Perbicaraan kes 1MDB: Riza Aziz mungkin jadi saksi pendakwaan

Kongsikan kepada yang lain
Share

KUALA LUMPUR: Anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, berkemungkinan menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ada perkembangan terbaru di mana senarai saksi mungkin akan berubah dengan nama Riza Aziz dimasukkan bagi pihak pendakwaan.

“Beliau mungkin akan menjadi saksi dan memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan,” katanya.

Sri Ram berkata demikian sebelum perbicaraan kes 1MDB bermula dengan mahkamah mendengar keterangan soal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Pada 14 Mei lalu, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, Sri Ram membangkitkan isu mengenai temu bual Najib dengan agensi berita antarabangsa berhubung perbicaraan kes 1MDB yang boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.

Sri Ram berkata, dalam laporan berita terbabit pada 4 Mac lalu, Najib menyatakan bahawa susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau menjangkakan perbicaraan lebih kondusif dan adil.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah sesuatu sangat serius yang seolah-olah menyatakan perbicaraan sebelum ini tidak dijalankan secara adil.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, meminta pendakwaan menimbang serta memikirkan semula hasratnya untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap anak guamnya itu.

Sambil mengakui bahawa pendakwaan mempunyai kebebasan penuh untuk berbuat demikian, beliau berkata, kenyataan anak guamnya itu tidak dimaksudkan kepada mahkamah.

“Malah, dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, anak guam saya memohon perintah supaya media tidak membincangkan merit kes beliau.

“Namun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilihat mengisytiharkan bahawa anak guam saya sebagai penyangak, perompak dan pencuri.

“Mungkin dengan perubahan kerajaan dan Dr Mahathir tidak lagi memegang jawatan, ia lebih kondusif bagi anak guam saya… Kenyataan itu langsung tidak merujuk kepada hakim dan mahkamah,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

AM: Di dunia atas 1001 faktor, boleh je berlaku seseorang tertuduh terlepas dari hukuman, berbeza pula DI SANA. Tidak ada satu pun yang akan terlepas. Apalah nasib kita nanti… Ya Allah! Selamatkan kami semua di perbicaraan Robbul Jalil.

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: