Thailand negara jalan raya

Kongsikan kepada yang lain
Share
Jalan raya di kampung Thai

Thai negara jalan

Salam ceria.
Sejak masuk ke Thailand melalui border Bukit Kayu Hitam atau di tanah belah Thailand Sadao, Samnak Kham pada 14hb September yang lalu anjang dah lalui jarak perjalanan darat berjumlah ribuan kilometer.

Apa taknya, lepas border je kami terus ke Kampung Na Thap di Chana. (83 km) Selesai ziarah makam para syuhada’ di situ, kami bergerak ke Pattani iaitu ke Taluban di Sai Buri (131.5 km). Selesai mesyuarat dengan team Masjid Taluban, bersembahyang Maghrib dan dijamu makan kami bergerak ke Bang Nak, Mueang, Narathiwat (47.6 km). Di sini Bang Cik pula belanja kami makan. Kami tidur di sebuahg hotel di sana.

Esoknya kami gerak ke Cho-airong District Narathiwat (31.6 km) bertemu dengan YB Tasneem. Dari sini kami ke Singhanakhon Mueang Songkhla District, Songkhla (197.7 km) bertemu dengan CG Malaysia dan timbalannya. Dari situ kami ke Amphoe Hat Yai Songkhla (31.3 km) dan bermalam di sebuah homestay.
Esoknya kami kembali ke Chana untuk menziarahi makam-makam.

17hb September anjang ikut Tuan Yahya dan Tuan Jo terbang ke Bangkok untuk bertemu mantan Menteri Kewangan Thailand berbincang mengenai aktiviti GISBH di selatan Thailand.

21hb September anjang balik ke Had Yai dari Krung Thep (Bangkok). Jarak perjalanan lebih kurang 946 km. Sampai-sampai kami sambung perjalanan ke Pattani (106.5 km)

Anjang juga telah pergi ke Na Thawi-Prakop, menyambut rombongan dari Malaysia terus menziarahi makam syuhada di Chana dan terus ke Nee Ran Nee Resort betul-betul di tepi pantai daerah San Buri, negeri Pattani. Selama beberapa hari di Pattani kami bergerak menelusuri jalan-jalannya di pekan dan kampung.

25hb September anjang sekali lagi pergi ke Bangkok, kali ini melalui jalan darat dengan Tuan Shukri dll.
1hb Oktober pula, anjang gerak ke Phuket dengan rombongan Tuan Nasir melalui jalan darat. Tuan Nasir memuji jalan-jalan di Thailand hingga ke makam Tuan Cumad Adam di sebuah kampung di Phuket pun cantik jalannya.

Apa yang anjang ingin ketengahkan di sini ialah jalan raya di seluruh Thailand sekarang bertambah baik. Ke mana sahaja kita pergi telah disiapkan jalan raya yang cantik samada di kampung-kampung selatan Thai seperti Pattani dan Narathiwat juga di Phuket.

Tuan Nasir berulang kali memuji jalan raya di Thailand yang cantik hingga ke pelusuk kampung malah jalan ke makam Tuan Cumad Adam dan Mak Pah pun tersedia cantik menunjukkan ‘Thailand Negara Jalan’. Dah la jalannya cantik, secara umum, tiada tol pula.

Ini kebijaksanaan pemerintah di sini kerana jalan raya adalah alat perhubungan. Untuk menjalinkan hubungan perlu ada alatnya. Bila ada jalan raya mudahlah berlaku hubungan di antara banyak pihak.

Melalui hubunganlah akan berlaku kasih sayang dan kemesraan. Ia keperluan semua manusia tak kira etnik, bangsa, agama, bahasa dan warna kulit. Tanpanya manusia hilang kebahagiaan.

Setelah berlaku hubungan, kasih sayang dan kemesraan terjadilah tolong menolong, bantu membantu, rasa-rasa bersama dan bekerja sama, bela membela, saling memberi dan menerima.

Bila ada jalan raya, pemimpin mudah melawat rakyatnya, melihat keperluan dan kebajikan mereka. Pihak kerajaan mudah memberi bantuan kepada rakyat bila-bila masa lebih-lebih lagi jika berlaku kesusahan.

Dengan adanya jalan raya yang cantik, rakyat walau di ceruk mana, mudah ke sini ke sana. Memasarkan hasil tanaman dan ternakan. Menguruskan kehidupan harian. Itulah pentingnya perhubungan dan Thailand memahami ini dan ia dijelmakan dengan pembinaan jalanraya di seluruh negara.

Benarlah setiap kejayaan itu bermula dengan perhubungan samada kejayaan dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Firman Allah;
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوٓا۟ إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ ٱلنَّاسِ
Terjemahannya;
Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya hubungan dengan Allah dan adanya hubungan sesama manusia.
Aal-Imran: 112

Crowne Plaza, Phuket Panwa Beach
6.38 am, Okt 3, 2022

Gambar kenangan di Krabi

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: