Qatar – Silaturrahim; Ziarah-Dakwah-Tijarah GISBH terkini

Kongsikan kepada yang lain
Share
YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali ketika bertemu dengan Syeikh Yousif Al-Jaber

Qatar – Silaturrahim; Ziarah-Dakwah-Tijarah GISBH terkini

Salam ceria.
Setelah melawat projek-projek perniagaan GISBH di Saudi, Mesir, Turki, Bosnia, Uzbekistan dan U.A.E. juga bertemu kenalan-kenalan GISBH di sana, Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali mengunjungi negara Qatar pula.

Inilah kunjungan kali pertama beliau dan rombongan GISBH ke sini iaitu seramai 8 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Mereka adalah Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Tuan Nik Hazani, Tuan Fadhil Yasin, Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Harun Taat, Tuan Suhaimie Mohammad, Tuan Syurahbil Amran, Puan Azura Mohd Yusof dan Puan Anisah Morad.

Qatar ialah sebuah negara yang terletak Asia Barat. Ia bersempadan di darat hanya
hanya dengan negara Saudi iaitu di sebelah selatan dan berkongsi sempadan maritim dengan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Iran.‏ Ia seperti semenanjung di tengah-tengah Pantai Barat Teluk Farsi, Barat Daya Asia.

Keluasannya kurang 11,586 km2 lebih kecil dari keluasan Negeri Johor. Bahasa rasminya ialah Bahasa Arab tetapi Bahasa Inggeris dituturkan secara meluas. Jumlah penduduknya ialah seramai 2,908,978 orang (Anggaran 2021) sedangkan orang Qatar sendiri hanya seramai lebih kurang 313 ribu orang sahaja. Peratusan kumpulan Etniknya (2020):

  1. India: 25%
  2. Qatar: 12.1%
  3. Bangladesh: 10.7%
  4. Sri Langka: 5.6%
  5. Pakistan: 4.8%
  6. Lain-lain: 52.5%
    Rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia adalah seramai 5000 orang. Kebanyakkannya bekerja dengan syarikat Oil & Gas dan jurutera berkaitan pembinaan. Hampir kesemua mereka adalah dari golongan profesional selain staf kedutaan dan peniaga.

Nilai Matawang Riyal Qatar ialah QAR1=RM1.14, ertinya lebih tinggi dari nilai RM. Dengan bilangan penduduk asli yang sangat sedikit dan pendapatan negara yang terlalu banyak, rakyat Qatar menduduki tangga tertinggi di dunia dari segi kuasa membeli untuk individu. Pada skala peratusan, kuasa beli warga Amerika ialah 100, dan warga Britain ialah 75.7, manakala warga Qatar mempunyai kuasa beli 187.1.

Bendera Qatar

Di Qatar, rombongan GISBH menyewa kenderaan sebuah pacuan 4 roda Land Crusier dan sebuah kereta mengelilingi seluruh bandar Doha. Antara tempat yang dikunjungi ialah pasar awam Qatar. Di sini kami dapat melihat harga ikan segar yang berpatutan malah ada yang sangat murah. Ikan tenggiri dalam RM17/kg, ketam bunga pula berharga RM5-8/kg. Di samping meneliti harga-harga hasil laut sebagai persiapan apabila membuka restoran nanti, rombongan GISBH mengambil peluang beramah mesra dengan para peniaga di pasar tersebut sebagai usaha dakwah dan perhubungan.

Menelusuri dan ‘explore’ seluruh pelusuk bandar Doha ini dapat memberi gambaran kepada kami suasana pembangunan yang pesat oleh Qatar dalam khasnya sebagai persiapan Piala Dunia 2022. Alangkah baiknya jika jiwa para pencinta Rasul di Qatar juga giat membuat persiapan lahir dan roh untuk menjadikan Qatar Hub Ekonomi Umat Islam sedunia.

Jamuan bersama Syeikh Yousif Al-Jaber

Syeikh Yousif Al-Jaber merupakan warga tempatan Qatar. Beliau baru berumur 40 tahun tetapi mempunyai banyak syarikat antaranya syarikat pembersihan yang mempunyai 700 orang pekerja bahkan beliau mempunyai hartanah di Turki bernilai jutaan USD. Beliau terlibat dengan Dewan Perniagaan Qatar.

Di Qatar Chamber ini beliau dilantik sebagai Pengerusi International Businesses Delegation yang merancang untuk mengadakan sidang kemuncak ‘Delegasi Perniagaan Antarabangsa’ dengan menjemput 90 ahli perniagaan antarabangsa dari India, Filipina, Mozambique, Bangladesh, Nepal, Kanada dan Malaysia, mewakili lebih daripada 35 sektor. Ia sepatutnya diadakan pada 28hb April 2019 tetapi ditangguhkan kerana wabak Covid-19. Pun begitu beliau sempat pergi ke Malaysia dan berkenalan dengan GISBH di Kuala Lumpur serta mengalu-alukan kedatangan GISBH ke Qatar.

Apabila mengetahui rombongan GISBH berada di Qatar, Syeikh Yousif mempelawa untuk meraikan seluruh ahli rombongan di sebuah restoran Lubnan di bandaraya Doha tidak jauh dari Kedutaan Malaysia. Restoran mewah ini terletak di atas bukit buatan manusia yang bukan sahaja telah ditanam rumput-rumput dan pokok-pokok yang menghijau malah dibuat anak sungai berbatu yang mengalir airnya. Di bahagian anjung luarnya pula mempunyai view laut dan bangunan-bangunan tinggi di Doha yang sangat indah dan menarik.

Syeikh Yousif juga menjemput rakan-rakan perniagaannya yang berada di Qatar dari Sweden, India dan Filipina untuk berkenalan mesra dengan kami. Kami dijamu makan juadah Arab Lubnan di dalam restoran dan penutup dengan jamuan manisan di anjung bahagian luar. Suasana menghijau di sini dengan suhu petang 23°C seakan-akan rombongan berada di Malaysia.

Di dalam perbualan, Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Tuan Nik Hazani dan Ibu Azura banyak bertanya maklumat berkaitan negara Qatar dan sudut perniagaan dan politik. Menurut beliau, ketika negara-negara Arab sekeliling memutuskan hubungan dengan Qatar, Turki negara pertama memberi pelbagai bantuan hatta ketenteraan dalam berhadapan dengan sekatan. Ketika sekatan ini Qatar menghadapi masalah bekalan banyak bahan mentah dan makanan kerana selama ini terlalu bergantung kepada jiran-jirannya. Ketika itulah Qatar mengenal siapa lawan dan kawan di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah Malaysia termasuk negara yang membantu Qatar. Sebab itulah orang Qatar sangat menghormati rakyat Malaysia.

Menurut Syeikh Yousif, Qatar menjadi lebih kuat dari sebelum sekatan kerana belajar dari pengalaman. Pertahanan, pertanian, ternakan dan semua bidang ditumpukan secara drastik. Contohnya bila bekalan susu bermasalah di pasaran akibat sekatan, Qatar mengambil langkah mengiksport lembu tenusu dan membuka ladang ternakan lembu susu berskala besar di sini dan memproses sendiri susu segar dan produk tenusu ‘Made in Qatar’. Hasilnya bekalan susu berlebihan di pasaran lalu Qatar mengorak langkah mengeksport produk tenusu ke negara yang memerlukannya. Lihat, dalam ujian ada nikmat. Ujian Allah kalau pandai menerimanya, ia mempunyai hikmah yang tersembunyi yang sangat baik untuk kita.

Bersambung….

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *