Bustan Al Mustazall, Bi’ru ‘Azaq & Rumah Sahabat

Kongsikan kepada yang lain
Share
Rumah Saiyidina Kalthum bin al-Hadam

Jalan-jalan Buru Berkat

Salah satu tempat yang patut diziarahi di Madinah al-Munawwarah kerana keberkatannya ialah Bustan al-Mustazall yang terletak tidak jauh dari Masjid al-Quba’. Ia adalah tempat bersejarah tetapi telah menjadi kawasan persendirian yang dibangunkan untuk tujuan pelancongan.

Di tempat inilah Rasulullah SAW berehat sebelum masuk ke rumah Saiyidina Kalthum bin al-Hadam di mana Saiyidina Abu Bakar RA melindungi Rasulullah SAW dengan ridaknya.

Ketika berita rombongan Hijrah Rasulullah SAW telah menghampiri Bandar Yathrib, kaum Aus dan Khazraj di kalangan penduduk Yathrib telah keluar ke desa-desa di pintu masuk Yathrib menanti ketibaan Nabi SAW. Apabila cuaca terlalu terlalu panas, mereka akan pulang ke rumah masing-masing. Berhari-hari mereka menunggu ketibaan Rasulullah SAW penuh kerinduan. Begitulah hati penduduk asal Madinah terhadap Rasulullah SAW, walaupun belum bertemu, telah berputik kerinduan.

Di sini baginda mempersaudarakan di antara Kaum Aus dan Khazraj

Apabila rombongan benar-benar sampai mereka menyambutnya dan memuliakan mereka. Diriwayatkan, oleh kerana Rasulullah SAW sangat merendah diri, bergaul dengan semua orang tanpa ada perbezaan, malah pakaian dan keterampilan juga tiada bezanya maka majoriti penduduk Yathrib tidak dapat membezakan di antara Saiyidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Mereka tertanya-tanya, yang mana satu Rasulullah?

Moga Allah jadikan kita memuliakan pemimpin seperti Saiyidina Abu Bakar memuliakan Rasulullah SAW

Apabila cuaca terlalu panas, Saiyidina Abu Bakar membuka ridaknya dan memayungi baginda dengannya maka tersingkaplah hikmah Allah, tahulah penduduk Yathrib bahawa yang memayungi itu Saiyidina Abu Bakar RA dan Rasulullah SAW sedang dipayungi kerana kelihatan jelas sifat seorang pengikut sedang memuliakan pemimpinnya, berkhidmat dengan Nabinya SAW.

Mengambil air dari Telaga ‘Azaq di Bustan Mustazall yang pernah Rasulullah SAW minum dan berwudhu’ darinya.
Moga keberkatan air telaga ini dapat menguatkan kita bermujahadah terhadap godaan nafsu syaitan.

Bertambah terasa roh perjuangan baginda dan Sahabat utamanya di Bustan ini bukan sahaja kerana mereka baru sahaja sampai dari perjalanan Hijrah yang jauh, sukar dan mencabar bahkan di sinilah berlakunya peristiwa baginda mempersaudarakan di antara kaum Aus dan Khazraj yang telah begitu lama bermusuhan malah sentiasa berperang. Rupa-rupanya, anak kunci perpaduan itu bila umat Islam dapat cinta Allah dan Rasul lebih dari segala yang lain, maka bukan sekadar jauh hati, bersenget hati, kata mengata, hina menghina malah mereka yang pernah berbunuh-bunuhan pun boleh jadi saudara. Indahnya Islam pencinta Rasul sangat berbeza dengan Islam ahli politik.

Tuhan! Dengan keberkatan rumah Sahabat Nabi yang pernah baginda singgah tajamkan takwa kami.
Sebab apa Tuhan kekalkan? Agar kita pandai mengambil keberkatan..
Lihat dindingnya yang sangat tebal…

Di sini juga terdapat sebuah telaga yang sangat berkat kerana Rasulullah SAW menggunakan airnya untuk bersuci dan baginda meminum airnya. Berkat baginda SAW, hingga kini airnya masih ada cuma mulut telaganya telah ditutup dan air dipam naik ke sebuah kolah untuk diambil. Anjang berpeluang menadah terus air yang berkat ini dari mulut salurannya yang besar mengeluarkan air jernih membuak-buak. Airnya sejuk dan sedap diminum juga agak sedikit payau. Niatlah macam-macam kebaikan ketika meminumnya seperti:

“Ya Allah, dengan berkat air telaga ‘Azaq (عذق) yang Rasulullah SAW pernah minum di sini, anugerahkan aku hati Para Sahabat yang sangat mencintai Rasulullah SAW dan saling berkasih sayang sesama mereka. Tajamkan takwaku agar menjadi benteng diri…”

Inilah mulut telaga yang telah ditutup tetapi ada paip besar dan pam untuk mengepam air ke kolah di atas.

Alhamdulillah, Allah izinkan juga anjang melihat rumah seorang Sahabat Rasulullah SAW dari kalangan pemimpin orang Ansar bernama Saiyidina Kalthum bin al-Hadam (كلثوم بن الهدم). Rupa-rupanya nama Kalthum ini digunakan untuk orang lelaki di negeri Arab. Seperti Maisarah juga nama lelaki. Tetapi di Malaysia rasanya digunakan untuk orang perempuan. Iman di negeri Arab juga nama perempuan.

Rasulullah SAW, Saiyidina Abu Bakar dan penunjuk jalan, Amir bin Fuhairah bertamu di rumah Saiyidina Kalthum bin al-Hadam yang ketika itu belum memeluk Islam. Lihatlah kepemurahan Ahli Madinah, walaupun belum Islam tetapi tiada prejudis terhadap Nabi Muhammad SAW malah menerimanya sebagai tetamu. Berkat sungguh rumah Saiyidina Kalthum kerana Rasulullah SAW dan Saiyidina Abu Bakar bertamu di sini. Rupa-rupanya Allah kekalkan agar kita mengambil sebanyak-banyak keberkatan untuk menghidupkan roh demi membela perjuangan Rasulullah SAW hingga akhir hayat. Menangislah wahai hati apabila jatuh pandangan matamu ke susunan batu-batu lama yang menjadi dinding rumah yang berkat ini kerana mereka pernah berkhidmat kepada seorang Rasul, sedangkan kamu wahai diri, apa jasa kamu membela agama Nabimu?!

Saudara Abu Bakar mengenakan bayaran 10 Riyal untuk memasuki kawasan Bustan yang berkat ini.

Di sini juga terdapat 150 batang pohon kurma dengan lebih 20 jenis tamar. Ada juga ternakan kambing dan unggas untuk menghidupkan suasana. Bila ditunjukkan video Ladang Unta GISBH di Hudaibiyah kepada Saudara Abu Bakar, tuan Bustan Mustazall ini, (keluarganya memajak tanah ini sejak jangka masa yang lama) beliau sangat tertarik dan ingin meniru konsep GISBH untuk membela unta dan ternakan lain yang boleh mengembalikan ingatan para pengunjung kepada Rasulullah dan para sahabat.

Selamat tinggal tanah penuh berkat Bustan Mustazall, moga kerberkatan baginda dan para sahabatnya terus melekat di hati kami. Ada rezeki kita bertemu lagi.

Villa GISBH Madinah

9.44am, Nov 23, 2019

Video Bustan Mustazall

anjang

Seorang hamba Allah yang sedang berusaha mendapatkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi.

One thought on “Bustan Al Mustazall, Bi’ru ‘Azaq & Rumah Sahabat

  • November 26, 2019 at 7:49 am
    Permalink

    Luar biasa! Sangat menginspirasi saya untuk segera menunaikan umroh di Mekkah semoga disegerakan…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: