‘Pemecatan ini adalah salah!’, kata Tun Dr Mahathir dan empat yang lain
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir berserta empat yang lain yang baharu digugurkan daripada parti Bersatu enggan menerima pengguguran mereka yang dianggap satu pemecatan yang salah serta bertentangan dengan undang-undang.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan bersama pada lewat Khamis malam, Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, akan menggunakan saluran undang-undang untuk mempertahankan hak mereka.
Jelas kenyataan itu juga, mereka tidak bersetuju dengan tindakan bahawa keahlian mereka itu dalam PPBM terhenti serta merta apatah lagi tidak memberikan hak kepada mereka untuk membela diri.
“Melalui surat bertarikh 28.05.2020, telah dinyatakan bahawa kami berlima telah kononnya melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. Dakwaan yang terkandung di dalam surat berkenaan adalah bahawa tindakan kami berlima mengambil kedudukan di Parlimen pada 18.05.2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan menyebabkan kami melanggar perlembagaan parti Bersatu.
“Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” jelas kenyataan tersebut.
Mereka juga turut menyatakan bahawa terdapat kecelaruan dalam pengurusan parti itu ketika ini di mana surat pengguguran keahlian itu ditandatangani oleh individu yang tidak sepatutnya.
“Ia ditandatangani oleh individu yang tidak diberikuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan Bersatu ditadbir secara profesional. Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang diantaranya adalah para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab,” antara kandungan kenyataan yang turut dikongsikan kepada media.
Kelima-lima mereka juga bertekad untuk mengembalikan semula Bersatu ke landasan yang betul dan tidak lagi digunakan sebagai oleh mereka yang tamakkan kuasa dan kedudukan .
AM: Anjang tak mendalami perlembagaan mana-mana parti kerana tiada keperluan untuk itu. Kalau dahulu di dalam UMNO, Anjang kira perkara begini hampir mustahil berlaku kepada Tun Mahathir selaku seorang negarawan yang banyak berjasa kepada Malaysia Moden.
Tetapi zaman telah berubah, era kini semuanya tidak sama seperti dahulu. Di kala generasi lama ingat jasa-jasa Tun M seperti menjadikan Malaysia terkenal dengan projek Petronas Twin Tower, Fomula 1, Jambatan Pulau Pinang, prasarana PLUS dll ada di kalangan generasi lama juga dan generasi baru mengorek skandal-skandal ekonomi yang pernah berlaku di zaman Tun M seperti Forex, BMF, Perwaja Steel dan anak-anak Tun yang kaya raya.
Sebenarnya Umat Islam satu dunia telah lama menggunakan track musuh dalam berjuang. Politik mereka gunakan demokrasi, semua kena akui, demokrasi lebih banyak lahirkan perpecahan dari perpaduan. Parti yang nama Bersatu pun dah tak bersatu lagi. Ekonomi guna track kapitalis, kena pendamik Covid-19, merudum ekonomi. Akhlak tiru penduduk negara yang dikatakan maju, hilang akhlak Islam yang indah. Akhirnya dunia tak dapat, akhirat lebih-lebih lagi. Marilah kita kembali kepada Allah dengan mengejar ketakwaan agar selamat dunia akhirat.
KP Melaka
11.27AM, Mei 29, 2020