AnjangMuor's Travelog

Sila maklumkan penulis jika ada post di dalam blog ini yang bercanggah dengan fatwa untuk disunting…

Uncategorized

UYGHUR Cerita Sebenar

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Telah tular di media social banyak tulisan mengenai Uyghur tetapi ada satu yang menarik perhatian anjang. Tulisannya dari kajian dan pengalaman penulis itu sendiri tetapi ia agak panjang dan perlu beri masa untuk membacanya tetapi penting untuk mengetahui hal yang sebenar. Bertambah panjang bila AM ada membuat sedikit ulasan di hujungnya. Selamat membaca.

————————•———————

KISAH SEBENAR MUSLIM DI CHINA DALAM KEMBARA KE BARAT CHINA 9-21 DISEMBER, 2019

Saya dah lama membaca mengenai suasana di Xinjiang dan Urumqi serta mengenai orang-orang Uyghur. Tapi saya memilih untuk tidak memberi sebarang reaksi selagi saya tidak melihat sendiri dan hanya bergantung kepada laporan media. Saya lebih puas untuk bercakap mengenai apa yang saya tahu, alami dan lihat sendiri daripada memetik sana sini dan dijadikan bahan cerita. Tak minat jadi popular dari kesakitan orang lain. Lebih minat menyatakan yang sebenar. Maka, saya reservekan diri saya dari issue ini hingga saya puashati untuk bercerita. Penulisan saya kali ini agak panjang dan memerlukan masa untuk membacanya. Pastikan anda luangkan masa anda sebaiknya untuk membaca jika berminat atau skip sahaja. Ia sekadar pengalaman, pemerhatian dan pandangan saya mengenai apa yang saya tahu, lihat dan alami.

Kembara saya ke China kali ini agak berbeza dengan kembara ke China sebelum ini. Selama ini saya mengembara di sebelah utara, timur & selatan China seperti Beijing (3 kali), Shanghai, Guangzhou, Shenzen, Suzhou, Huzhou, Huangshan (mendaki Gunung Huangshan atau The Yellow Mountain), Yiwu, Hong Kong, Taiwan & Macau. Tetapi kali ini, saya ingin melihat dunia China di sebelah barat, barat laut dan sedikit utara China pula seperti Lanzhou, Baiyin dan Linxhi di Wilayah Gansu, Xian di Wilayah Shaanxi, Xining di Wilayah Qinghai dan Urumqi di Wilayah Xinjiang. Saya memang dah lama menyimpan hasrat untuk melawat kawasan ini kerana ini lah sebenarnya Laluan Sutera yang amat terkenal itu. Di wilayah-wilayah ini lah yang dikatakan mempunyai masyarakat Chinese Muslim teramai dan saya teringin untuk melihatnya sendiri untuk lebih mengenali negara China serta perkembangan Islam di China. Malangnyua, saya tidak dapat pergi ke Linxi yang dikatakan mini Mekah kerana masalah cuaca dengan salji tebal. Begitu juga dengan Urumqi, saya tidak dapat kesana kerana masa yang terlalu lama untuk travel ditambah dengan jatuh sakit angkara food poisining sekembali dari Xian.

Untuk menulis ini, saya perlu berhati-hati kerana saya kena pastikan segala maklumat tepat, tidak berat sebelah dan menjaga tahap kesahihan dengan baik. Untuk itu, pelbagai sumber saya cuba peroleh tanpa mengabaikan kesahihan sumber samada dari pertemuan, temuramah masyarakat setempat, pengawasan persekitaran, pembacaan, cross reference serta pengalaman-pengalaman sendiri dan orang lain yang membawa maksud yang sama. Insyallah, mungkin fakta tidak mencapai 100% tepat namun, hasil dari segala homework yang dibuat, inilah kisah dari pengalaman saya sendiri salama berada di 3 wilayah di China ini. Setiap maklumat yang saya terima tidak diambil bulat-bulat tapi saya lakukan cross check sebelum diambil sebagai data sahih.

Sebelum itu, sedikit perkongsian mengenai sejarah Islam di China sebagai latarbelakang.

Islam mula-mula tiba di China sejak 1,403 tahun dahulu, iaitu pada tahun 616 Masihi atau 6 tahun sebelum Hijrah iaitu 6 tahun selepas Rasulullah menerima wahyu pertama dari Allah melalui Jibrail di Gua Hira’. Sejarah China mengatakan bahawa Islam dibawa ke China oleh salah seorang sahabat Rasulullah iaitu Saad Bin Abi Waqqas, manusia ke 7 direkodkan beriman kepada Allah. Cuma tahun itu ada perbezaan pandangan kerana ada sejarah yang lebih kukuh menyatakan Islam mula tersebar di negara China pada tahun 650 Masihi sewaktu pemerintahan Maharaja Gaozong dari Dinasti Tang. Maharaja Gaozong adalah maharaja ketiga dari dinasti Tang yang memerintah dari tahun 649 hingga 683. Oleh itu, adalah lebih kukuh untuk menyatakan bahawa Islam pertama kali diperkenalkan di China pada tahun 650, iaitu hampir 20 tahun selepas wafatnya Rasulullah dan di zaman pemerintahan Khalifah Uthman. Ini kerana, pada waktu itu, Khalifah Uthman sudah menyiapkan lembaran Al Quran dan tugas utama Saad Ibn Waqas ke China ialah selaku duta kepada Khalifah Uthman menyebarkan ayat-ayat suci Al Quran dan ajaran Islam. Kedatangan Saad ke China pada 616 Masihi adalah dipercayai untuk mengenali orang-orang China dan laluan ke China. Bagaimanapun, masjid pertama di China telah dibina dan dibangunkan di Guangzhou iaitu Masjid Huaisheng pada tahun 627 Masihi. Disitu membuktikan bahawa Islam telah tiba di China pada zaman Maharaja Taizong, iaitu bapa kepada Maharaja Gaozong dari Dinasti Tang. Dengan semua peristiwa diatas, bolehlah dikatakan Islam tiba di China diantara tahun 616M hingga 650M (6 tahun sebelum Hijrah hingga 30 Hijrah).

Di China terdapat sejumlah 55 kaum etnik dengan kaum Han sebagai etnik majoriti menjadikan 56 kaum. Han mempopulasi negara China dengan sejumlah hampir 92% dari jumlah 1.4 billion rakyat China (2018). Umat Islam adalah minority di China yang mempunyai jumlah lebih 40 juta orang. Majoriti Islam di China ialah dari etnik Hui lebih 12 juta orang dan Uyghur seramai lebih 10 juta orang. Sebilangan kecil lagi umat Islam di China terdiri dari etnik lain termasuk Kazak, Uzbek, Tajik, Tatar, Kirgiz, Salar, Dongxiang, Bonan dan sedikit dari Han (convert Muslim) menjadikan jumlah Muslim di China (2017) ialah seramai 41 juta orang, lebih ramai dari Malaysia yang mempunyai 20 juta orang (63% dari populasi) dan melebihi muslim di Arab Saudi iaitu 32 juta orang. Umat Islam berada di mana-mana sahaja di China, di segala pelusuk negara China yang besar dan luas. Tetapi, majoriti Muslim berada di wilayah Xinjiang, Gansu, Shaanxi, Ningxia dan Qinghai. Kesemua ini terletak di sebelah barat China, iaitu di kawasan yang saya lawati kali ini. Ini kerana disinilah yang dipanggil Laluan Sutera. Manakala yang berada di sebelah Timur dan Selatan seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou, Yunan dan lain-lain adalah mereka yang berhijrah mencari rezeki dikawasan majoriti Han.

Xinjiang merupakan wilayah paling padat dengan Muslim di negara China tetapi majoritinya adalah Muslim Uyghur selain Muslim Hui dan orang Han serta beberapa etnik lain. Dari sejumlah 21 juta penduduknya, 45% adalah dari etnik Uyghur manakala 40% adalah Han, 7% adalah Kazakh dan 5% adalah Hui. Xinjiang merupakan wilayah terbesar di China yang meliputi seluas 1.6 juta km persegi tetapi hanya 10% darinya sahaja yang boleh didiami. Lainnya adalah lurah dan lembah sungai (basin land) yang kaya dengan mineral terutama sekali minyak dan gas yang membawa 70% dari hasil ekonomi Xinjiang. Xinjiang juga kaya dengan mineral lain seperti arang batu, garam, soda, emas dan jade.

Selama barada di China baru-baru ini, saya telah sempat berbual dengan seramai 3 orang yang mampu berbahasa Inggeris walau dengan sedikit susah payah kerana Inggeris mereka tidaklah selancar mana. Asal boleh faham sahaja. Yang pertama ialah seorang imam di Masjid Besar Xian, masjid terbesar di China. Seorang lagi ialah lelaki muslim di Xining dan seorang lagi adalah Imam dan guru tahfiz di Masjid Nanguan di Xining. Saya cuba juga menemubual seorang lagi lelaki Muslim di Xining dengan Bahasa Mandarin melalui anak saya yang baru selesai SPM dan telah belajar Mandarin sejak tadika hingga tingkatan 5. Tak ada apa yang diperolehi dari lelaki Bahasa Mandarin itu kerana mereka berbual agak panjang tetapi translate dari anak saya sedikit sahaja. Ringkasnya, lelaki Bahasa Mandarin itu seolah-olah takut hendak bercerita dan hanya mendapat maklumat bahawa tidak ada apa-apa masalah di Xinjiang dan Muslim disana mengamalkan Islam seperti biasa.

Tidak puashati dengan info tersebut, saya berusaha juga. Sewaktu di Xian, saya bersolat Zohor & Asar di Masjid tertua di China dan Xian. Selepas solat, saya mengambil beberapa gambar didalam masjid dan ketika itu Imam sedang mengetuai zikir selepas solat. Saya perasan imam itu memerhatikan saja saya. Sewaktu berjalan keluar dari masjid, saya lihat imam tadi menunggu saya di salah satu courtyard masjid (masjid Xian ada 5 buah courtyard). Dengan Imam ini tidak banyak info diperolehi kerana dia lebih suka bercerita tentang dirinya yang banyak kali datang ke Malaysia dan mampu berbahasa Malaysia dengan baik serta 2 anaknya belajar di UIA. Sebab tu lah rupanya dia gigih menunggu saya di jalan keluar dari masjid. Juga dia membawa kami ke kedai adiknya di depan masjid yang menjual pelbagai barang. Kedai ini satu-satunya kedai yang menerima wang Ringgit Malaysia. Mungkin kerana anaknya masih belajar di Malaysia dan itulah wang yang dihantar kepada anaknya.

Sewaktu di Xining, saya bernasib baik kerana pada hari kedua di Xining, sebuah mall baru dibuka dan itu adalah hari pembukaannya. Di Xining, 17% penduduknya adalah Muslim Hui. Majoritinya adalah Han (76%) dan selebihnya adalah etnik lain termasuk Tibetan. Xining terletak didalam wilayah Qinghai iaitu wilayah yang paling bersebelahan dengan Xinjiang. Namun, di pusat bandar Xining ini terdapat begitu ramai Muslim. Pergi kemana-mana sahaja dengan mudah dapat dilihat lelaki dan wanita Muslim yang memakai kopiah putih dan bertudung. Hampir kesemua kedai di pusat bandar Xining adalah dimiliki oleh Muslim dan kesemua restoran dan bakery di pusat bandar adalah HALAL. Mall yang baru ini di tengah bandar dan kesemua makanan yang dijual didalam mall ini adalah HALAL. Biasanya kalau di mall akan disediakan sekadar surau sahaja, tetapi di mall baru di Xining ini ia tidak sediakan kemudahan surau, sebaliknya disediakan sebuah masjid yang sangat besar. Masjid ini terletak di tengah2 mall yang besar ini bagaikan Kaabah di Masjidil Haram. Sangat unik dan menarik. Ketika di mall inilah saya bertemu dan bebual dengan seorang lelaki Muslim dan pertama kali dapat benar-benar bercakap mengenai kisah di Xinjiang.

Pada mulanya lelaki ini agak takut nak bercakap mengenainya, tetapi setelah membeli jualannya dan guna pelbagai tektik, barulah saya mendapat sedikit cerita darinya. Dia mengatakan bahawa semua Muslim di China ini adalah dari etnik Hui. Ini bermakna, Muslim di China adalah Hui tetapi tidak semua Hui adalah Muslim. Jika Hui itu bukan Muslim, mereka adalah athies iaitu Buddhist atau tidak mempunyai apa-apa kepercayaan tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Hui adalah Muslim Sunni dan mengikut Mazhab Hanafi. Dari perbincangan saya dengan lelaki ini, bolehlah dirumuskan bahawa Muslim Hui adalah muslim jati di China manakala muslim Uyghur adalah muslim bukan dari keturunan China sebaliknya adalah dari keturuanan Eurasia yang sebahagiannya dari Siberia dan ada dari keturunan Mongol. Majority Uyghur adalah keturunan Turkic. Tetapi, etnik Uyghur sudah diterima sebagai salah satu dari 56 etnik rasmi di negara China sejak sekian lama. Menurut lelaki ini, Muslim Hui tidak berapa rapat dengan etnik Uyghur kerana mereka agak berlainan terutama sekali dari segi keturunan. Orang Uyghur tidak mengaku sebagai orang China dan mereka tidak bertutur dalam Bahasa Mandarin iaitu Bahasa kebangsaan rakyat China. Namun, mereka boleh dan mampu bertutur Bahasa Mandarin sebagai Bahasa cari makan. Malah mereka juga tidak berbangga dengan bendera negara China. Apabila ditanya kenapa kerajaan China menyekat orang Uyghur, menurutnya, ini adalah disebabkan orang Uyghur hendak menegakkan negara mereka sendiri sedangkan tanah yang mereka duduki itu adalah tanah China. Mereka sanggup berbunuhan dan bersubahat dengan IS. Sebahagian mereka adalah anggota IS yang berperang di negara teluk. Malahan, katanya lagi, Xinjiang menjadi tempat merekrut anggota IS dan ini yang menjadikan kerajaan China berhati-hati dengan orang Uyghur. Orang Han dan Hui yang sememangnya asli China tidak berapa baik dengan orang Uyghur terutama yang tidak ada kesetiaan kepada negara sedangkan kerajaan China sejak ditubuhkan menerima orang Uyghur sebagai salah satu etnik rasmi di China. Padanya, sebagai rakyat China, mereka sepatutnya menunjukkan kesetiaan kepada negara mereka, bukan kesetiaan kepada negara lain tetapi tinggal dan menerima kewarganegaraan China. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sebab itu, pihak kerajaan berasa sangsi dengan mereka dan mengetatkan pengawasan keatas mereka bagi mamastikan 55% masyarakat bukan Uyghur lain dapat menikmati kehidupan dengan aman dan sempurna di Xinjiang.

Beliau juga menambah bahawa kebanyakan Muslim Uyghur tidak mengamalkan Islam dengan sempurna yang antaranya tidak bersolat 5 waktu sehari dengan taat sepertimana Muslim Hui. Orang Hui memang sangat taat malahan setiap waktu masjid akan ramai Jemaah sehingga lebih 10 saf walaupun di waktu Zuhur dan Asar dan hari bekerja. Katanya, Muslim Uyghur sememangnya Muslim tetapi mereka banyak abaikan hal agama terutama bab solat dan puasa. Malahan, baginya, ada orang Uighur meminum arak terutama dimusim sejuk sedangkan Muslim Hui jangankan arak, rokok pun diharamkan. Namun, tidak semua begitu kerana ramai juga yang taat dan beramal solih dan tidak membuat perkara-perkara yang dilarang Allah dan kerajaan seperti terlibat dengan terrorism. Orang sebegini tidak diganggu oleh kerajaan dan polis China. Mereka bebas hidup dan beramal.

Beliau mengaku memang wujud kem-kem seperti yang dilaporkan tapi ia adalah tempat untuk memulihkan rakyat Uyghur yang didadapati ada kecenderungan untuk melakukan perkara negative dan untuk menjadikan mereka rakyat China yang sejati. Bagi dirinya, walaupun dia Muslim dan negaranya diperintah oleh Komunis, tetapi dia bangga menjadi rakyat China dan sayang kepada negaranya. Pemerintah tidak pernah menghalang dia mengamalkan agama Islam kerana Islam merupakan agama ketiga terbesar di China selepas Buddha dan Taoism. Umat Islam di China bebas ke masjid, berpuasa, berniaga terutama makanan halal, membaca dan menyebarkan kandungan Al Quran malah ramai rakyat China yang mengerjakan Umrah dan Haji di Mekah. Ramai juga rakyat China yang belajar tentang agama di negara luar seperti di Timur Tengah dan Malaysia (UIA). Etnik Uyghur juga tidak disekat dari mengamalkan Islam seperti solat di masjid mahupun dirumah, berpuasa malah, kerajaan China membenarkan mereka keluar dari negara untuk menunaikan Umrah dan Haji seperti kaum Hui lain dan diterima pulang dengan baik. Cuma bezanya, pihak kerajaan melalui polis China mengawal ketat orang Uyghur ini kerana berdasarkan sejarah mereka pernah melakukan terorisma di beberapa bandar dan kampung di Xinjiang terutama di Urumqi dan Kashgar. Lelaki ini berpendapat, puak pelampau/terroris di Xinyiang ini adalah ditaja oleh Amerika dan barat. Sebab itulah, pelbagai cerita-cerita negatif dibawa oleh barat mengenai tindakan kerajaan China keatas etnik Uyghur. Lelaki ini menganggap orang Uyghur adalah Syiah. Tetapi dari cross-check yang saya buat, majoriti Muslim Uyghur adalah Sunni, bukan Syiah. Dari gaya cakapnya, dia seolah-olah marah sangat dengan orang Uyghur sampai mensyiahkan orang Uyghur.

Pada malam terakhir di Xining dan China, saya bersolat maghrib di Masjid Nanguan yang berdekatan dengan hotel kami. Selepas solat, saya bertanya beberapa orang jika ada yang boleh bercakap Inggeris. Akhirnya saya dapat berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Muhammad yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan imam dan guru Bahasa Arab di sekolah yang didirikan didalam kawasan masjid tersebut. Hampir setiap masjid di Xining ini mempunyai sekolah tahfiz masing-masing. Beliau pada mulanya enggan bercakap mengenai Xinjiang. Saya ni pula jenis straight to the point dan no nonsense person, terus sahaja bertanya tentang Xinjiang. Puas saya pujuk tapi dia enggan malah pada satu peringkat, dia agak marah juga dengan saya kerana terus bertanya mengenai Xinjiang. Sehinggalah dia mengalah dan mengajak saya ke pejabatnya di tingkat atas. Saya naik keatas kami bersembang agak lama. Rumusannya, dia mengatakan bahawa orang Uyghur adalah juga Muslim seperti semua Muslim lain cuma padanya, Uyghur bukan orang China seperti orang Han dan Hui. Pada orang Hui, Uyghur adalah orang asing yang diberikan keisteimewaan oleh kerajaan China untuk menduduki sebuah wilayah di China dan diberikan segala kemudahan sama seperti rakyat China yang lain. Uyghur adalah rakyat China tapi dari bangsa lain. Beliau juga bersetuju bahawa orang Uyghur sebahagiannya adalah penyokong puak pemisah yang mahu mewujudkan negara sendiri. Tapi China tak akan benarkan kerana China tidak mahu kehilangan lagi wilayah mereka seperti Taiwan, Hong Kong dan Macau. Xinjiang adalah wilayah China dan ia adalah milik China. Walaupun majoriti penduduk Xinjiang adalah Muslim dan keturunan Uyghur adalah Turkic, tetapi kerajaan China hanya membenarkan mereka menjadi sebuah wilayah berotononmi penuh sahaja, tidak sebagai negara merdeka. Itu yang menyebabkan ramai masyarakat Uyghur yang dipengaruhi oleh ideologi pemberontak.

Imam Muhammad lebih berhusnuzon apabila ditanya mengenai cara amalan Muslim Uyghur. Beliau mengatakan (dengan wajah sinis) bahawa Muslim Uyghur adalah muslim, mereka juga bersolat 5 waktu sehari, berpuasa malah turut mengerjakan umrah dan haji. Mereka mempunyai masjid dan hanya makan makanan halal. Beliau juga mengesahkan bahawa Muslim Uyghur adalah Sunni dan mengamalkan mazhab Hanafi, bukan Syiah. Baginya, tidak ada beza Muslim Uyghur dengan Muslim lain cuma mereka bukannya orang Hui atau Han atau lebih ringkasnya, mereka bukan Chinese. Tetapi mereka tetap Muslim dan rakyat China. Namun, beliau mengkritik cara membaca surah ketika solat orang Uyghur. Baginya, orang Uyghur tidak menjaga bacaan dengan sempurna ketika solat. Semua main langar sahaja tanpa menjaga tajwid dengan baik. Ini maklum kerana beliau adalah guru Al Quran dan Bahasa Arab, maka dia ada ahli dalam hal ini.

Padanya, orang Uyghur seharusnya menghormati keselesaan dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan China kepada mereka. Apa yang dikatakan tentang masyarakat Uyghur di Xinjiang oleh orang barat tidak lebih daripada masalah atau isu pentadbiran kerajaan China terhadap rakyat di negara mereka sendiri. Apabila ditanya tentang kewujudan kem di Xinjiang, Imam Muhamad tidak menjawab kerana dia seperti tidak faham dengan soalan. Lain ditanya, lain pulak dijawabnya. Kata nya, dulu di Xining ada lebih 100 buah masjid tetapi banyak telah dirobohkan oleh kerajaan kerana semua masjid baru tidak dibenarkan dibina. Hanya masjid yang melebihi usia 100 tahun sahaja yang dibenarkan dan dibantu dari segi kewangan oleh kerajaan. Sekarang tinggal 50 buah sahaja masjid di Xining. Tetapi di seluruh wilayah Qinghai terdapat 930 buah masjid. Sebarang pembinaan masjid baru tidak dibenarkan langsung kerana tiada tanah diberikan untuk pembinaan masjid. Maka pembinaan masjid baru adalah pembinaan secara haram dan akan dirobohkan. Peraturan ini berkuatkuasa di seluruh China termasuk di Xinjiang. Berita perobohan masjid di Xinjiang sebenarnya merujuk kepada masjid baru yang cuba dibina oleh masyarakat di sana. Untuk makluman, di seluruh China terdapat lebih 40,000 buah masjid dan lebih 25,000 dari nya adalah di Xinjiang sahaja. Beliau dan Muslim lain di China tidak mempunyai masalah dengan itu dan baginya, sebagai etnik minority, mereka bersyukur setidak-tidaknya mereka dibenarkan beramal dengan bebas tanpa sekatan dan boleh membuka sekolah tahfiz, Bahasa Arab dan pengajian Al Quran. Ramai muridnya yang sambung belajar ke Al Azhar, Jordan, Yemen, Indonesia dan Malaysia.

RUMUSAN

Dari interview keatas beberapa sumber yang terhad ini, penyelidikan beberapa sumber dan pemerhatian saya dari suasana kehidupan Muslim di Xining, Lanzhou, Xian, Guangzhou, Beijing, Huangshan, Shenzen dan beberapa daerah lain di China, dapat disimpukan bahawa Islam dan Muslim di China hidup aman damai mengamalkan agama mereka tanpa sebarang gangguan dari pemerintah China yang berfahaman Komunis. Malah, rakyat China bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dan mengunjungi rumah ibadat masing-masing. Tiada sekatan dibuat oleh kerajaan China keatas kepercayaan rakyatnya. Malahan, dikalangan sesama rakyat China juga tidak ada sebarang konflik samada China Muslim, Buddha, Christian, Taois mahupun Athies. Apa yang diperhatikan, di bahagian barat China ini jauh lebih mudah untuk mencari Muslim dan masjid berbanding di sebelah timur China. Makanan halal juga sangat mudah dimana-mana di China apa lagi di sebelah barat China. JIka anda datang ke Xining menaiki keretapi, keluar sahaja dari stesen keretapi anda akan terus memasuki bandar Islam China dan dengan mudah dapat melihat masyarakat Islam mereka berkopiah putih dan berhijab. Malahan, di stesen keretapi Xining juga sangat mudah untuk mendapatkan makanan halal. Di Lanzhou pula, makanan halal boleh didapati di Terminal 1 iaitu terminal antarabangsa. Terminal 2 tak boleh masuk, hanya untuk locals. Nak lagi menarik, kesemua hotel di bandar Xining ini milik orang Islam dan hotel terakhir kami duduki menyediakan sarapan halal. Punyalah seronok. Tukang masak berkopiah dan bertudung.

Apa yang berlaku di Xinjiang secara rumusannya adalah satu tindakan dalaman oleh pemerintah China. Dalam keadaan mereka tidak menghalang umat Islam mengamalkan cara beribadah, mereka mahu memastikan tidak berlakunya aktiviti ‘terrorist breeding’ di Xinjiang. Kerajaan China tidak sikit pun mempunyai masalah dengan umat Islam Hui di tempat lain, tetapi mereka agak berhati-hati dengan orang Uyghur. Ini kerana telah berlaku banyak peristiwa pengebom berani mati, pembunuhan ke atas orang Han dan Hui di Xinjiang dan juga pembunuhan keatas polis. Kerajaan China secara realitinya melindungi kebebasan beragama dan hak serta kepentingan undang-undang minority. Mereka dengan tegas melarang sebarang diskirminasi dan penindasan keatas mana-mana agama termasuk masjid, kuil, tokong, gereja mahupun sinagog walaupun jumlah Jews di China terlalu kecil. Sebab itu dapat dilihat dengan jelas dimana-mana di China, orang Han atau etnik lain tidak ada masalah untuk masuk ke kedai makan Muslim. Untuk pengetahuan, jika anda ke mana-mana daerah di China, jika kedai itu menjual mee tarik, maka mereka adalah Muslim Hui dan berasal dari barat China seperti Gansu dan Shaanxi atau Qinghai. Kedai Hui susah nak cari nasi. Jika kedai halal itu menjual nasi berlauk, dan muka peniaganya macam mongol atau Turki, maka itu kedai orang dari Xinjiang. Satu lagi yang menjual ala Arabic seperti kebab dan daging-daging bakar beserta roti, itu adalah orang Uyghur.

Mengikut sumber, di China ada satu dasar kekeluargaan iaitu dasar satu anak dimana setiap rakyat China tidak dibenarkan mempunyai lebih dari satu anak. Tetapi menurut Imam Muhammad dari masjid di Xining, beliau mempunyai dua anak. Kerajaan tidak melarang. Kerajaan cuma larang sesiapa dari mempunyai 2 atau lebih isteri. Walau Islam membenarkan, tetapi kerajaan China tidak membenarkannya dan umat Islam terutama Hui di China tidak membantah kerana sebagai rakyat China, mereka wajib menyokong hasrat dan dasar kerajaan. Di Xinjiang, sejak 2017, Kerajaan China telah menarik balik larangan mempunyai 1 anak bagi etnik Uyghur. Ini bermakna, orang Uyghur dibenarkan mempunyai lebih dari satu anak manakala yang di luar bandar pula dibenarkan mempunyai sehingga 3 orang anak. Begitupun, bagi orang Han, mereka masih kekal dengan dasar 1 anak yang ditetapkan. Imam Muhammad juga berkata, di China, apabila anak telah mencecah usia 20 tahun, mereka wajib berkahwin.

Dikala orang Han yang mati diwajibkan mayatnya dibakar akibat kekurangan tanah perkuburan bagi setiap keluarga serta tanah sewa dibandar yang mahal, kerajaan China membenarkan umat Islam samada Hui mahupun Uyghur mayatnya dikebumikan secara tradisi Islam. Masjid baru dirobohkan atas dasar tanah yang sama tetapi masjid lama terus dijaga apalagi kalau masjid itu berusia 500 tahun keatas. Di China, terlalu banyak masjid yang berusia ratusan tahun dan ianya dijaga dengan rapi oleh umat Islam dan kerajaan komunis China sebagai bangunan warisan dan bersejarah.

Mengenai kem, banyak media mengatakan bahawa China menyeksa orang Uyghur dengan pelbagai jenis siksaan dan salah satu alasannya ialah mengatasi keganasan dan esktremisme. Sebenarnya di Xinjiang terutama di bahagian selatan yang bersepadan dengan Pakistan (Jammu & Kashmir), Kyrgyztan, Tajikistan dan Afghanistan adalah lokasi pembiakan organisasi pengganas seperti Gerakan Islam Turkistan Timur (ETIM) sejak 1990an lagi. Mereka melatih anak-anak muda malah kanak-kanak yang sepatutnya hadiri sekolah formal dengan latihan-latihan kearah menuntut penubuhan ‘Turkistan Timur’. Banyak siri serangan telah dilakukan oleh puah pemisah ini sejak tahun 1990 hinggalah 2016 dan semua serangan berlaku di Xinjiang keatas bukan sahaja etnik Han, malah juga kepada umat Islam Hui kerana mereka menyangkakan Hui adalah orang Shafie. Mereka menganggap orang mazhab Shafie kurang Islam nya. Ini semua adalah angkara indoktrinisasi yang dilakukan oleh para extrimis agama kalangan etnik Uyghur. Pada 5 Julai 2009, beratus etnik Uyghur mengamuk dan menyerang jalan-jalan di Urumqi dan menyerang orang awam. Akibatnya, hampir 200 orang mati dibunuh dan hampir 2,000 orang dicederakan. Serangan ini dikutuk sekeras-kerasnya oleh Imam Masjid Id Kah, antara masjid tertua dan terbesar di Xinjiang iaitu Juma Tahir. Untuk itu, pada 30hb Julai, 2014, imam tersebut mati dibunuh oleh 3 extremis di luar masjid kerana bagi mereka, Imam Juma Tahir adalah musuh yang melampau bagi puak extremis. Imam Tahir dibunuh selepas solat Subuh lebih kurang jam 7 pagi. Semua imam Uyghur dilantik dan dibayar gaji oleh kerajaan China sebagai professional. Ramai imam dibunuh oleh puak pemisah Uyghur seperti Abliz Damolla di Great Mosque of Yeching di Selatan Xinjiang, imam Haji Hakimsidiq, imam Hj Aronghan juga dari masjid Id Kah, Imam Mullah Hj. Aronghan, imam Yunus Sidiq Damolla dibunuh dihadapan masjidnya, imam Hj. Abliz dan imam Abdurehim Damaolla dari Masjid Kazihan di Turpan, Xinjiang antara ramai yang dibunuh.

Berpunca dari itu, maka kerajaan China mengambil pelbagai langkah untuk menyekat lebih banyak lagi, pembunuhan, serangan serta pengebom berani mati keatas etnik di China oleh masyarakat Uyghur. Selama beberapa tahun diambil untuk memastikan keselamatan di Xinjiang terjamin buat semua dan kerajaan China tidak akan sesekali tunduk kepada tuntutan kepada pembentukan Turkistan Timur menggantikan Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang. Dengan hasil mineralnya yang sangat kaya raya, mana mungkin China mahu melepaskan Xinjiang menjadi negara merdeka. Pengawasan CCTV memang wujud di Xinjiang, kem-kem memang wujud di Xinjiang dan penyeksaan memang wujud di Xinjiang tapi bukan kerana mereka Islam atau sebagai satu proses penghapusan umat Islam di Xinjiang mahupun di China. Jika nak hapus umat Islam, bukan sahaja di Xinjiang malah ada 15 juta lagi umat Islam di seluruh China terutama di Barat Timur China. Pergi sahaja ke Xining, ramai umat Islam disana untuk dibantai. Tapi mereka aman disana dan bebas bersolat bersama, belajar dan berpuasa di bulan Ramadan. Anak-anak Muslim di Xining bebas belajar bahasa Arab, Al Quran dan tahfiz. Tak seorang pun ditangkap dan disumbat ke dalam ‘kem’ untuk ‘diseksa’ atas sebab beragama Islam. Ramai juga umat Islam di Xinjiang yang keluar dari negara mereka untuk menunaikan umrah dan haji. Kerajaan China tidak menghalang mereka dan mereka pulang dengan aman dan kembali mengamalkan Islam asalkan tidak membawa ideologi pengganas dan puak pemisah.

Saya boleh bagi gambaran apa yang berlaku di Xinjiang adalah umpama kerajaan Malaysia diketuai oleh orang Islam mengiktiraf kaum Thai yang beragama Buddha yang telah lama tinggal dan menjadi rakyat Malaysia di negara ini dan memberikan satu wilayah sebagai ‘wilayah otonomi’ mereka. Mereka gelar diri mereka sebagai orang Siam. Tapi mereka gunakan kebebasan dan kemudahan yang diberikan dengan membunuh dan mengebom atas nama perjuangan membebaskan ‘wilayah’ mereka untuk dijadikan sebuah negara Siampura. Apakah kerajaan Malaysia harus berdiam diri dan asyik ajak berunding di meja rundingan sahaja? Antara langkah pertama diambil ialah tangkap mereka dan masukkan ke sebuah pusat khas untuk membentuk jati diri mereka agar menjadi lebih Malaysia dan mengenali tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia. Ini contoh sahaja dan inilah sebenarnya yang sedang berlaku di Xinjiang. Media barat merupakan paling banyak melaporkan perkara ini dan paling beria-ia mengatakan tentang penyeksaan dan menyamakan kem kerajaan di Xinjiang dengan kem Nazi keatas Yahudi di German sewaktu WW2 dulu.

Cuma saya nak tambah sedikit, di negara kita ini rakyatnya agak bernasib baik kerajaan mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan (itu pun ada yang kata kerajaan Malaysia adalah kerajaan Komunis). Tetapi ada rakyat Malaysia yang tidak menghargai kebebasan yang diberikan sehingga mereka lupa jati diri mereka dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Ambil contoh isu Jawi. Sebagai kerajaan, ia adalah hak kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang mereka rasakan perlu untuk dilaksanakan. Tapi ada pihak yang merasakan seolah-olah ia adalah proses Islamisasi oleh kerajaan dan bersungguh-sungguh membantahnya seolah-olah jika diteruskan, perang saudara akan meletus. Ini kerana bagi mereka yang menentang ini, jika ia diteruskan akan berlaku kematian dan penyeksaan kerana 3 mukasurat dan 4 perkatan Jawi itu mampu menjadikan mereka Muslim dan menjadi Muslim bermakna mati. Kalau mereka tinggal di negara komunis seperti China dan mereka membantah sebegini, golongan ini dah lama diperap dalam penjara atau mungkin dibunuh oleh kerajaan komunis China.

Ambil contoh apabila pertengahan tahun ini kerajaan China mengarahkan semua premis Muslim menurunkan segala tanda Arabic terutama perkataan Halal pada signboard masing-masing. Ia bukan tujuan untuk hapuskan Islam di China. Tapi ia cuma satu cara kerajaan China untuk memupuk dan menggalakkan budaya China di China. Arab bukan budaya China maka tulisan Arab tidak mencerminkan China sebagai satu bangsa. Tapi di Malaysia yang menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, seharusnya tiada bahasa lain digunakan di mana-mana premis perniagaan atau organisasi. Seandainya kerajaan tegas dan sememangnya harus tegas arahkan semua premis hanya menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa dibenarkan di semua papantanda, mungkin berlaku huru hara dinegara ini. China, India dan Indonesia yang mempunyai rakyat berbillion dan berjuta orang selamba menetapkan hanya bahasa mereka sahaja digunakan. Peraturan ini bukan sahaja dikenakan keatas premis dan masjid Islam sahaja, malahan gereja juga diminta menurunkan salib serta sinogog diminta tidak meletakkan bintang David di hadapan bangunan. Tetapi di bahagian dalam bangunan semua agama dibenarkan menggunakan tulisan ikut agama masing-masing.

Saya membantah sebarang bentuk penindasan kepada mana-mana manusia di muka bumi ini dan sebarang bentuk rampasan hak mana-mana manusia. Tetapi jika ianya adalah hak sesebuah kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan negara mereka, itu adalah hak mereka. Apa berlaku di Xinjiang tidak boleh disamakan dengan rakyat Palestin. Juga tidak sama dengan di Rohingya. Palestin negara mereka dirampas dan mereka dinafikan hak sebagai rakyat negara sendiri oleh pendatang. Rohingya pula adalah masalah yang ditimbulkan oleh pihak British yang tidak menguruskan etnik ini selepas mereka meninggalkan Arakan dan mengambil hasil bumi. Ia juga adalah masalah Bangladesh yang tidak mahu menerima rakyat mereka kembali. Tapi bukan lesen untuk Myanmar menyiksa mereka tetapi Myanmar juga ada masalah mereka sendiri, iaitu rakyat mereka hidup miskin. Di Xinjiang, sebarang penindasan adalah kekejaman kemanusiaan. Sewajarnya ia tidak berlaku dan perlu dihentikan dengan segera. Tetapi jika ia berkait dengan keselamatan rakyat lain, maka keutamaan haru diberi kepada rakyat majoriti.

ikhlas

Zack Rahim

KL – LANZHOU – XIAN – BAIYIN – XINING – KL

Kredit untuk Zack Rahim

——————————————————–

AM: Oleh kerana tulisan Zack Rahim ini telah tular, anjang ingin mengulas sedikit berdasarkan apa yang anjang faham.

1. Di akhir zaman ini, berita kena diambil dari banyak pihak dan dinilai sebaik-baiknya supaya kita boleh menetapkan pendirian kita. Pelajar-pelajar GISBH yang menuntut di China juga mempunyai pendapat yang sama mengenai isu kaum Uyghur ini iaitu ada kelompok pemisah yang berjuang cara radikal yang akhirnya menyusahkan semua pihak.

2. Kita terpaksa menerima hakikat apa yang berlaku sekarang ia adalah realiti. Mengubahnya dengan kaedah yang salah akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Walaupun kita kehilangan sesuatu (yang sekarang) kita terasa kekesalan yang mendalam.

3. Kita tentu boleh mengatakan Singapura dahulu kami punya, tapi sekarang tidak. Singapura telah menjadi sebuah negara berdaulat. Johor tentu tidak mengatakan Riau itu sebahagian dari Johor. Sultan Sulu atau keturunannya pun sukar ingin mendakwa Sabah itu miliknya. Begitu juga orang-orang Melayu Fatani, setakat hari ini masih di dalam negara Thailand. Apabila Turkistan Timur telah dikuasai kuasa besar China, hakikat yang kita kena terima ialah ia dalam pentadbiran negara China. Mungkin contoh-contoh yang saya beri mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi realiti yang ada ialah apa yang kita lihat di depan mata kita sekarang.

4. Membawa pemikiran pelampau dalam masyarakat Islam akan lebih menyusahkan umat Islam itu sendiri lebih-lebih lagi ia masyarakat minoriti di sesebuah tempat dan lebih berbahaya apabila pemikiran itu telah berubah menjadi tindakan radikal. Contohnya; membunuh umat Islam lain yang tidak sealiran dengan kita lebih-lebih lagi membunuh seorang imam tanpa alasan yang hak, ia sangat bercanggah dengan Islam.

5. Islam datang bukan untuk membunuh orang. Islam datang memperjuangkan cintakan Tuhan dan menanam kasih sayang sesama insan. Perjuangan manusia selama ini sudah salah jalan. Kita tidak ambil pengajaran apa yang berlaku di Iraq, di Syria, di Libya dll. Perjuangan secara radikal hanya menambah keperitan kepada umat yang sedia perit ini.

6. Sebenarnya perjuangan Islam sangat perlu kepada pemimpin yang bertakwa, pemimpin sahajalah yang boleh menentukan apa yang perlu dilakukan tepat dengan masa, keadaan dan suasana.

7. Firman Allah yang bermaksud: Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. Al-Baqarah: 246

8. Bani Israil suatu bangsa yang lama, telah lama bertamadun. Mereka tahu, untuk berperang pada jalan Allah, mesti ada pemimpin yang bertakwa, mampu menyatukan mereka, tepat bertindak dll, maka mereka meminta Nabi mereka doakan agar ditunjukkan siapa pemimpin. Setakat ini dahulu kita ambil Petunjuk Al-Quran. Baki ceritanya ramai yang telah mengetahui. Paling utama kita kena fahami, berjuang pada jalan Allah, kena ada pemimpin yang bertakwa. Kalau masing-masing belajar dari satu aliran yang keras, memaksa orang lain menerimanya dan berjuang dengan dengan tidak terpimpin, percayalah kerosakannya lebih dahsyat dari kebaikan yang diharapkan.

9. Marilah kita menjadi orang yang bertakwa yang layak menerima Bantuan Allah dan kemenangan. Ingat Sabda Nabi SAW: Doa adalah senjata orang Mukmin. Ya, ia hanya jadi senjata bagi orang Mukmin. Orang yang bertakwa. Bukan bagi si Muslim. Memang tidak ada satu pun ayat Al-Quran yang mengatakan Allah akan membela orang Islam. Yang ada hanya, Allah adalah Pembela orang yang bertakwa. Menjadi orang bertakwa pula sangat perlu kepada pimpinan pemimpin yang bertakwa.

10. Hadiah untuk para pembaca AM, sajak menjelang tahun 2020 untuk kita hayati.

Villa GISBH Mekah

4.38pm, Dis 26, 2019.

Sajak

Hidupkan Perjuangan Yang Mati

Marilah kita menghidupkan perjuangan yang telah mati

Ayuh mari kita berjihad yang sudah dilupakan orang

Perjuangan dan jihad yang sangat diperlukan di setiap zaman

Apakah perjuangan itu?!

Iaitu memperjuangkan cintakan Tuhan dan menanam kasih sayang sesama insan

Perjuangan manusia selama ini sudah salah jalan

Mereka menghunus pedang, meledakkan peluru-peluru membunuh insan dan membunuh kemajuan

Manusia sebenarnya tidak hendak peperangan

Mereka inginkan kasih sayang, keharmonian dan perdamaian

Tapi mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukan

Mereka mahukan kasih sayang, yang timbul kehambaan

Mereka inginkan kedamaian, yang terjadi kekacauan

Marilah dari sekarang kita berjuang cintakan Tuhan

Marilah kita berjihad untuk menyuburkan kasih sayang sesama insan

Tidak kira apa agama mereka, tidak kira apa bangsa dan etniknya

Marilah kita sarungkan semula pedang ke dalam sarungnya

Kita gunakan lidah kita yang menyejukkan hati insan

Kita taburkan pertolongan dalam apa bentuk pun membantu penderitaan

Marilah, marilah kita berusaha mencantikkan semula hati yang sudah pecah

Kita rapatkan semula persaudaraan yang sudah renggang

Marilah kita hidupkan semula maaf-bermaafan

Kita bunuh hasad dengki yang telah memusnahkan perpaduan

Marilah kita matikan jihad yang ada ini

Kita ganti dengan jihad yang baru untuk dunia baru

Untuk kasih sayang, keharmonian, kedamaian dan keamanan

Sudah lama perjuangan kita sesama manusia, menghancurkan kasih sayang

Kesusahan dan penderitaan yang sudah beratus tahun kita tanggung

Marilah kita semaikan semula persaudaraan dan perpaduan

Sudah lama kita menderita akibat perpecahan dan peperangan

Wahai para umara dan ulama, para dai dan guru!

Sudah sampai masanya kita korbankan apa sahaja demi cintakan Tuhan dan kasih sayang sesama insan

Janganlah kita sambung lagi perjuangan dan jihad yang lama itu

Kita gantilah dengan perjuangan yang baru di dalam alaf yang baru ini agar Tuhan dicintai semula

Kasih sayang sesama manusia berbunga semula

Cintakan Tuhan kunci kasih sayang

Kasih sayang adalah rahsia perpaduan

Selamat berjuang untuk alaf baru dengan semangat baru demi kedamaian

Selepas Jumaat

25.01.2002

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

2 thoughts on “UYGHUR Cerita Sebenar

  • Yusri b Said

    As salam..tuan satu kupasan yg menarik..boleh share ke?tks

    Reply
    • Boleh. Ajak kawan2 subscribe supaya tak terlepas… Dasar kita, kita tak setuju dgn apa2 keganasan sama ada dari pihak China Komunis atau dari pihak extrims Uyghur. Sbb keganasan tidak menyelesaikan masalah. Lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan kuasa besar. Allah lebih besar dari kuasa besar cuma Adakah kita benar-benar hamba Allah yang layak menerima bantuan Allah. Ya Allah, selamatkan Umat Islam Uyghur! Berilah hidayahMu kepada bangsa China Han seperti Kau memberi hidayah kepada Bangsa Monggol yang meranapkan Baghdad. Aamin

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *