Profesor sanggup terbang dari AS, peluk Islam di Malaysia

Kongsikan kepada yang lain
Share

Georgetown: “Selama lebih 20 tahun saya bergaul dengan orang Islam dan tertarik melihat tingkah laku serta cara mereka membawa diri dalam masyarakat,” kata John Nash Houchen, 56, yang sanggup ‘terbang’ dari Kentucky, Amerika Syarikat (AS) untuk memeluk agama Islam di Pulau Pinang baru-baru ini.

Bekas profesor dalam bidang ekonomi di Universiti Winconsin itu melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah pejabat pesuruhjaya sumpah di Bandar Perda, Bukit Mertajam dibimbing Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md Lazim pada Isnin lalu.

Beliau yang bersara sebagai ahli akademik pada akhir tahun lalu berkata, seorang rakan berasal dari Iran ketika bertugas di universiti itu pada tahun 90-an banyak mempengaruhinya dan mereka kerap berbual mengenai topik berkaitan Islam malah masih berhubung sehingga kini.

“Dia lebih berusia daripada saya dan meskipun berdepan kehidupan mencabar di AS, dialah paling baik, penyabar dan sangat menghormati tetamu berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah tinggal bersamanya.

“Saya menemukan nilai-nilai yang sama ditunjukkan pelajar Islam lain termasuk dari Malaysia yang mengikuti kelas saya suatu ketika dulu. Kehidupan mereka nampak teratur dan cara bercakap sangat sopan,” katanya ketika ditemui di Pusat Islam Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nash Houchen, beliau mempunyai kenalan rapat di Pulau Pinang yang banyak membantu urusannya memeluk Islam dan kini sedang mengikuti pengajian agama di Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam, dekat sini, selain turut bercadang terus menetap di negeri ini.

Beliau yang gemar makan sate dan rendang mengaku tertarik dengan sikap berbudi bahasa rakyat Malaysia dan berasa tidak kekok menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat setempat.

“Sebenarnya saya pernah berkunjung ke Pulau Pinang tidak berapa lama sebelum Covid-19 melanda dan apabila sempadan negara dibuka saya mengambil kesempatan kembali semula ke sini untuk meneruskan hasrat berhijrah yang tertangguh.

Lebih istimewa, ketika dalam perjalanan ke Malaysia saya berkesempatan mendengar bacaan Al-Quran dalam pesawat. Terasa indahnya walaupun saya tidak pernah membaca ayat suci itu sebelum ini dan ia menguatkan keyakinan saya untuk memilih Islam sebagai jalan hidup,” katanya yang turut meminati aktiviti sukarelawan dan pernah aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, ahli keluarganya bersikap terbuka apabila mengetahui hasratnya bertukar agama dan dia sentiasa menghubungi mereka dari semasa ke semasa menerusi aplikasi panggilan video.

“Pertama kali melafazkan kalimah syahadah pada Isnin lalu saya berasa gementar walaupun pada malam sebelumnya saya sudah hafal cara sebutan dalam bahasa Arab berserta maksudnya.

“Tetapi selepas selesai saya berasa tenang. Saya akui terlalu banyak maklumat yang perlu saya ambil masa untuk faham dan perkara pertama yang saya buat selepas menjadi Muslim ialah belajar solat dan cara-cara mengambil wuduk.

“Terima kasih kepada semua yang membantu. Saya merasakan ada kekuatan muncul dalam diri untuk terus optimis menjalani kehidupan mendatang,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghulur bantuan bersesuaian serta membimbing saudara baru yang sedang dalam proses mengenali ajaran Islam.

“Pemantauan juga akan dilakukan mengikut keperluan agar golongan ini tidak terasa bersendirian atau ditinggalkan terkapai-kapai selepas beroleh cahaya hidayah,” katanya.

Kredit: hmetro.com.my

Disiarkan pada: Mei 27, 2022 @ 3:27pm

AM: Hidayah taufik milik Allah. Allah boleh beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan Allah boleh tarik dari sesiapa yang Dia kehendaki. Kena takut dengan Allah. Orang Amerika dapat hidayah di Malaysia. Allah boleh sahaja tarik nikmat besar ini dari sesiapa di kalangan umat Islam yang tidak bersyukur dengan nikmat yang paling besar ini iaitu nikmat iman dan Islam.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *