AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Ziarah Bab Soghir – Makam Ibnu ‘Asakir

Kongsikan kepada yang lain
Share

Makam Ibnu Asakir

Salam ceria.

Selepas membeli muajjanat di kedai Muajjanat Dimasyq, kami bawa dan makan bersama-sama di kafe Hotel. Order Syaie di situ. Lepas itu kami ambil teksi ke Babus Soghir.

Orang-orang lama Syam amat menyayangi kanak-kanak.
Bila nampak kanak-kanak dari Malaysia pula, ada je jajan yang hendak diberi

Babus Soghir ni wajib pergi untuk ambil keberkatan. Di sana terdapat banyak makam-makam mereka yang telah berjasa dalam Islam. Bermula dari laluan untuk sampai kita melalui jalan yang di kiri kanannya terdapat kedai pembuat batu nisan. Berdekatan dengan kawasan itu ada makam Syeikh Bahlul yang merupakan seorang wali Allah. Malangnya di negara kita menyalahgunakan perkataan bahlul untuk maksud bodoh, bengap sedangkan ia nama seorang wali Allah.

Allah pilih Tuan mendiami Bab Soghir ini. Moga ada keberkatan untuk seluruh staf syarikat dan penduduk Syam ini.

Teksi berhenti di jalan utama tak dibenarkan masuk jalan ke arah makam. Ada tentera berkawal di situ. Belum benar-benar aman lagi di Dimasyq ni. Kami turun dan bayar tambang teksi 1000 Lira. Melalui pos tentera itu anjang angkat tangan memberi salam kepada dua orang tentera yang lengkap bersenjata dan terus berjalan kaki memasuki kawasan permakaman.

Di awal-awal simpang, terletak di tengah-tengah persimpangan jalan dan agak tersendiri, berpagar hijau, di situlah letaknya makam Syeikh Al Hafiz Ibnu Asakir.

Nama Imam Ibnu Asakir adalah Ali bin al-Hasan bin Habbatullah bin Abdullah bin Husein ad-Dimasyqi asy-Syafi’i (ulama madzhab Syafi’i). Kuniahnya Abu al-Qasim. Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 499 H/1105 M di Kota Damascus/Damsyiq/Dimasyq.

Beliau adalah pakar Hadis mencapai tahap Al-Hafiz (Mahir ilmu Hadis dan menghafaz tak kurang dari 100 ribu hadis Nabi SAW) lahir di Damsyiq selepas belajar dari ayahnya, abang-abangnya dan para ulama di Damsyiq beliau terus menuntut ilmu di Baghdad, Mekah, Mina, Madinah bahkan mengembara hingga ke Asbahan, Naisabur, Merv, Tabriz, Khosrowjerd, Bastam, Damghan, Ray, Zanjan, Hamadan, Herat, Sarakhs, Semnan, Abhar, Khuwi, Marand dan lain-lain.

Di Naisabur, Ibnu Asakir belajar dari Abu Abdullah al-Farawi. Ia bermulazamah (tidak berpisah-melazimi) beberapa waktu dengannya. Al-Farawi mengatakan, “Ibnu Asakir datang. Ia membaca (meminta disemak) di hadapanku 3 hadis lebih. Aku pun merasa berat. Muncul keinginan di hatiku agar menutup pintu untuknya”.

Kemudian kata as-Sam’ani, “Di pagi harinya, ada seseorang datang kepadaku (dalam mimpi). Laki-laki itu berkata, “Aku adalah Rasulullah ”. “Marhaban bik –ya Rasulullah-”, kataku. Kemudian beliau berkata, “Berjumpalah dengan al-Farawi dan katakan padanya, ‘Datang seorang laki-laki berkulit coklat dari Syam ke negeri kalian. Ia ingin meriwayatkan hadisku. Jangan kalian sia-siakan dia.” (al-Inayatu bi Thullab al-Ilmi Inda Ulama al-Muslimin oleh Abdul Hakim Unais)

Begitulah peranan mimpi di kalangan ulama-ulama zaman dahulu. Mereka ditegur dalam mimpi. Kadang-kadang orang lain yang bermimpi tapi teguran untuknya. Dan mereka menerimanya. Zaman sekarang, bila cerita tentang mimpi sahaja ramai yang sebelum dengar dan meneliti terus bingkas menentang dengan berhujjah: Mimpi bukan sumber syarak. Semua tahu mimpi bukan sumber syara’ tapi semua juga tahu yang mimpi Rasulullah SAW itu benar. Masalahnya orang yang nak di ajak mendengar, tak pernah bermimpi bertemu Nabi SAW, maka dia menyangka semua orang sepertinya tak pernah bermimpi.

Dalam perjalanannya ke negeri-negeri bukan Arab, Ibnu Asakir bertemu setidaknya dengan 1300 orang ulama. 80 orang lebih di antara mereka adalah perempuan. Tengok, Imam besar ini berguru dengan perempuan tanpa malu dan ego. Bukan seorang tetapi lebih 80 orang. Kalau memang wanita itu alim dan layak menyampaikan ilmu, sangat patut kita berguru dengannya seperti para sahabat berguru dengan Saiyidatina Aisyah RA. Di akhir zaman, orang yang tak diberi faham hatinya menyangka berguru dengan wanita itu menjadikan wanita itu pemimpin lalu meninggalkan jemaah yang hak.

Pada ketika berumur 43 tahun, Ibnu Asakir kembali ke Damascus dan menetap di kota tertua di dunia itu dan mula mengajar di situ setelah memohon petunjuk dari Allah dan meminta nasihat para ulama di situ.

Kitab karya Ibnu Asakir lebih dari 60 judul. Sebahagian besar tulisannya adalah tentang ilmu hadis dan bakinya tentang keutamaan amalan. Karya utamanya adalah Tarikh Dimasyq.

Kitab terkenal Ibnu ‘Asakir: Tarikh Dimasyq (Sejarah Damsyiq)

Di antara karya tulisanya adalah:

Tarikh Dimasyq, al-Ijtihad fi Iqamati Fardhi al-Jihad, al-Ahadits al-Khumasiyat wa Akhbar Ibnu Abi Dunya, al-Ahadits al-Mutakhayyirat fi Fadhail al-Asyrati fi Juzain, Amali fi al-Hadits, Tabyin Kadzabi al-Muftari fima Nasaba ila Abil Hasan al-Asy’ari, Tsawabu ash-Shabr ‘ala al-Mashaib bil Walad, Fadhlu Ashhabul Hadits, Kitab Fadhlu Makkah, Kitab Fadhlu al-Madinah, Kitab Dzammu Man La Ya’mal Bi’ilmihi, Kitab Fadhail ash-Shiddiq, dll.

Ibnu Asakir meninggal dunia pada malam Isnin 11 Rejab 571 H/1176 M. Sultan Solahuddin al-Ayyubi turut serta menghadiri jenazahnya menunjukkan kedudukan beliau di sisi pemimpin negara. Ia dimakamkan di sisi makam ayahnya di Babus Soghir ini.

“Ya Allah! Berkatilah dan bantulah perjuangan ini dengan berkat Syeikh Ibnu ‘Asakir!”

Selepas itu kami menuju ke makam Saiyidina Muawiyah RA….

Villa GISBH Istanbul

9.13 am, Okt 13, 2019

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *