Maruah Melayu siri i – Bersatu Akidah

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria..

Kali ini kita bahaskan bab maruah Melayu. Sebab apa? Setelah ada kesedaran yang agak menyeluruh terhadap urusan Fardhu Kifayah dengan kempen #BMF, ada tanda-tanda bersatu sesama umat Islam, Allah izinkan pula diadakan Kongres Maruah Melayu. Walaupun anjang di Istanbul tapi tetap follow program ini.

Siapa tak suka kalau bangsanya jadi kuat, berkasih sayang, berwibawa, dihormati di seluruh dunia? Semua bangsa suka. Begitu juga, tiada bangsa yang suka bangsanya dihina, dizalimi, dinafikan hak-hak mereka, ditipu, dikhianati ketika berada di tanah orang, lebih-lebih lagi jika memang berada di tanah tumpah darah mereka sendiri.

Persoalannya, setelah bersidang, apakah maruah kita semakin tinggi atau sebaliknya. Antara ciri-ciri bangsa bermaruah ialah ia bersatu padu. Adakah setelah berhimpun kita semakin bersatu atau semakin berpecah? Atau ketika Tun M berucap pun kita sedang protes di hati. Apakah difahamkan bersatu ‘bagaimana’ yang kita kehendaki? Adakah diberi step by step bagaimana caranya untuk bersatu sesuai dengan kefahaman yang sama tentang taarif bersatu?

Adakah ada contoh keluarga yang bersatu? Jemaah yang bersatu? Parti yang bersatu? NGO yang bersatu? Pertubuhan yang bersatu? Yang boleh dijadikan contoh oleh semua orang yang ingin bersatu. Ada ke?

Mari kita mengaji. Tak salah kalau kita ada ilmu, kita tambah ilmu. Kita bertukar-tukar fikiran. ‘Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.’

Bila menyebut tentang bersatu, kita fokuskan di sini tentang orang Melayu. Di dalam perlembagaan Malaysia, bila di sebut istilah Melayu ialah:

“Orang Melayu yang tinggal di tanah Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan istiadat melayu dan beragama Islam”.

Dalam banyak-banyak tu, pada anjang yang paling penting ialah tentang beragama Islam kerana ia melibat dunia akhirat kita.

Mari kita lihat, apa kata Islam tentang bersatu?

Konsep bersatu dalam Islam telah ditetapkan bentuknya. Dalam Al Quran Allah berfirman:

‎وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ

Maksudnya: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.”

(Ali Imran : 103)

Allah tak kata, bersatulah kamu dalam satu parti. Allah tak sebut bersatulah dengan sama-sama dalam satu pertubuhan atau organisasi atau syarikat tetapi Allah minta bersatu dengan Tali Allah.

Tali Allah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini ialah Agama Allah (Syariat Islam) sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam Al Quran dan Rasul dalam Sunnahnya. Allah telah memerintahkan kita bersama-sama berpegang teguh dan bersatu kukuh dalam Islam dan Dia melarang kita berpecah-belah.

Secara detailnya dapat dihuraikan konsep bersatu itu menjadi lima perkara iaitu Bersatu Akidah, Bersatu Syariat, Bersatu Akhlak, Bersatu dalam perkara-perkara khilafiah, Bersatu dalam menilai kawan dan lawan.

Mari kita bahaskan tajuk yang pertama:

1. Bersatu Akidah

Keyakinan dan pegangan kita mesti tepat sebagaimana yang dikehendaki dalam iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu meyakini keenam-enam rukun Iman dengan sebenarnya.

Yakin kepada Allah dan semua sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil dan yang harus bagi Allah. Yakin kepada 10 malaikat sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran. Yakin kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Yakin kepada 25 Rasul yang disebutkan dalam Al Quran. Yakin kepada hari akhirat dan yakin kepada qada’ dan qadar semuanya datang dari Allah Taala.

Oleh itu semua umat Melayu, kalau ingin jadi bangsa bermaruah dengan benar-benar bersatu, walaupun anda berada di dalam apa-apa organisasi sekalipun mesti memiliki syarat pertama bersatu iaitu kena bersatu dalam persoalan aqidah. Kalau dalam satu-satu pertubuhan atau parti hatta dalam satu keluarga sekalipun tetapi berbeza akidah, Islam tidak mengitirafnya sebagai bersatu.

Bersatu ni mesti ikatan jiwa. Ikatan iman dan keyakinan. Sekadar satu parti, tapi perkara paling asas iaitu bab akidah pun tak sama, itu berkumpul, bukan bersatu. Berkumpul dalam satu parti atau organisasi. Berhimpun kerana ada kepentingan bersama. Allah berfirman di dalam Al Quran:

تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ

Kamu menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka).

Al Hasyar: 14

Jangan bina jiwa bersatu berdasarkan bangsa, kita akan gagal seperti gagalnya parti Melayu terbesar yang telah memerintah negara ini (dengan gabungan parti lain) bedekad-dekad lamanya. Mereka bukan sahaja gagal mempertahankan kuasa, malah menjadi punca perpecahan bangsa Melayu kepada parti-parti yang lain. Ia jadi penyebab menambah lemahkan Umat Islam di Malaysia.

Bila ada gelombang #BMF yang menyatukan Umat Islam agar mengutamakan barangan dari pengusaha Muslim, maka seluruh masyarakat yang peka sedar bahawa Umat Islam telah lama ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Maaf cakap, mana ada Mall di mana-mana bandar besar atas nama parti Melayu yang dah berkuasa sejak merdeka. Itu tandanya tidak bersyukur atas nikmat kuasa yang Allah beri. Patutnya atas nama kuasa yang telah Allah pinjamkan bukan sekejap, bukan setahun dua, lebih 60 tahun, telah ada beratus Mall atas nama parti Melayu untuk memberi khidmat kepada anak bangsa sendiri. Tetapi gagalnya para pemimpin mendidik rakyat khasnya ahli parti sendiri maka lahirlah generasi yang bersikap semua perkara nak bergantung kepada bantuan kerajaan. Lepas itu kita salahkan mereka. Sebenarnya dua-dua pihak bersalah. Rakyat dan pemimpin tetapi pemimpinlah yang lebih bersalah kerana gagal mendidik rakyat.

Mana ada kilang-kilang yang mengeluarkan produk makanan atas nama Parti Islam walhal ahli parti jutaan orang. Ramai tapi tak kuat. Macam buih-buih di pantai. Tak perlu kayu balak hempap, cukup lidi sebatang pun boleh meruntuhkan gunung buih. Sepatutnya dengan jutaan ahli seluruh negara, setiap bulan boleh buka kilang baru. Buka kilang makanan tu bukan agama ke? Agamalah sangat, Fardhu Kifayah tu. Tapi kenapa tak buat? Sebab tak bersatu. Satu parti pun tak bersatu. Kerana tak tau bersatu itu bagaimana. Kalau semua ahli berhenti merokok dan bajet rokok itu dikumpul pun dah banyak persoalan Fardhu Kifayah umat ini selesai. Tapi pemimpin tak mampu mendidik ahli. Sangat berkepentingan. Undi diminta. Bila dah jadi pemimpin tak bertanggung jawab membawa ahli kepada Allah. Bertahun-tahun makan minum ahli parti tak diteliti halal, haram atau syubhah.

Sebab itu bersatu ni syarat pertama dan utama kena bersatu akidah. Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bukan Wahabi, bukan Syiah, bukan liberal, kena sama-sama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Setelah akidahnya betul, dididik lagi hingga mendarah mendaging. Hingga takut pada Allah subur di hati. Rindukan Rasul meresap di jiwa. Seluruh rukun-rukun iman benar-benar di yakini dan dihayati dalam kehidupan. Orang yang begini kalau diberi apa-apa tanggung jawab sekalipun dia tetap akan laksanakan dengan bahagia walau bagaimana sukar sekalipun kerana dia yakin semuanya untuk Tuhannya, semuanya ada nilai Akhirat. Semuanya dalam catatan Roqib dan Atid. Dia tidak akan khianat, rasuah, boros, membazir dan lain-lain kerana rasa takutnya pada Tuhan menjadi pengawal dirinya.

Inilah syarat pertama untuk bersatu. Bersatu akidah. Adakah pemimpin politik ambil port perkara ini? Tak. Ambil sekadar kepentingan politik sahaja. Tak benar-benar mendidik ahli parti bahkan dengan sebab politiklah banyak berlaku perpecahan.

Syiah itu asalnya bukan persoalan akidah. Ia asalnya pendapat politik. Mereka mengatakan Saiyidina Ali lebih utama dari Saiyidina Abu Bakar dalam soal kekhalifahan. Tetapi akhirnya menjadi akidah hingga mengkafirkan sahabat-sahabat besar. Begitu juga Khawarij asalnya bukan perpecahan akidah tetapi politik, lama kelamaan menjadi akidah yang sangat merbahaya. Bukan tidak ada sejarah dalam Islam yang patut jadi pengajaran agar tidak terlalu fanatik dengan politik. Bahkan di Malaysia, belum lama sejarah Amanat seorang pemimpin parti politik Islam yang memecah belahkan masyarakat Islam hingga sembahyang 2 imam, kafir mengkafir dan lain-lain. Oleh itu bersatu untuk membela maruah Melayu sama sekali tidak boleh berasaskan bangsa dan politik, ia bahkan akan menambah hancurkan perpaduan.

Bersatu dalam Islam ada konsepnya. Ia mesti bermula dengan bersatu akidah. Orang yang sama-sama mengejar cinta Allah, mereka tidak akan berpecah dan berbalah. Akan timbul ukhuwah dan kasih sayang.

Ingatlah, di dalam satu-satu kumpulan atau satu-satu organisasi

atau di dalam sebuah masyarakat bila masing-masing ada kepentingan dunianya dan masing-masing hendak menjaga kepentingan masing-masing, jangan anggap boleh bersatu!

Hanya boleh bertemu. Malah ketika bertemu lagi masing-masing telah protes macam-macam, betapa lagi bila pulang dan bersosial media dengan FB, Twitter dan lain-lain. Apa yang anjang baca ramai yang kembali maki hamun, tidak puas hati, mengkritik yang keterlaluan dsb. Bolehkah maruah Melayu terbela dengan cara begini?

Bersambung…. Maruah Melayu siri ii

Villa GISBH Istanbul

9.08pm, Okt 7, 2019

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

3 comments

  1. Assalamualaikum Anjang. Terima kasih bnyk2 atas kupasan yg mantap, mudah difahami & meresapi. Tksih juga kpd Tn Sy Yusof Hamid yg respon pantas selepas
    Subuh.
    Puas sya google cari senarai 5 resolusi Kongres Maruah Melayu. x jumpa. Yg jumpa hnya bincang2 cakap2 debat2.
    Lumrah lepas meeting ada meeting lebih panjang diluar meeting yg xde kesudahan.
    Susah Klu xde bersatu dlm pemikiran…

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *