AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Maruah Melayu Siri ii – Bersatu Syariat

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Kebenaran itu kadang-kadang pahit tetapi ia adalah ubat untuk penulis dan pembaca. Ubat untuk yang mendengar lebih-lebih lagi yang berkata. Sabda Rasulullah SAW:

قل الحقَّ ولو كان مرَّاً

Ertinya:

Ucaplah kebenaran walaupun ia pahit.

Apa yang kita ucapkan atau katakan halakan atau tujukan untuk diri kita sendiri sebagai mengambil hikmah kejadian kita, Allah ciptakan mempunyai 1 mulut 2 telinga agar kita lebih banyak mendengar dari berkata-kata.

Kali ini kita sambung tentang Maruah Melayu khasnya berkaitan bersatu. Tanpa kesatuan, hilang maruah kita. Kita bahaskan sebelum ini bersatu mempunyai syarat-syaratnya. Malangnya syarat pertama iaitu bersatu dari sudut akidah pun tak selesai. Betullah kata-kata bahawa kita lemah kerana salah kita sendiri. Kesalahan yang pertama dan utama ialah tidak mengajak dan mendidik Umat Melayu membina akidah yang tepat khasnya tentang Allah hingga takut setakut-takutnya pada Allah, rindu serindu-rindunya pada Rasul. Hal ini perlu kita taubatkan dan muhasabah agar kembali kepada track yang betul.

Seterusnya mari kita bahaskan point kedua tentang bersatu. Setelah bersatu akidah seterusnya Umat Islam mesti…

2. Bersatu syariat

Bersatu syariat itu ialah bersatu dalam menerima lima hukum Allah, iaitu:

• Wajib

• Sunat

• Haram

• Makruh

• Harus

Dalam kegiatan hidup kita sehari-hari, kita tidak dapat melepaskan diri dari salah satu dari 5 hukum tersebut di dalam kerja apa pun yang kita buat samada yang kecil maupun kerja yang besar.

Adapun takrif hukum-hukum tersebut adalah seperti berikut:

i) Wajib: Perkara yang bila dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan berdosa, maka kedudukannya mesti dibuat. Seperti sembahyang fardhu, puasa di bulan Ramadhan, belajar Fardhu Ain, menepati janji, berkata benar, amanah dll.

ii) Sunat: Perkara yang apabila dibuat diberi pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa, maka kedudukannya elok dibuat. Bukan mesti. Elok. Seperti sembahyang sunat, puasa sunat, ziarah orang sakit, berwirid zikir, berselawat dll.

iii) Haram: Perkara yang bila dibuat berdosa, kalau ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya mesti ditinggalkan. Seperti minum arak, berzina, berbohong, khianat, membazir dll.

iv) Makruh: Sesuatu perkara yang jika dibuat tidak berdosa (tapi Allah benci) kalau ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya elok ditinggalkan. Bukan mesti. Seperti memakan makanan yang busuk baunya dll.

v) Harus: Suatu perkara yang kalau dibuat tidak berpahala jika ditinggalkan tidak berdosa kedudukannya, tepuk dada tanya selera. Nak buat sila, nak tinggalkan pun tak apa. Tetapi kalau dibuat cukup 5 syarat-syaratnya boleh jadi ibadah kepada Allah dan mendapat pahala. 5 syarat tersebut ialah:

1. Niat kena betul iaitu buat suatu perkara itu kerana Allah Taala.

2. Perlaksanaannya mengikut syariat.

3. Perkara yang dilaksanakan itu dibolehkan oleh syariat (tidak bertentangan dengan syariat),

4. Natijahnya (hasilnya) mesti betul.

5. Tidak meninggalkan atau mengabaikan perkara yang asas iaitu semua rukun Iman dan Islam.

Jadi, bila kita diperintahkan bersatu dalam syariat, bererti kita diperintahkan menerima segala ketetapan lima hukum syara’ yang tersebut. Menerima di sini maksudnya memahami, meyakini, mengamalkan dan memperjuangkannya. Maksudnya yang lebih jelas ialah perbuatan yang wajib dan sunat itu hendaklah difahami, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan.

Semua ahli parti kita, ahli pertubuhan kita, orang Islam taman kita, orang kampung kita semuanya kena bersatu dari sudut syariat. Kena menerima yang wajib sebagai wajib dan sama-sama laksanakan.

Hal-hal yang berhubungan dengan akidah, ibadah, akhlak, jihad, tarbiah dan lain-lain adalah perkara yang wajib, maka umat Islam mesti menerimanya sebagai hukum wajib serta berusaha memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya supaya ditegakkan secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.

Contohnya semua ahli parti Melayu atau parti Islam atau apa-apa organisasi kena bersatu menerima sembahyang fardhu itu sebagai wajib dan semua ahli kena pastikan mendirikannya. Adakah ia berlaku? Jangan malam dengar ceramah politik atau pasang bendera parti, subuh esoknya ‘ke laut.’ Orang kata ‘Subuh Gajah’. Begitu juga puasa Ramadhan, zakat dan haji. Jangan London, Paris, Los Angeles pergi saban tahun, Mekah Madinah dilangkah je. Ini tak bersatu dalam bersyariat namanya.

Contoh lain, mendirikan perusahaan makanan Islam yang halalan toiyiban seperti mi kuning, tauhu, kicap, sos cili dan tomato, fish ball, fish cake, sosej, ais krim, roti, coklat, biskut dll hukumnya wajib. Wajib Fardhu Kifayah. Kalau di buat oleh sebahagian umat Islam dalam lingkungan 2 marhalah, gugur dosa yang lain. Kalau tak diusahakan, semuanya berdosa. Kalau Allah tak ampunkan, semua Umat Islam di kawasan itu akan masuk neraka.

Adakah parti-parti Melayu Islam ini, sejak merdeka hingga sekarang yakini perkara ini wajib dan usaha bangunkan kilang-kilang ini? Sejak lebih 60 tahun, berapa kilang yang telah kita bangunkan? Dah selamatkah Umat Islam khasnya Bani Melayu dari menyuap mulut mereka dan anak isteri mereka dengan makanan yang benar-benar suci kerana ia membina hati dan peribadi mereka. Apa yang kita perhatikan di media social, perangai mencarut, maki hamun, membawang, bermegah-megah, mendedahkan perkara-perkara sulit sudah menjadi kebiasaan. Selain dari didikan dan persekitaran, apa yang kita makan itulah yang membentuk perangai dan sikap kita.

Adakah mereka tak rasa berdosa 60 peratus dari industri yang mendapat sijil halal adalah dari kilang bukan muslim. Sejak lama merdeka malah Parti Islam menang beberapa negeri, parti majoriti Melayu pun berkuasa terlalu lama, kenapa makan minum kita pun orang lain yang sediakan?Mana maruah kita? Inilah akibat tidak bersatu. Bahkan tidak faham apa itu bersatu.

60% syarikat dengan sijil halal milik bukan Islam

Kalau begitu keadaannya kita belum bersatu dalam menerima hukum wajib. Kita belum bersatu dari sudut syariat. Kalau ada yang setuju dalam parti atau jemaah kita untuk bangunkan Fardhu Kifayah, ada pula yang tidak, maka jelas kita belum lagi bersatu. Kalau satu parti, malah satu keluarga pun belum bersatu, apa yang kita boleh harapkan di skala yang lebih besar…

Adakah ahli parti kita menerima hukum Sunat itu sebagai sunat dan berusaha melakukannya sekadar terdaya? Atau langsung tak hiraukan perkara yang sunat.

Kalau hendak melepasi bersatu dari sudut syariat ini, kena pastikan semua ahli parti, persatuan, malah semua Umat Islam menerima hukum haram itu sebagai haram dan meninggalkannya. Adakah ia berlaku? Rasuah itu haram, riba itu haram, membazir itu haram, judi itu haram, khianat itu haram, berbohong itu haram, tak tunaikan janji itu haram, tak tutup aurat itu haram, bergaul bebas lelaki perempuan bukan mahram itu haram, memaki hamun itu haram, memfitnah itu haram, mencarut itu haram, zina itu haram, minum arak itu haram dll. Adakah kita semua meyakini semua perkara ini sebagai haram dan meninggalkannya 100%? Kalau belum berlaku, terimalah hakikat kita belum bersatu. Maruah kita masih rendah.

Begitu juga dalam menerima perkara yang makruh. Katalah merokok itu makruh (ada fatwa mengatakannya haram), adakah semua ahli kita menerimanya sebagai makruh dan berusaha sedaya yang mampu meninggalkannya. Kalau belum, kita belum bersatu dalam menerima hukum syara’.

Sepatutnya setelah Merdeka dari penjajah Umat Melayu Islam bersatu tapi oleh kerana Merdeka cara yang disusun musuh Islam Parti Melayu berpecah. Satu kononnya nak jadikan Islam sebagai teras. Satu lagi nak jadikan bangsa sebagai teras. Akhirnya yang gunakan nama Islam pun berpecah lagi. Syiar-syiar Islam pun tak nampak menyerlah. Malah bila ada idea dari seorang hendak wujudkan projek-projek ekonomi Fardhu Kifayah dalam parti, ianya di tentang. Nak bangunkan sekolah pun di tentang, nanti dapat negara kita Islamkan sahaja sekolah yang ada. Sangat tak boleh terima Islam yang terbangun di tangan orang lain.

Yang berteraskan bangsa pun rosak dengan pelbagai skandal kewangan dan projek. Bila tak berasaskan akidah dan syariat akan terjadi seperti Saudi. Tak tahu bagaimana ia boleh merdeka dari Kerajaan Islam Uthmaniah. British juga di belakangnya. Berbekalkan kefahaman Wahabi dan kebangsaan Arab suku kabilah Bani Saud mereka merdeka kononnya. Akhirnya apa yang terjadi, hujung kerajaan Saudi sekarang semakin mengarut.

Saudi benarkan bukan mahram duduk sebilik

Seterusnya kita kembali kepada bersatu yang Islam kehendaki bukan track yang musuh sediakan yang dihujungnya ada perangkap untuk menjerat kita.

Adakah perkara yang harus kita usahakan agar menjadi ibadah dengan menempuh lima syarat?

Contohnya hukum asal berniaga mini market itu harus, macam mana nak jadikan ibadah:

1. Niat kena betul. Niat berniaga kerana Allah. Kerana nak mudahkan penduduk mendapatkan keperluan mereka. Niat tak betul. Berniaga kerana nak jatuhkan perniagaan orang. Niaga dengan niat, kalau untung dan kaya nanti nak beli kereta besar dan berbangga dengan orang.

2. Perlaksanaan kena betul. Apa yang diniagakan dibenarkan oleh syara’ seperti beras, tepung, garam, gula, minyak, ikan, ayam, daging dll. Tidak menipu ketika berniaga. Tidak membuat pinjaman riba dll. Yang tak betul seperti menjual senjata, rokok, dadah dll atau menipu ketika berniaga.

3. Perkara yang dibuat dibenarkan oleh syara’. Perniagaan ialah perkara yang syara’ benarkan. Allah halalkan perniagaan dan mengharamkan riba.

4. Natijahnya betul. Bila untung berniaga, keuntungannya digunakan untuk menyara keluarga, bersedekah dll. Natijah tak betul, untung niaga digunakan untuk berjoli, berjudi atau terlibat perkara yang haram.

5. Tidak meninggalkan perkara yang asas. Walau sibuk berniaga, solat fardhu tak diabaikan, kelas-kelas Fardhu Ain masih diikuti. Puasa, zakat dan haji dibuat bila cukup syarat. Yang tak betul, bila sibuk berniaga ditinggalkan perkara-perkara yang asas kerana mengutamakan perniagaannya.

Adakah semua orang-orang kita memahami persoalan harus itu begini. Ia perlu dijadikan ibadah agar dengan lakukan yang harus sekalipun kita tetap semakin dekat dengan Allah Taala kerana majoriti aktiviti dalam kehidupan kita termasuk hukum harus, kalau tidak dijadikan ibadah, ia jadi sia-sia. Paling ditakuti ia boleh jadi maksiat. Perkara yang asalnya harus itu seperti bekerja, berehat, makan, minum, berjalan, berbual, diam, tidur, travel dll adakah telah kita pastikan ia jadi ibadah dengan menempuh 5 syarat tadi?

Kalau kita selaras dalam menerima hukum-hukum syara’ yang lima ini, kita dikira telah bersatu dalam soal Syariat. Walaupun kita tidak di bawah satu parti, satu organisasi, malah berbeza bangsa, berjauhan di sudut geografi dan dalam negara bersistem politik yang berbeza, Islam mengitiraf kita bersatu di sudut syariat kerana kita selaras dan sama dalam menerima hukum yang lima.

Sebab itu anjang pelik, bila diadakan Kongres Maruah Melayu, kenapa tak sedikit pun menyebut tentang #BMF sedangkan terbukti di situ ada unsur kesatuan Melayu Islam dalam Syariat iaitu persoalan Fardhu Kifayah. Malah dah nampak Umat Islam bersatu saling menyokong dan bekerjasama antara satu dengan lain. Sepatutnya ia disuburkan lagi dalam persidangan yang dihadiri oleh ramai pemimpin Melayu berlainan ideologi. Atau mereka yang hadir kebanyakan hanya jurucakap bermodalkan air liur tetapi tidak ada satu pun perusahaan untuk membela Umat Islam Melayu?

Villa GISBH Istanbul

5.30pm, Okt 8, 2019

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

One thought on “Maruah Melayu Siri ii – Bersatu Syariat

  • Helmi Kadir

    Ya x ya jugak cakap Anjang patut #BMF ni lah yg jadi terras UTAMA wajib di bincang hingga garis resolusi & strategi perlaksanaan langkah2 projek ekonomi dari rakyat bawahan hingga ke kerajaan…dalam 5 tahun 5 rukun amalan & sosio ekonomi melonjak memenuhi keperluan ummat bangsa.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *