mulia itu justru menjadi sasaran kedengkian beberapa saudagar Quraisy Mekkah. Mereka merasa hasad dengki kepada Nabi Muhammad.

Bagi mereka, berniaga, berniagalah. Kenapa perlu jujur? Itu soal lain. Yang penting bagi mereka adalah mendapatkan untung sebanyak-banyaknya walaupun terpaksa menyingkirkan pesaing di pasar.

Suatu hari, mereka membuat perancangan untuk membangkrapkan Nabi Muhammad. Ketika rombongan pedagang Mekah itu membawa barang dagangan ke Syria (dahulu namanya Syam), mereka sengaja menurunkan harga ketika berniaga di sana. Dalam fikiran mereka, penduduk Syam sudah tentu mencari barang yang harganya lebih murah, maka barang dagangan Nabi Muhammad tak laku.

Sementara itu, Nabi Muhammad tidak mau ikut melakukannya. Sebab, baginda menyedari betul, barang-barang yang dibawanya adalah harta dagangan milik Siti Khadijah. Bukan miliknya sendiri. Tidak sepatutnya baginda menurunkan harga barang hingga rugi. Baginda sangat jujur dan amanah.

Pada baginda yang penting adalah kejujuran dalam melaksanakan tugas. Baginda takut kepada Allah. Baginda tahu, Allah sahaja yang memberi keuntungan atau merugikan, bukan manusia sama sekali. Nabi Muhammad tetap Istiqamah dengan kejujuran. Barang yang baik, dia katakan ianya baik kepada pelanggan. Barang yang rosak atau cacat, tidak dilindungi, disorokkan tetapi dia nyatakan kepada pelanggan supaya mereka tidak rasa ditipu.

Ketika dagangan Quraisy yang harganya terlalu murah itu habis,  para pembeli di Syam akhirnya membeli barang-barang daripada Nabi Muhammad dengan harga biasa. Maka Allah izinkan keuntungan perniagaannya berganda-ganda kerana kejujurannya.

Ketika rombongan pedagang yang dengki itu pulang, Mekah heboh. Semua pedagang itu rugi. Sementara, Nabi Muhammad untung besar.

Begitulah salah satu sifat terpuji Nabi kita sebelum diutus menjadi Rasul lagi. Moga kita dapat mencontohi baginda.

Jujur Sahabat, Abdullah bin Mas’ud

Saiyidina Abdullah bin Mas’ud merupakan seorang yang jujur. Sebelum memeluk agama islam dia merupakan seorang penggembala kambing. Dia menggembala kambing milik seorang pemuka Quraisy, Uqbah bin Abi Muaith. Dari pagi hingga petang ia habiskan waktunya untuk menggembala.

Pada suatu hari ketika dia sedang menjaga haiwan ternakan, ada dua orang laki-laki separuh umur datang menghampirinya. Kedua laki-laki itu nampak kehausan dan dalam keletihan. Mereka kemudian memberi salam kepada Abdullah bin Masud dan memintanya untuk memerahkan susu kambing yang dia ternak.

Akan tetapi, Abdullah bin Masud menolak untuk memberikan susu itu kepada mereka kerana kambing-kambing itu bukan miliknya. “Kambing-kambing ini bukan milik saya. Saya hanya memeliharanya,” katanya dengan jujur.

Mendengar jawapan itu, kedua laki-laki tersebut tidak membantahnya. Walau pun sangat kehausan, mereka sangat gembira dengan jawaban jujur si penggembala itu. Kegembiraan ini sangat jelas kelihatan di wajah mereka.

Ternyata kedua orang itu adalah Rasulullah SAW dan sahabatnya Saiyidina Abu Bakar As Siddiq. Hari itu, keduanya pergi ke pegunungan Mekah untuk menghindari siksaan dan perlakuan kejam kaum Quraisy.

“Apakah kamu mempunyai kambing betina yang belum dikawinkan?,” tanya Rasulullah. “Ada,” jawab Abdullah.

Lalu Abdullah mengajak Rasulullah dan sahabatnya melihat seekor kambing betina yang masih muda. Kemudian, kaki kambing itu diikat. Rasulullah mengusapkan tangannya ke tubuh kambing tersebut sambil berdoa kepada Allah.

Ketika itulah berlakulah kebesaran Allah ke atas Nabi-Nya. Tiba-tiba saja susu kambing itu mengalir sangat banyak. Saiyidina Abu Bakar segera mengambil sebuah batu cekung yang digunakan untuk menampung air susu hasil perahan tadi lalu 

mereka pun meminumnya bersama-sama. 

Setalah itu, Rasulullah berkata “kempislah”. Ketika itu juga kantung susu kambing menjadi kempis dan tidak mengeluarkan susu lagi.

Abdullah bin Mas’ud rasa takjub dan terkejut menyaksikan peristiwa tersebut kerana kambing itu masih belum dikahwinkan dan belum pernah mengeluarkan susu. Tapi di depan matanya saat itu kambing tersebut mengeluarkan susu yang banyak dan dapat dinikmati bersama. Itu adalah kurniaan Allah ujar Rasulullah. 

Ketika itu terasa kekaguman Abdullah bin Mas’ud di hatinya terhadap tetamunya. Tak lama setelah peristiwa itu, Abdullah pun memeluk agama Islam dan menjadi salah seorang penghafal Alquran yang terbaik. Kejujurannya membawa kepada hidayah Allah. 

Kejujuran dan Pendidikan

Kisah dari Khurasan, bumi Imam Al Bukhari suatu ketika, Imam Bukhari melakukan rehlah li talab al-hadis, satu perjalanan dengan misi mencari Hadis yang di kawasan yang jauh dari negerinya.

Beliau menempuh jarak ratusan kilometer untuk mengambil hadis tertentu dari seorang perawi.  Apabila tiba di lokasi, beliau melihat perawi yang dicari sedang hendak memberi makan kudanya sambil membawa baldi.

Allah jadikan, Imam Bukhari melihat dengan matanya sendiri, baldi itu kosong, tidak ada makanan sama sekali.  Nampaknya, perawi hadis itu bertujuan mempermainkan dan menipu kudanya.

Mengetahui hal ini, Imam Bukhari membatalkan niat untuk mengambil hadis darinya.  Apa yang dilakukan terhadap kudanya menunjukkan dia tidak jujur.

 Pada Imam Bukhari, jika dia boleh berbohong kepada binatang, maka dia boleh melakukan perkara yang sama ketika meriwayatkan hadis. 

Perhatikan, orang yang berbohong kepada binatang, tidak layak merawikan hadis apa lagi terlibat dengan pendidikan. Mendidik manusia lebih utama dari hanya meriwayatkan sebuah hadis. Jika seseorang itu tidak jujur, dia tak akan boleh mendidik muridnya untuk jujur, taat, sabar, redha, atau untuk takut Allah kerana dia sendiri tidak takutkan Allah.

Sila klik untuk menonton kuliah ringkas tentang jujur.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *