TUAN PLP GISBH BERWAJAH BARU

Kongsikan kepada yang lain
Share
COVID-19 memberi peluang kepada seluruh umat Islam membaiki dan menghalusi ibadah khusus mereka dengan Allah kerana masing-masing berkurung di rumah. Ianya sangat berkesan untuk mengelak dari terjangkit wabak yang sedang menular ganas di seluruh dunia.
Itulah hikmahnya Allah datangkan penyakit berjangkit yang boleh membawa kematian ini. Ia pula sangat mudah berjangkit di antara sesama manusia tidak seperti denggi yang kena melalui perantaraan nyamuk. Bukan juga AIDS yang melalui hubungan jenis atau perkongsian jarum suntikan.

Hanya melalui cecair iaitu air liur pesakit yang telah dicemari oleh virus ini terkena di mulut, hidung atau mata orang yang sihat, lalu virus ini dibawa masuk ke tekak seterusnya ke paru-paru maka dengan mudahnya seseorang itu dijangkiti dan menghadapi risiko sesak nafas dan menemui kematian.

Tapi percaya tak, ada penyakit lain yang lebih ganas dari Covid-19. Ia menjangkiti banyak orang di dunia illa man rohima Robbi.
Itulah penyakit hati atau mazmumah dan di antaranya hasad atau dengki dalam Bahasa Melayu. Iaitu penyakit tak boleh menerima atau tak reda sesuatu nikmat yang Allah beri pada orang lain. Hatinya (sebenarnya nafsunya) sakit sangat. Hatinya yang berpenyakit itu bertambah sakit lalu dia berusaha untuk menghilangkan nikmat itu dari orang yang dia dengki.
Agar nikmat itu berpindah padanya. Kalau tak berjaya pindah padanya, nikmat itu hancur binasa itu lebih dia sukai. Biar sama-sama tak dapat. Haaa punyalah busuk hati. Sebenarnya dia bukan tak puas hati pada orang itu tetapi tak setuju dengan Allah kerana setiap nikmat Allah yang tentukan kepada siapa Dia anugerahkan dan berapa banyak kadarnya. Ada ke manusia yang bahagia bila menentang Allah dan ketentuan-Nya? Sudah tentu tiada.

Contohnya ada orang yang sakit hati bila Allah pilih seseorang menjadi pemimpin. Orang itu ditaati pengikut. Orang itu disayangi. Orang tersebut diberi penghormatan malah ramai orang yang sanggup berkorban, bersusah payah demi pemimpin yang dicintai ini, maka timbullah hasad dengki di hatinya. Dia merasakan dirinya lebih layak menjadi pemimpin. Kenapa dia tidak dipilih.

“Mereka tak nampak ke siapa aku, aku kaya, pandai cari duit. Keturunan aku lebih mulia. Aku lebih layak memimpin. Mengapa mereka jadikan pemimpin orang-orang yang hina begini!” Mungkin begitulah gejolak di hati mereka yang dengki.

Allah ada ceritakan kisah mereka yang pernah berlaku di dalam sejarah. Firman Allah:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوٓا۟ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِٱلْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ ٱلْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُۥ بَسْطَةً فِى ٱلْعِلْمِ وَٱلْجِسْمِ ۖ وَٱللَّهُ يُؤْتِى مُلْكَهُۥ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Begitulah sifat pemuka Bani Israel. Sifat orang-orang yang hasad dengki. Tak setuju dengan Tuhan. Tak boleh terima ketentuan Tuhan sebab ego. Sebab rasa diri lebih mulia dan sempurna.

Sebenarnya sejarah penyakit hasad dengki ini terlalu lama. Lebih awal ribuan tahun dari covid-19. Ia bermula dari sejarah kejadian bapa bani manusia iaitu Nabi Adam AS lagi. Allah ceritakan dalam Al Quran, apabila Allah ciptakan Nabi Adam AS, Allah perintahkan seluruh malaikat sujud memuliakannya. Seluruh malaikat patuh kepada perintah Allah lalu terus sujud memuliakan Nabi Adam kerana taatkan Allah kecuali Iblis maka Allah bertanya:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُۥ مِن طِينٍ

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

Al-A’raf: 12

Lihat ego merosakkan seseorang dan diikuti dengan dengki. Selama ini dia menjadi ketua para malaikat tiba-tiba ada makhluk lain yang baru sahaja diciptakan tiba-tiba diarahkan semua yang lain memberi penghormatan kepadanya. Dah la dicipta dari tanah pastu dimuliakan. Ego dan dengki menghilangkan kebahagiaannya hingga sanggup derhaka perintah Allah.

Begitulah setiap zaman, akan ada manusia ego dan bermazhab Al Hasadi. Sentiasa rasa dirinya lebih mulia, lebih betul dan tak puas hati dengan kejayaan orang lain lalu sanggup langgar ketentuan dan arahan Allah.

Ada orang tak puas hati dengan orang pakai serban, maka dihina-hina serban. Tapi ni bukan jenis yang hendak nikmat berserban itu pindah padanya, dia memang membencinya. Pantang betul kalau tengok orang berserban. Sakiiit je hatinya.

Ada orang yang tak boleh tengok orang berjubah. Hatinya sakit. Kenapa kita perlu berjubah? Ini pakaian Arab. Kita orang Melayu. Berpada-padalah. Macam-macam hujahnya. Tapi bila orang pakai kot dan neck tie dia tak bising pula. Orang pakai track suit dia senyap je. Malah dia pun terlibat. Inilah jenis hasadiah.

Ada orang tak boleh tengok pakaian ada logo capal. Dia tak puas hati orang sibuk nak gunakan lambang capal Nabi. Macam itu satu kesalahan pula. Malah macam kesalahan yang sangat berat. Capal je pun. Tapi, hati dah sakit capal pun tak boleh terima. Macam-macam usaha dibuat demi semua orang tidak memakai lambang capal Nabi. Pakai logo swastika, logo 1 Malaysia, Levis, Adidas, Nike, Apple dll tak apa. Yang penting jangan logo capal. Dengki giler! Hilang kewarasan dan musnah kebebasan yang kononnya diperjuangkan.

Dulu orang benci furdah. Dengki betul dengan muslimah berfurdah, tak bersalam dengan lelaki bukan mahram, tak bergambar bersebelahan lelaki bukan mahram dan menjaga jarak, tak keluar rumah kecuali ada hal yang sangat penting. Pada mereka semua itu ketinggalan zaman, jumud, zaman padang pasir, hantu kum-kum, hantu stokin, ninja dll. Pada mereka perempuan kena bersaing dengan lelaki. Dengki betul dia dengan perempuan bertudung labuh dan berfurdah.

Hari ini Allah jadikan, bukan setakat perempuan, lelaki pun pakai mask muka dah macam furdah. Kalau tak pakai satu kesalahan. Bukan sahaja tak boleh bersalam lelaki dengan perempuan bukan mahram malah sesama lelaki pun tak boleh bersalam dan menjaga jarak. Keluar rumah satu kesalahan, boleh ditangkap dan didakwa. Kecuali ada sebab yang dibenarkan. Sekarang siapa keluar rumah, siapa yang tak tutup muka merekalah yang ketinggalan zaman dan jumud. Sedarlah, Allah boleh buat manusia ikut arahannya samada secara sukarela atau terpaksa.

Oleh itu buanglah perangai ego dan dengki. Jangan jadi Iblis atau Bani Israel. Akuilah ada orang yang Allah pilih untuk diberi nikmat kepimpinan, harta, kecantikan, merdu suara, ketampanan wajah, disayangi ramai, dimuliakan. Semuanya kehendak Allah. Nak menentang Allah ke? Ada ke dalam sejarah orang yang menang perang dengan Allah?

Nak bersihkan hati dari mazmumah seperti ego dan hasad ini kena melalui penghayatan sembahyang. Sembahyang yang difahami setiap apa yang dibaca dan dihayati. Sebaik-baiknya berjemaah. Solat berjemaah itu kenalah rapat-rapat dan lurus safnya. Tak merapatkan saf boleh membatalkan pahala saf. Bahkan menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, fadhilat jama’ah pun tidak diperolehi. Ada disebut dalam al-Fatawa al-Kubra (I/226):

يُكْرَهُ عَدَمُ تَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ وَحَيْثُ تَرَكُوا فُرْجَةً فَلَا تَسْوِيَةَ وَهَذَا مَكْرُوهٌ من حَيْثُ الْجَمَاعَة فَتَفُوتُ فَضِيلَتُهَا

“Makruh tidak meluruskan saf. Dan sekiranya makmum meninggalkan lubangan saf, maka itu tidak meluruskan saf. Dan ini adalah makruh dari sisi jama’ah, sehingga boleh membatalkan fadhilatnya”.

Tetapi kalau tidak merapatkan itu kerana keuzuran ia tak membatalkan pahala saf dan fadhilat jemaah.

Jadi di masa sukar begini, sembahyang di rumah je la. Ke masjid dan surau pun bukan boleh rapatkan saf.

Walaupun ada keuzuran tapi lebih baik solat jemaah di rumah. Rapatkan saf betul-betul dan luruskan saf sembahyang bersama anak isteri dan keluarga. Itu lebih utama di masa kini. Samakan pergerakan sembahyang. Jadikan sembahyang berjemaah itu sumber kekuatan dan kesatuan keluarga. Keluarga yang kuat dan bersatu dapat membina masyarakat yang kuat. Dari masyarakat yang kuat dan bersatu padu inilah datangnya negara yang kuat dan disegani. Lagipun memang ada larangan keluar rumah dari kerajaan. Yang sibuk nak sembahyang di masjid tu kenapa? Selama ni memang belum rapat betul, tambah ada covid -19 ni, kena jarak 1 meter. Baik sembahyang di rumah. Rapat-rapatkan saf anak-anak dan isteri-isteri (bagi yang poligami dan tinggal serumah) Sembahyanglah berjamaah di rumah. Lurus dan rapatkan saf dan rapatkan hati-hati anda dan keluarga semuanya.

Firman Allah,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka

At-Taharim: 6

GISBH Krubong Perdana, Melaka.

8.05 AM, Mac 29, 2020

P/s Untuk makluman semua, gambar di atas adalah foto terkini Tuan PLP GISBH dengan pakaian (jubah) baru dan songkok baru. Ini adalah iklan contoh pakaian yang akan dijual tak lama lagi sempena Hari Raya Aidil Fitri. Saudara-saudari, walaupun dalam kita menghadapi covid-19, niaga tetap niaga. Pakaian ini dan seumpamanya adalah atas nama badan korporat GISBH. Anjang pun nak satu kalau macam ni…

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *