Takutkan Isteri Punca Rosaknya Kepimpinan

Kongsikan kepada yang lain
Share


Takutkan Isteri Punca Rosaknya Kepimpinan

Bukan ramai suami-suami yang takut dengan isteri tapi ramai sangat. Tapi siapa sahaja yang berani mengakuinya. Maka dicipta kata-kata untuk memaniskan suasana; “Saya tak takutkan isteri, cuma masalahnya isteri tak takutkan saya.”

Seorang doktor falsafah berasal dari Turki, kawan kepada Dr Hisham At Tamimi, ketika ditanya kepadanya, “Berterus teranglah, antara Allah dan isterimu, siapa yang kamu lebih takut.” Dia menundukkan kepalanya sebentar seakan-akan berat menanggung soalan itu lalu mengangkatnya perlahan-lahan, “Aku lebih takutkan isteriku, kerana Allah itu Ghafurrurahim, rahmat-Nya luas mendahului kemarahan-Nya. Sedangkan isteriku apabila marah, tiada rahmat langsung.”

Begitulah ragam hidup berumah tangga di akhir zaman ini. Ramai yang berkata, jika seorang suami itu berpangkat Mejar dalam tentera, di rumah isterinya seolah-olah berpangkat jeneral. Di kem dia seperti singa lapar, pulang ke rumah ia menjadi seekor kucing yang manja. Bertaring tidak menggigit, kuku disimpan tidak mencakar kerana singa di rumah lebih power.

Begitulah seterusnya, kalau suami DIGP, isteri di rumah IGP. Kalau suami DCP, isterinya berlagak CP. Kalau suami GM di kilang, marah sana, marah sini. Tengking sana, tengking sini. Di rumah, isterinya MD. Suami menikus. Hatta para Ustaz yang bercakap berdegar-degar di atas pentas, balik rumah kena syarah dek isteri, tak berhenti-henti, kelu terus, hilang nas Quran dan Hadis.

Bila ia berlaku, sebenarnya kepincangan telah terjadi dalam masyarakat itu. Di akhir zaman ini, ramai orang melayan kehendak nafsunya. Takut kepada Allah telah hilang dari hati. Akhirnya, nafsulah yang meransang dan mendorong. Kehendak nafsu itu tidak bertepi atau tidak pernah puas dan ia lebih cenderung berbuat jahat.

Firman Allah,
Bermaksud, “Sesungguhnya nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.”

Banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang fitnah wanita kepada lelaki.

“Daripada Usamah bin Zaid R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” 

Dalam hadis yang lain baginda bersabda,

Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan fitnah wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.”

Dan Imam Al Nawawi Rahimahullah ketika mengulas Hadis ini menyatakan:
“Jauhkanlah diri kamu dari terfitnah dengan dunia dan juga wanita.” 

Imam Nawawi menyebutkan bahawa fitnah perempuan ini bukan terhadap perempuan yang di luar rumah sahaja, tetapi juga isteri, bahkan fitnah isteri ini termasuk fitnah besar bagi kaum lelaki, kerana isteri sentiasa bersamanya.

Fitnah wanita itu bukan sahaja kerana kecantikannya yang merangsang nafsu, suaranya yang menggoda tetapi lebih dari itu. Apabila seseorang lelaki telah jatuh hati kepada seorang wanita lebih dari segala-galanya, dia telah menjadi tawanannya. Mula-mula sayang, kemudian takut. Takut melukakan hatinya, takut dia merajuk, takut dia tak layan, takut kehilangannya. Akhirnya dia sentiasa menurut kehendaknya tanpa memikirkan baik buruknya.

Kalau dia ketua keluarga, pincanglah keluarga itu kerana semua keputusan di tangan isteri. Bagaimana kalau dia ketua jabatan? Ketua pertubuhan? Presiden parti? Lebih-lebih lagi jika dia perdana menteri.

Dia sayangkan isteri secara melampau hingga takut untuk bercanggah pendapat dengannya apa lagi menentang kehendaknya. Isteri tidak pernah dididik, segala kehendaknya dituruti walaupun melampau-lampau. Contohnya dibiarkan ‘shopping’ tanpa had. Bermewah-mewah dengan barang kemas dan aksesori peribadi hingga membazir dan boros. Akhirnya negara pun tergadai. Ramai yang hilang kepercayaan.

Di Malaysia berlaku macam-macam isu berkaitan isteri seorang pemimpin sebahagiannya benar-benar berlaku, sebahagiannya ditokok tambah. Perlu kita fahami, bukan mudah nak tokok tambah kalau memang tiada asas. Orang Melayu kata, “Kalau tak ada angin, masakan pohon bergoyang.” Bila seorang isteri dibiarkan berkuasa dalam rumah tangga, boleh membuat keputusan dalam pelbagai perkara hingga terlepas satu rakaman suara, “Can I advice you something?”, maka rosaklah bangsa itu.

Ada satu hadis Rasulullah menjelaskan:

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً

Maksudnya: “Tidak beroleh kemenangan mana-mana kaum yang melantik urusan mereka di kalangan wanita.”

Malah ada ayat yang dengan jelas menerangkan lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.

Ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa : Ayat 34

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Maksudnya: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia menjadi tanda tanya, tiada seorang pun pemimpin politik yang menyuarakan pendapat ini iaitu, “Jatuhnya kepimpinan negara kita adalah berpunca daripada isterinya sendiri!” Kerana apa? Sebab semua pemimpin berhadapan dengan masalah yang sama iaitu tidak mampu meng’kontrol’ isteri masing-masing. Akibatnya isteri boleh mempengaruhi seorang suami walaupun atas keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat. Maka pincanglah Satu kepimpinan bilamana suami takutkan isteri.

Allah berfirman yang bermaksud:
Hai orang-orang Mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.”

Oleh itu, para suami mestilah membina kewibawaan diri, membuktikan keterampilan kepimpinanya dengan mampu mendidik dirinya, isteri dan anak-anaknya agar keluarganya menjadi model di tengah masyarakat, barulah layak dia memimpin bangsanya.

Vila GISBH Mekah

8.35pm, Okt 8, 2021

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *