Polis guna dron kesan kenderaan buat salah

Kongsikan kepada yang lain
Share
Bakri menunjukkan dron yang digunakan bagi merakam gambar kenderaan yang melakukan kesalahan pada Op Selamat 18 di Plaza Tol Gombak, Gombak, hari ini. – Foto NSTP/Nurul Hidayah Bahaudin

GOMBAK: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menggunakan dron bagi merakam gambar kenderaan yang melakukan kesalahan memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat dalam Operasi Selamat ke-18 (Op Selamat 18). 

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, berkata pihaknya dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan tiga dron di tiga lokasi meliputi tiga sektor iaitu utara, selatan dan timur.

“Hari ini, kita menerbangkan dron di tiga lokasi iaitu di Plaza Tol Gombak, di sini, Slim River, Perak dan Pagoh, Johor untuk merekodkan gambar kenderaan yang melakukan tiga kesalahan utama berkenaan. 

“Dron ini akan merakam gambar kenderaan pesalah yang melakukan kesalahan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Bakri berkata, gambar berkenaan dirakam menggunakan kamera berkapasiti tinggi yang boleh mencerap imej 360 darjah dengan kelajuan 70 kilometer sejam. 

“Gambar yang dirakam itu kemudian akan diproses untuk semakan sistem di Bukit Aman sebelum notis pemberitahuan kesalahan dihantar kepada pemilik kenderaan.

“Selain mempunyai kamera, dron ini juga mempunyai pembesar suara untuk membuat pengumuman serta dan ia mampu terbang selama tiga jam bagi setiap sesi penerbangan,” katanya. 

Beliau menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan bagi memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita tahu semua orang mahu balik ke kampung. Ini terbukti apabila semalam hampir 5.5 juta kenderaan direkodkan berada di jalan raya iaitu melebihi jangkaan kita sebanyak lima juta kenderaan sehari.

“Malah, kita lihat jumlah kenderaan semakin meningkat kerana orang ramai mahu merebut peluang mendapatkan pengecualian bayaran yang diberikan kerajaan.

“Justeru itu, kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati dan bertimbang rasa supaya semua orang merasa selesa untuk balik ke rumah masing-masing,” katanya.

AM: Kalau dalam hati kita ada rasa takutkan Allah dan rasa itu kekal di hati, ia akan mengawal kita daripada melanggar undang-undang dan peraturan. Undang-undang dan peraturan akan lebih berkesan bila di hati telah ada rasa dengan Tuhan. Orang begini tidak akan merancang melanggar peraturan kecuali tak sengaja. Pada dia, sebelum dron tangkap gambar atau memberi amaran dengan ‘suara dari langit’, dia lebih dahulu takut para malaikat mencatat amalannya. Ada dron atau tiada, dia tetap ikut peraturan dan undang-undang.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *