Ke Pulau TIOMAN, Balik Hari.

Kongsikan kepada yang lain
Share

Ke TIOMAN balik hari

Salam ceria.
Pada 17hb Feb 2021, anjang ikut Tuan Nasir ke Pulau Tioman. GISBH dibenarkan ke Tioman, walaupun semasa PKP dengan alasan lawatan kerja. Pihak Polis tiada halangan kerana memang GISBH mempunyai projek chalet yang sedang dibangunkan di sana.

Cabaran lain selain meminta kebenaran Polis ialah menempuh ombak laut di musim tengkujuh. Tak banyak bot yang sanggup ke sana. GISBH terpaksa menyewa 2 bot ke sana. Satu dari Tanjung Gemok. Satu lagi dari Mersing.

Yang dari Tanjung Gemok, kami sewa sebuah bot dengan 2 enjin dengan setiap satu mempunyai kekuatan 250 kuasa kuda dipandu oleh seorang anak muda berasal dari Tioman dan seorang pembantu.

Musim tengkujuh masih belum berakhir. Laut China Selatan masih kuat bergelora. Angin ribut dan gelombang besar boleh datang tiba-tiba tetapi kami pergi juga setelah bertanya kepada penduduk tempatan yang mahir hal ehwal laut dan cuaca, masih selamat lagi kalau cuaca lihat keadaan cuaca hari itu.

Lebih 2 jam kami mengharungi ombak gelombang yang agak tinggi juga. Kerap kali juga dihempas kuat hingga terjerit nama Allah secara spontan. Moga-moga hati bertambah takut kepadaNya. Sangat tidak patut, dengan laut yang merupakan makhluknya terasa takut dan ngeri tetapi dengan pencipta laut, pengawal geloranya, Pentadbir ombak gelombangnya sedikit pun tak takut. Hamba Allah kah ini?!

Akhirnya kami sampai ke jeti Kg Air Batang, Tioman. Di sambut oleh para team GISBH Tioman beramai-ramai RPUnya dan Abi2nya lalu terus menuju ke Chalet Ikhwan tak jauh dari situ. Alhamdulillah telah ada jambatan menghubungkan tanah GISBH dengan tanah jiran yang dipisahkan dengan anak sungai dari bukit. Motor hantar hanya melepasi jambatan tersebut lalu untuk menaiki bukit ke chalet kena mendaki berjalan kaki. Tuan Nasir minta dibina jalan dengan simen kongkrit sepanjang laluan tersebut agar motosikal boleh membawa tetamu hingga ke Chalet.

Seelok sampai, Tuan Nasir melawat setiap tempat sambil memberi panduan yang dicatat oleh para RPU dalam buku kecil masing-masing. Antaranya pulihara dan ubah suai chalet lama, bina chalet baru di dalam kawasan yang masih mempunyai pokok hutan tanpa tebang pokok-pokoknya untuk kekalkan suasana asal. Baiki dan kemaskan sistem bekalan air dengan menambah tangki air, bina beberapa kolam takungan air dengan sistem air yang mengalir terus dan dipam semula ke tangki, membina pagar keliling tanah GISBH dan dipastikan bersih hingga 1 meter luar kawasan pagar. Kemaskan pertanian dan penternakan. Membina jalan atau laluan konkrit dari chalet ke jalan utama Kg Air Batang. Dll banyak lagi.

Walaupun begitu, pesanan paling utama ialah masing-masing kena rasakan peluang yang diberikan untuk berada di Tioman sangat besar di mana setiap orang berpeluang mendekatkan diri kepada Allah, perbanyakkan taubat, menebus segala dosa dan kesalahan dan membuat pembelaan untuk Islam. Islam dihina di mana-mana, bukan sahaja oleh orang-orang kafir, bahkan oleh umatnya sendiri. Inilah masanya untuk membina chalet mesra syariat. Indah layanan. Kemudahan tip-top. Akhlak penghuninya menarik hati.

Semua yang dilihat, dipandang, dirasa, dialami oleh para tetamu menjadi terapi jiwanya. Kalau niat di hati nak berkunjung 2 malam, berubah niat jadi seminggu. Yang 10 hari jadi sebulan. Allahu Akbar!!!

Tuan Nasir pusing keliling, ke kawasan pertanian, penternakan, tangki air, kolam air, chalet, musolla, laluan-laluan lama sambil mengimbau kembali kisah beliau berkhidmat di sini awalnya seorang diri, bertemankan laut dan ombak, hutan dan pokok, unggas dan cengkerik, langit, awan dan alam seluruhnya tetapi kekuatannya kerana merasakan Allah, Rasul dan pemimpin ada bersamanya. Dia ramai dalam keseorangan hinggalah beliau bermimpi didatangi Saiyidina Abu Bakar As Siddiq. Moga para remaja di Tioman direzekikan bertemu dalam mimpi dengan roh para Nabi, Rasul, para sahabat dan aulia Allah.


Setelah makan tengahari dan solat Zuhur, kami bergerak meninggalkan Chalet Ikhwan Air Batang menuju ke Kg Tekek dengan menaiki motorsikal. Sepanjang perjalanan di Kg Air Batang, kami melalui suasana kampung di Tioman yang sangat indah kerana bersebelahan dengan pantai yang memutih. Dengan pepohon kelapa dan lainnya meredupkan persisiran pantai. Ombak kecil berlari ke tepian pantai meninggalkan buih-buih kecil halus memutih lalu hilang. Air laut yang jernih hingga nampak kelihatan apa yang ada di dalamnya. Maha Suci Tuhan yang mencipta seluruh keindahan ini.

Covid-19 menghadkan pergerakan lalu sangat memberi kesan kepada penduduk kampung di Tioman yang rata-rata bergantung kepada industri pelancongan. Tiada pelancong yang datang. Bisnes chalet dan homestay tiada customer. Peralatan skuba tiada yang nak menyewanya. Motor dan basikal sewa pun tersadai lama tiada pelanggan. Kafe dan warung seakan bangunan tinggal. Tak nampak dah pelancong orang putih berpakaian mandi sesuka nafsu. Juga pak-pak Timur Tengah berseluar pendek berspek hitam. Semuanya berubah. In-come merosot teruk. Dunia kurang masyuk. Poket dan dompet menipis. Moga iman dan takwa menebal. Tanpa maksiat, ditambah dengan ujian kesusahan begini, kalau masih tidak mahu tunduk kepada Allah… NAHAS kita semua.

Di Kg Tekek, kami naik Ford Raptor GISBH. Kenderaan 4WD Ikhwan yang banyak membantu aktiviti staf GISBH di sini. Tuan Nasir ambil Abang Mie, kenalan lama beliau berjalan-jalan sambil berbual bertanya khabar ke Kg Juara dan patah balik ke Tekek. Abg Mie banyak mengimbau sejarah keberadaan Tuan Nasir di Tioman. Antaranya jasa staf-staf Ikhwan mengajar mengaji anak-anak di Tioman hingga ramai di kalangan mereka pandai mengaji dan Fardhu Ain hasil didikan para Ikhwan. Itu semua awal 2000’an.

Menurut seorang kawan anjang, dia pernah ke Tekek pada tahun 1979, ketika itu ziarah bakal abang ipar yang mengajar di sana iaitu arwah Cikgu Sabri Danuri abang kepada arwah Dr Zulnaidi Danuri yang baru minggal baru-baru ini di Kuantan. Menurutnya, otai-otai kampung di sana mesti masih ingat lagi arwah Cikgu Sabri kerana beliau adalah satu-satunya guru yang memakai serban semasa mengajar di sana ketika itu. Ertinya Tioman memang telah ada benih kebaikan dari dulu lagi.

Setelah menaiki bukit sampai menghampiri air terjun, kami berpatah balik ke Kg Tekek dan menurunkan Abg Mie untuk segera kembali ke Kg Air Batang memandangkan ada sebahagian kami akan menaiki bot jam 4.30 untuk ke Mersing.

Kami berkumpul di jeti Air Batang sebelum bergerak menaiki bot masing-masing ke Mersing dan kemudian sebuah lagi ke Tanjung Gemok. Selamat tinggal RPU dan Abi-Abi Tioman, hingga bertemu lagi. Singkat sangat pertemuan kali ini tetapi ianya penuh keberkatan InsyaAllah. Ada hadis yang mafhumnya, “…Dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah, akan mendapat lindungan Arasy di padang mahsyar kelak…” Begitulah juga dua golongan yang bertemu dan berpisah, tiada lain hanya kerana mengharapkan keredaan Allah, demi meninggikan syiar agama Allah, InsyaAllah sentiasa dalam catatan amalan kebaikan…. Aamiin…

Kami kembali ke tanah besar bersama cabaran lambungan dan hentakan ombak Laut China Selatan…

Rumah Tetamu GISBH Muar
4.07pm, Feb 28, 2021.

Klik untuk tonton video. Sila subscribe, like dan share sebagai tanda sokongan.

anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: