Sembelihan perempuan sah atau tak?
Salam ceria.
En Uqbah Abd Razak dari Sarajevo bertanya kepada anjang betul ke sembelihan orang perempuan tidak boleh dimakan oleh orang lelaki, hanya boleh dimakan sesama perempuan sahaja?
Anjang terkejut sebab tak pernah dengar ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam perkara-perkara seperti ini. Kalau ada pun yang dibincangkan adakah sembelihan seorang perempuan itu sah atau tidak? Kalau sah, sesiapa pun boleh makan, kalau tak sah, semua orang tak boleh makan tak kira lelaki atau perempuan.
Tapi elok juga kita tambah ilmu bab ini, lebih-lebih lagi kita nak masuk bulan Haji, bulan Zulkaedah di mana ada ibadah korban yang sunat dilakukan oleh umat Islam sebagai mengenang sejarah Nabi Allah Ibrahim AS yang diperintahkan Allah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.
Satu sejarah yang sangat pilu bila dikenang bila melihat ketaatan yang luar biasa seorang yang Allah jadikannya kesayangan
ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًا
Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
An-Nisa’: 125
Cintanya pada Allah sangat luar biasa, tiada perkataan ‘tidak’ pada kekasihnya. Allah perintahkan baginda membawa isteri dan anak kecil ke tanah kering kontang di Bakkah (nama lama Mekah). Arahkan tinggalkan isteri dan anak di padang pasir tersebut. Datang melawat hanya setahun sekali. Kemudian datang perintah untuk korbankan anak kecilnya itu. Semua arahan itu ditaati tanpa sedikit pun keraguan. Dahsyatnya hati mereka. Jadikan hati-hati kami seperti hati-hati mereka.
Kembali kepada isu sembelihan wanita dalam Islam, di dalam satu hadis riwayat Ka’ab Bin Malik, beliau menceritakan :
أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا
Maksudnya :”Seorang wanita menyembelih seekor kambing menggunakan batu. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW tentang sembelihan tersebut. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan untuk makan sembelihan yang dilakukan wanita tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5504)
Di satu hadis yang sama cuma ada sedikit perbezaan lafaz,
أَنَّ جَارِيَةً لِكَعْبِ بْنِ مَالِكٍ كَانَتْ تَرْعَى غَنَمًا بِسَلْعٍ فَأُصِيبَتْ شَاةٌ مِنْهَا فَأَدْرَكَتْهَا فَذَبَحَتْهَا بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ كُلُوهَا
Ertinya, “Seorang hamba perempuan Ka’ab bin Malik pernah menggembalakan kambing di Sala’. Lalu salah seekor di antaranya menderita sesuatu (mungkin sakit atau cedera) lalu hamba itu menangkapnya dan menyembelih kambing itu dengan batu (Batu tajam). Kemudian ditanya mengenai hal itu kepada Nabi SAW, maka Nabi Muhammad SAW berkata, ‘Makanlah kambing itu,’” (Imam Al-Bukhari: 5081)
Imam An-Nawawi mengatakan:
“Tidak syak lagi bahawa sembelihan wanita adalah halal. Ini berdasarkan hadis Ka’ab yang dinyatakan oleh pengarang (As-Syirazi) di dalam kitab Muhazzab. Sembelihan lelaki lebih baik dari sembelihan wanita sepertimana yang disebutkan oleh pengarang sendiri. Sama ada wanita itu merdeka, hamba, dalam keadaan haid atau nifas, muslimah atau kitabiah kesemua sembelihan mereka sah dan halal dimakan. Ini yang dinyatakan oleh Imam As-Syafie dan para ulama mempersetujuinya.” Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/86)
Cuma sembelihan ahli kitab pada anjang sekarang telah tiada kerana ahli kitab itu sendiri telah tiada kerana kitab-kitab yang mereka imani telah diubah dan selewengkan.
Kesimpulannya, sembelihan yang dilakukan oleh wanita adalah sah dan halal dimakan. Disyaratkan ia seorang muslimah selagi dia memiliki kemampuan dan memenuhi syarat penyembelihan pada lazimnya. Ertinya, masalah penyembelihan haiwan bukan isu jantina penyembelih, tetapi terletak pada persoalan kemampuan. Adakah dia tahu ilmu menyembelih dan mampu melaksanakannya.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa sembelihan lelaki lebih afdal daripada wanita. Perkara ini mungkin dilihat dari sudut kekuatan dan kemampuan menyembelih binatang kerana haiwan ternak ada besar dan sebahagiannya garang seperti lembu, kerbau dan unta tentulah majoriti lelaki lebih mampu daripada wanita.
Mudah-mudahan penerangan ini memberi pencerahan kepada kita semua. Salam Aidil Adha, moga Allah bantu kita dalam semua urusan.
PPI BCH
7.51am, Jun 25, 2022