Malaysia sekat sementara kemasukan pelawat Wuhan, Hubei

Kongsikan kepada yang lain
Share
Pusat Pemantauan Saringan suhu badan bagi mengesan wabak 2019 Novel coronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya, susulan penyebaran coronavirus baharu yang merebak ke banyak negara, termasuk Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan petang ini memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan Imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.

Kenyataan itu menyebut, kemudahan imigresen berkenaan akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.

“Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei dan ia adalah berkuatkuasa serta merta,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China.

“Kerajaan sudah mengikut prosedur ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.

“Pemantauan sudah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkaitan coronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Orang ramai memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan jangkitan coronavirus di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). – NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kredit: BHOnline

AM: Alhamdulillah, akhirnya pihak kerajaan ambil kira kebimbangan rakyat dan menolak tepi kepentingan politik dan ekonomi dibanding kesihatan dan nyawa. Moga Allah terus memimpin hati-hati manusia untuk mendapatkan hidayah dan taufik-Nya.

Kalau kematian berlaku kepada Dr di Hubei, atas apa sebab sekalipun sudah tentu kebimbangan rakyat Malaysia berkenaan wabak ini ada asasnya.

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: