GISBH menyertai MAPIM dalam misi bantuan mangsa Gempa bumi Turkiye

Kongsikan kepada yang lain
Share

GISBH menyertai MAPIM dalam misi bantuan mangsa Gempa bumi Turkiye

KLIA, SEPANG 07.02.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten Abdul Rahim Pfordten hadir di Majlis Pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Gaziantep Turkiye dan Syria oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini malam ini.

Majlis pelepasan tersebut telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad bin Alamin.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby menyatakan penghargaan kepada Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan GISBH di atas sokongan dan penyertaan GISBH dalam misi tersebut.

Bagi menyokong usaha-usaha MAPIM dalam misi bantuan gempa bumi Turkiye, GISBH telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM 100,000. Selain itu, dua buah kenderaan Motorhomes GISBH bersama 6 orang pegawai akan menyertai rombongan pasukan MAPIM ke kawasan yang terjejas oleh gempa bumi terburuk di Turkiye dalam tempoh 100 tahun yang berukuran 7.9 magnitud.

Kenderaan Motorhomes GISBH akan berkhidmat membantu pasukan MAPIM dan bergerak bersama ke lokasi bencana. Ia akan menjadi penginapan mudah alih selama misi bantuan diperlukan. Rombongan MAPIM disertai 11 orang anggota dan empat pengamal media.

Ahmad Sani berkata, bagi misi bantuan ini MAPIM memperuntukkan dana pendahuluan berjumlah RM1 juta dan bantuan yang akan disalurkan meliputi bantuan asas seperti khemah, selimut dan keperluan lain.

Di majlis tersebut, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menyatakan, usaha membawa keluar 13 rakyat Malaysia yang terperangkap di beberapa wilayah terlibat gempa di selatan Turkiye sedang giat dijalankan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YAS KPj. (PA) Aminurrahim Bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pegawai-pegawai dari MAIWP dan lain-lain agensi.

Moga segala usaha yang dibuat diberkati oleh Allah Taala kerana Rasulullah SAW pernah menyatakan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

kredit: Ikhwanews

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *