IFPSB, PTPPG tandatangani MoA, bina empayar bekalan ayam
IFPSB, PTPPG tandatangani MoA, bina empayar bekalan ayam
13 Jun 2023 02:37pm
GLOBAL Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) menerusi Ikhwan Fateh Poultry Sdn Bhd (IFPSB) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama PT. Putra Perkasa Genetika (PTPPG) sebagai usaha dalam membina empayar bekalan ayam di negara ini.
Pengerusi Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali berkata, usaha itu secara langsung dapat mewujudkan tabungan bekalan ayam dalam negara sekaligus membantu kerajaan dari segi keterjaminan makanan.
“Di GISBH ini kami dah buat penyelidikan, cari pengalaman berkenaan hal ayam ini sudah lebih lima tahun termasuklah kami tengok di Turkiye, Mesir macam mana (pengurusannya). Rupanya baka ayam ini kita tengok, tidak ada orang Islam yang menguruskan.
“Empayar ayam itu maksudnya kita ada bekalan dan makanan, maknanya itu milik kita. Macam Eropah dan sebagainya, mereka ada (ayam) milik mereka sendiri, tetapi atas nama orang Islam, kita tidak ada.
“Jadi ini cita-cita dalam GISB untuk mewujudkan satu empayar ayam yang sekarang kita dah berjalan dan hampir 90 peratus dan tunggu mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar beliau, perjanjian tersebut disaksikan sendiri oleh Menteri Pertanian Republik Indonesia, Dr Syahrul Yasin Limpo di sebuah hotel di Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada Jumaat.
Menurutnya, MoA itu juga bagi mengelakkan harga ayam daripada dimonopoli oleh golongan kapitalis di negara ini.
“Maknanya sebagai orang Islam, kita boleh kawal harga dan bagi (bekalan ayam) kepada semua orang, bukan seperti syarikat kapitalis. Sesetengah orang bila ada lebihan ayam, mereka bakar ayam dan sebagainya, itu yang kita pernah dengar.
“Dalam Islam, kalau ada lebih maknanya kita ada tabungan ayam. Kita dah senaraikan nama-nama orang miskin ini, kita bagi (anak ayam) pada mereka, buat macam penternakan ayam kontrak.
“Lepas itu, kita bagi makanan dan sebagainya, mereka tinggal jaga (anak ayam) sahaja. Kemudian, kita ambil balik, jadi tidak ada sebab kenapa kita perlu bakar anak-anak ayam,” ujarnya.
Kredit: sinarharian.com.my