Pesawat Pakistan terhempas – 107 dikhuatiri maut

Kongsikan kepada yang lain
Share
LOKASI pesawat penumpang yang terhempas di Karachi. 

KARACHI: Sebuah pesawat penumpang terhempas di kawasan perumahan di Pakistan hari ini, beberapa saat selepas juruterbangnya melaporkan terdapat masalah teknikal.

The Sun melaporkan, seramai 107 orang yang berada dalam pesawat berkenaan dikhuatiri terkorban selepas jet milik Pakistan International Airlines (PIA), yang dalam proses pendaratan terakhir ke Lapangan Terbang Karachi, terhempas menghempap rumah di Model Colony.

Menurut laporan, beberapa bangunan musnah dalam nahas yang berlaku pada jam 2.45 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa penerbangan awam berkata, lapan kakitangan dan 99 penumpang berada dalam pesawat Airbus A320 itu.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Lahore ke Karachi.

ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi menyelamat di lokasi pesawat penumpang yang terhempas di Karachi.

Operasi menyelamat utama sedang dijalankan.

Gambar dari dekat tempat kejadian menunjukkan asap hitam pekat menjulang ke udara di atas kawasan perumahan terbabit.

Jurucakap syarikat penerbangan kebangsaan Pakistan itu berkata: “Pesawat PK 8303 dengan 99 penumpang dan lapan anak kapal telah terhempas.”

Tentera Pakistan berkata, pasukan tindak balas pantasnya telah sampai ke lokasi nahas untuk usaha bantuan dan menyelamat bersama dengan pentadbiran awam.

Stesen TV tempatan Geo menunjukkan orang ramai berhampiran tempat kejadian yang kelihatannya adalah kawasan berpenduduk padat dan ambulans berusaha untuk melaluinya.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, berkata beliau “terkejut dan sedih” dengan nahas itu, dan dalam ciapan di twitter menulis beliau sentiasa berhubungan dengan Ketua Eksekutif syarikat penerbangan negara itu.

“Doa & ucapan takziah kepada keluarga si mati,” kata Khan.

Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi, berkata pesawat itu terhempas ke kawasan perumahan beberapa minit sebelum tiba di darat.

Bencana itu berlaku ketika rakyat Pakistan di seluruh negara bersiap-siap untuk menyambut akhir Ramadan dan awal Aidilfitri, dengan ramai pulang ke rumah mereka di bandar dan kampung.

Penerbangan komersial disambung semula hanya beberapa hari yang lalu, selepas operasi pesawat dibekukan semasa perintah berkurung akibat pandemik COVID-19.

Pakistan mempunyai rekod keselamatan kurang baik membabitkan penerbangan tentera dan awam, dengan kerap pesawat dan helikopter terhempas selama bertahun-tahun.

Pada tahun 2016, sebuah pesawat PIA meletup selepas satu daripada dua enjin turbopropnya mengalami masalah semasa terbang dari kawasan terpencil di utara ke Islamabad, mengakibatkan lebih 40 orang maut.

Bencana udara yang paling dahsyat di Pakistan adalah pada tahun 2010, apabila sebuah pesawat Airbus A321 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan swasta Airblue dan terbang dari Karachi merempuh bukit di luar Islamabad ketika mendarat, membunuh semua 152 orang di dalamnya.

Laporan rasmi menyalahkan kemalangan itu akibat kecuaian kapten yang keliru dan suasana kokpit yang teruk.

PIA, salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia hingga tahun 1970-an, kini mengalami reputasi yang merosot kerana pembatalan, penundaan dan masalah kewangan yang kerap.

Ia telah terbabit dalam banyak kontroversi selama bertahun-tahun, termasuk memenjarakan juruterbang mabuk di Britain pada tahun 2013. – AGENSI

LOKASI pesawat penumpang yang terhempas di Karachi.

AM: Kemalangan jalanraya mencatat kematian yang bukan sedikit. sedangkan penumpang kenderaan darat khasnya jalanraya tidak membawa pemumpang yang terlalu ramai. berbanding dengan pesawat awam, selalunya penumpang dan krewnya ratusan orang menyebabkan apabila berlaku kecelakaan di udara, ia melibatkan kematian yang ramai. lebih-lebih lagi bila berlaku di udara, jarang ada yang selamat. Bukan hanya kerana faktor ketinggian malah pesawat membawa bahanapi, bila terhempas ia akan meletup. Kematian seolah-olah tidak dapat dielakkan. Begitulah yang Allah lakukan kepada kita hamba-hambaNya agar sentiasa takutkan Allah. Allah boleh buat apa sahaja. Kapal terbang yang terhempas bukan sahaja memakan korban mereka yang berada di dalamnya sahaja, bila jatuh di kawasan padat penduduk ramai lagi yang berisiko jadi mangsa. Ya Allah! selamatkan kami semua. Raya tahun ini penuh tangisan dari sebab yang berbeza-beza khususnya mereka yang gagal menjadi orang baru seperti saya. Rasa hamba dan berTuhan belum menebal di dada, sedangkan mati datang bila-bila masa. Ramadhan yang penuh berkat telah berlalu begitu sahaja tanpa dihargai… 😭😭😭

Bilik 2, Bandar Enstek

10.38am, Mei 23, 2020

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: