Muhyiddin PM ke-8

Kongsikan kepada yang lain
Share

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan esok.

“Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, perlantikan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Proses seterusnya ialah istiadat pengurniaan suratcara perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, pada jam 10.30 pagi esok.

“Seri Paduka bertitah, proses perlantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat, khususnya agensi kerajaan, keselamatan dan media.

Kemelut politik negara tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meletakkan jawatannya pada 24 Februari lalu.

Kredit: BHOnline

AM: Orang politik tetap orang politik. Tapi PM ke 8 ini dari keluarga alim ulama seperti PM ke 5. Moga ada keberkatannya. Pastu orang Muar. Kira dekat dengan AM. Jalan Bakri pula sama macam anjang. Ayahnya Cikgu Md Yasin sangat terkenal di sekitar Muar bagi generasi Anjang la, bukan generasi Syed Siddiq.

Ini sebahagian sejarah ayah beliau:

*Ayahanda kepada Tan Sri Muhyiddin salah seorang Tokoh Ulama Johor Darul Takzim

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin – Ulama dan Pendidik dihormati di Muar

Nama lengkap ulama yang menetap di Muar ini ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad.

Diriwayatkan beliau berasal dari Siak, Sumatera. Beliau merupakan ayahanda kepada Tan Sri Dato’ Muhyiddin Muhammad Yassin. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin lahir pada tahun 1902 Masehi dan meninggal dunia ketika berusia 73 tahun di Muar, Johor. Sepanjang hayatnya, beliau dikatakan mempunyai 46 orang anak, hasil perkongsian hidupnya dengan 4 orang isteri iaitu Allahyarhamah Hajjah Maznah binti Daud, Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Kassim yang merupakan ibu kandung Tan Sri Dato’ Muhyiddin, Allahyarhamah Hajjah Sapiah binti Abdullah dan Allahyarhamah Hajjah Kintan binti Ibrahim.

Kebanyakan ahli keluarga Tuan Guru Muhammad Yassin kini menetap di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar, Johor. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin adalah seorang pendakwah dan guru yang sangat gigih. Beliau banyak mengajar di daerah Muar seperti di Masjid Jamek Muar, Masjid Parit Jamil, Masjid Seri Menanti, Masjid Bukit Gambir, Masjid Bukit Kangkar dan Masjid Sungai Mati Muar. Adakalanya, beliau mengajar sampai ke Chohong Melaka yang merupakan sempadan antara Melaka dan Muar.

Pengajaran beliau kebanyakannya tertumpu kepada kitab-kitab Tasawwuf dan Ilmu Tauhid.

Untuk tujuan mengajar, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin akan dibawa menaiki kereta yang dipandu oleh anak beliau sendiri iaitu Allahyarham Haron bin Mohd. Yassin iaitu antara anak beliau yan tertua dari isteri yang pertama. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan agama khususnya di sekitar Muar amatlah besar. Beliau telah mengasaskan dua buah sekolah untuk tujuan penyebaran ilmu kepada anak-anak tempatan.

Sekolah tersebut ialah:

1. Sekolah Menengah Md. Yassin di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar. Sekolah ini adalah merupakan sekolah persendirian yang diasaskan beliau. Anak beliau seperti Allahyarham Ismail Mohd. Yassin pernah menjadi Guru Besar di sekolah itu manakala anak-anaknya yang lain seperti Allahyarham Kamaruddin Mohd. Yassin, Fatimah Mohd. Yassin dan Baharuddin Mohd. Yassin pernah mengajar di sekolah tersebut sekitar tahun 70-an dahulu.

2. Sekolah Arab Saadiah di Batu 1 1/2 Jalan Bakri. Sekolah ini mengambil pelajar-pelajar lelaki dan perempuan untuk mengikuti pelajaran dalam bahasa Arab.

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin menadah kitab kepada ulama besar Muar satu ketika dahulu iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dikatakan telah berhasil mengkhatamkan beberapa kitab terkenal di Alam Melayu dibawah pengawasan gurunya itu. Antara kitab yang berjaya dikhatam dihadapan gurunya itu ialah Faridatul Faraid karangan masyaikh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal di Alam Melayu pada abad ke-19 Masehi.

Gurunya iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar inilah yang banyak mempengaruhi corak pemikiran beliau. Pandangan beliau terhadap gurunya seperti yang dicatatkan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah diungkapkan seperti berikut,

“Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.”

Murid-murid lain yang telah menimba ilmu dengan gurunya itu ialah seperti Tan Sri Mohamed Noah. Tan Sri Mohamed Noah adalah sepupu kepada gurunya itu dan merupakan ayah mertua kepada Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua). Murid gurunya yang lain ialah seperti Datuk Haji Mohd. Noor, ayah kepada Datuk Haji Juma’at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebagai seorang ulama dan pendidik yang berwibawa, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh penting selepasnya. Antaranya ialah seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Osman Azhari yang telah mengasaskan Khaujakan Johor dan mempunyai pengikut yang bertaburan di serata negeri Johor.

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *