AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

Makam Saiyidina Muawiyah bin Abu Sufian RA

Kongsikan kepada yang lain
Share

Makam Saiyidina Muawiyah bin Abu Sufian RA

Salam ceria.

Dari makam Al Hafiz Ibnu Asakir kami berjalan terus, depan sikit sahaja ada pintu bertembok, kawasan perkuburan yang besar. Di celah lorong yang agak sempit kami terus berjalan. Di tengah-tengah lorong yang sempit itu ada pekerja membancuh simen, mungkin untuk baik pulih makam.

Di pertengahan jalan kami bertegur sapa dan menyantuni orang-orang tempatan. Mereka sangat menghormati tetamu. Tetamu dari Malaysia. Begitulah watak asal orang Syam sangat lemah lembut dan berakhlak.

Tak berapa jauh ke dalam kami bertemu sebuah makam dalam bangunan yang berpagar. Pagarnya 3 lapis. Di situlah dimakamkan seorang Sahabat Rasulullah SAW yang mulia, Saiyidina Muawiyah bin Abi Sufyan. Siapakah beliau?

Sahabat Nabi itu umpama bintang, siapa sahaja di kalangan mereka yang kita ikuti, kita akan dapat petunjuk. Sahabat ialah sesiapa yang bertemu dengan baginda Nabi SAW ketika Nabi masih hidup dalam keadaan beriman kepada baginda dan tidak keluar dari Islam sehingga menemui Tuhan. Jumlah sahabat ialah seramai 124 ribu orang. Kesemua mereka masuk syurga kerana bersahabat dengan Nabi Muhammad SAW. Mencintai para sahabat Rasullah SAW adalah wajib dan melakukan pembelaan kepada mereka merupakan bukti dari rasa cinta tersebut.

Antara sahabat yang dibenci oleh kaum Syiah dan Khawarij ialah Saiyidina Muawiyah RA. Kita Ahli Sunnah wal Jamaah sama sekali tidak akan mencela seorang pun sahabat Nabi kerana kedudukan mereka yang sangat tinggi. Nilai-nilailah diri kita siapa…

Makam Saiyidina Muawiyah ini berpagar 3 lapis kerana selalu dibaling batu dan objek-objek lainnya oleh puak Syiah. Sayangnya makam sahabat yang mulia tidak dijaga dengan baik seperti makam Saiyidina Abu Ayub Al Ansori di Istanbul. Bukan sahaja di sebelah luarnya tidak nampak dijaga, malah di sebelah dalam pun kelihatan terbiar. Sedangkan beliau ialah sahabat Rasulullah dan khalifah umat Islam. Ampun ya Allah. Kaum Syiah pula sangat agresif membenci beliau hatta kepada makam yang tidak bertindak balas pun mereka lakukan bermacam perkara seperti baling batu, jolok di celah pagar dengan ranting kayu, kotorkan dll

Ada ulama mengatakan, “Saiyidina Mu’awiyah adalah perisai bagi para sahabat Nabi lainnya. Apabila tersingkap, maka seseorang akan berani menembusi yang di belakangnya”. Ertinya kalau kita benarkan orang menghina walau seorang sahabat sekalipun ertinya kita membuka ruang untuk penghinaan sahabat-sahabat yang lain.

Nama sebenarnya, Mu’awiyah bin Abi Sufyan Shakhr bin Harb bin Umayyah bin Abdi Syams bin Abdumanaf al-Qurasyi. Merupakan sahabat dan ipar Nabi SAW. Beliau juga seorang penulis wahyu dan menjadi Khalifah kaum muslimin.

Dilahirkan di kota Mekah sekitar lima tahun sebelum kenabian. Dibesarkan dalam lingkungan Bani Umayyah dengan diliputi kemuliaan dan kekayaan. Keluarga besar Mu’awiyah terkenal dengan ketokohan dan sebagai panglima pada masa jahiliyah. Datuknya, Harb bin Umayyah adalah penglima kaum Quraisy dalam perang al-Fijar. Bapanya, Abu Sufyan merupakan pembesar Quraisy pada masa jahiliyah dan masuk Islam setelah penaklukan Mekah. Ibunya pula, Hindun bintu ‘Utbah bin Rabi’ah bin Abdusy-Syams bin Abdumanaf. Seorang tokoh wanita Quraisy yang terkenal dan masuk Islam bersama suaminya. Bapanya Utbah, ialah pemimpin Mekah yang mati dalam perang Badar bersama kaum kafir Quraisy lainnya.

Saiyidina Mu’awiyah termasuk pemuda Quraisy yang pandai membaca dan menulis. Diriwayatkan Rasulullah bermesyuarat dengan Jibril untuk memilih penulis wahyu maka Jibril meminta agar Saiyidina Muawiyah dipilih kerana kejujuran beliau.

Saiyidina Mu’awiyah masuk Islam sebelum bapanya ketika Umrah Qadha` tetapi menyembunyikan keislamannya kerana takutkan ayahnya Saiyidina Abu Sufyan dan tidak menemui Nabi SAW. Setelah futuh Mekah baru beliau terus terang bersama keislaman ibu dan bapanya.

Saiyidina Mu’awiyah ikut serta memerangi kaum murtad dalam perang Yamamah. Kemudian Saiyidina Abu Bakar mengirimnya kepada saudaranya, iaitu Saiyidina Yazid bin Abi Sufyan dalam penaklukan Syam.

Di zaman Khalifah Umar bin al-Khathab, beliau diangkat sebagai Gabenor Syam pada tahun 21 H setelah abangnya Saiyidina Yazid bin Abi Sufyan meninggal dunia. Jawatan ini disandangnya hingga Khalifah Umar bin al-Khathab meninggal dunia.

Di zaman pemerintahan Saiyidina Othman bin Affan, Saiyidina Mu’awiyah dikekalkan sebagai Gabenor Syam. Setelah Khalifah Othman terbunuh pada tahun 35 H, Saiyidina Mu’awiyah tidak membai’ah Khalifah Ali bin Abi Talib sehingga timbul fitnah yang berlanjutan selama lima tahun dan terjadilah perang yang terkenal, iaitu perang Siffin pada tahun 37 H.

Pada tahun 41 H beliau dibai’ah menjadi khalifah setelah pengunduran diri Saiyidina al-Hasan bin Ali dari kekhilafahan. Tahun itu dinamakan tahun jama’ah karena bersatunya kembali kaum muslimin. Pemerintahan Saiyidina Mu’awiyah berterusan hingga kematiannya pada tahun 60 H.

Khalifah Mu’awiyah terkenal sebagai pemimpin yang mencintai jihad fî sabilillâh. Ada masanya beliau memimpin sendiri pertempuran, mengirim para panglima dan tenteranya melakukan penaklukan. Pada masa pemerintahannya banyak sekali negara yang ditakluk diantaranya Qubrus, Shaqliyah, Negara Sind, Kabul, al-Ahwaaz hingga Afrika Utara.

Saiyidina Mu’awiyah bin Abi Sufyân termasuk dalam kalangan ulama sahabat. Saiyidina Ibnu Abbas sendiri mengatakannya sebagai seorang faqih. Fudhail bin Iyâdh mendoakan Mu’awiyah dan berkata: “Beliau termasuk ulama dari para sahabat Nabi Muhammad SAW.

Saiyidina Mu’awiyah bin Abi Sufyân termasuk perawi hadis Nabi SAW yang terkenal. Disamping meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW, beliau juga meriwayatkan dari kakaknya Ummul-Mukminin, Ummu Habibah, Saiyidina Abu bakar dan Saiyidina Umar. Diantara tokoh-tokoh yang mengambil hadis dari beliau ialah Saiyidina Abdullah bin Abbas, Abu Sa’id, Abdullah bin Zubair, an-Nu’man bin Basyir, Jarir bin Abdillah dll.

Imam az-Zahabi menjelaskan hadis-hadis yang diriwayatkan Saiyidina Mu’awiyah dalam Musnad Baqi bin Makhlad berjumlah 163 hadis. Yang dikeluarkan Imam al-Bukhari dan Muslim secara bersama ada 4 hadis dan yang diriwayatkan Imam al-Bukhari tanpa Imam Muslim berjumlah 4 hadis. Adapun yang diriwayatkan Imam Muslim tanpa al-Bukhari berjumlah 5 hadis.

Saiyidina Mu’awiyah ikut serta dalam jihad bersama Nabi SAW dan menyaksikan sebahagian peperangan tersebut. Diantaranya perang Hunain dan at-Thaif. Berikut adalah diantara peperangan yang diikuti beliau selama menjadi Gabenor Syam pada zaman Saiyidina Umar dan Saiyidina Othman dan ketika beliau menjadi khalifah.

1. Beliau meminta izin kepada Khalifah Othman ikut berperang di lautan, iaitu ke Qubrus, dan Allah memberi mereka kemenangan. Peperangan ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya:

‎أول جيش يغزو البحر قد أوجبوا

Pasukan pertama yang berperang di lautan sungguh telah mengerjakan perbuatan yang berhak mendapatkan syurga. Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari

Ibnu Hajar menjelaskan hadis ini, bahwa Saiyidina Mu’awiyah ialah tentera pertama yang mengarungi lautan. Itu terjadi pada masa Kekhilafahan Saiyidina Othman. Ketika itu beliau menjadi panglima pasukan.

2. Pada Kekhalifahan Saiyidina Mu’awiyah terjadi pengepungan Konstantinopel, iaitu pada tahun 49 H. Di antara mereka yang dikirim terdapat para sahabat, diantaranya Saiyidina Ibnu Abbas, Saiyidina Ibnu az-Zubair dan Saiyidina Abu Ayyub al-Ansori.

3. Pada tahun 54 H terjadi pengepungan kedua atas Konstantinopel dengan panglima Abdullah bin Qais al-Harithi at-Tajibi dengan dibantu Fudhalah bin Ubaid. Lama pengepungan ini berjalan selama enam atau tujuh tahun.

4. Pada tahun 41 H Saiyidina Mu’awiyah memerintahkan Saiyidina Amru bin al-Ash, Gabenor Mesir untuk memerangi kawasan utara Afrika dan memberikan perlawanan kepada Negara Bizantium. Untuk penaklukkan ini Saiyidina Amru bin al-Ash menyiapkan tentera yang diketuai oleh Saiyidina Uqbah bin Naafi’ al-Fihri, dan beliau berhasil menakluk banyak negeri di kawasan Afrika Utara. Kemudian dibangunlah kota al-Qairwaan sebagai pusat penaklukan Islam di Afrika Utara.

Inilah sebahagian dari kehidupan Saiyidina Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Beliau mengorbankan hidupnya untuk kejayaan Islam hingga menemui Tuhannya dalam usia 80 tahun dan dimakamkan di Damaskus, Syria pada bulan Rejab tahun 60 H.

Ya Allah! Menangkanlah Islam di akhir zaman dengan berkat para sahabat Rasulullah SAW khasnya Saiyidina Mu’awiyah yang kami ziarahi ini. Aamiin..

Villa GISBH Istanbul

11.24am, Okt 15, 2019

Sila klik untuk video
  • https://www anjangmuor com/2019/10/15/makam-saiyidina-muawiyah-bin-abu-sufian-ra/ (14)

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *