Maruah Melayu Siri iv – Bersatu dalam Perkara-perkara Khilafiah

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Parlimen telah bermula. Pemimpin-pemimpin lantikan majoriti rakyat Malaysia telah mula bersidang. Bermacam-macam isu diperbahaskan. Kita pula di blog AM, masih belum selesai membahaskan tentang Maruah Melayu.

Allah jadikan pula ada kes pembunuhan kejam melibatkan kematian dua jiwa, seorang ibu muda berumur 27 tahun dan seorang anak lelaki berumur 11 tahun. Mayat mereka di potong 8 dan dicampakkan di beberapa tempat berasingan di semak samun.

Mari renungkan kejadian yang tragis ini. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita semua. Apakah Allah telah mula mencabut rahmatnya dari hati-hati orang Islam?

Saiyidina Umar Al Khattab sewaktu memegang jawatan sebagai khalifah kedua atau Amirul Mukminin pernah menangis di malam hari merintih pada Tuhan,

Dalam riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya, Saiyidina Umar berkata:

‎” لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطِّ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ” .

Jikalau seekor kambing biri-biri mati tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang Allah SWT akan bertanyaku pada Hari Kiamat mengenainya”.

Begitu sekali hati pemimpin yang dipilih Allah melalui pilihan majoriti orang yang baik-baik. Saiyidina Umar tinggal di Madinah Al-Munawwarah, yang diingat, yang dibimbangkan, yang ditakuti bukan keadaan di Madinah dan sekitarnya sahaja tetapi seluruh kawasan pemerintahannya hingga ke Iraq. Sangat jauh. Bukan di bandar besar tapi di tepi sungai. Bahkan bagi orang yang ada rasa takut dengan Tuhan, ada rasa bertanggung jawab, bukan sahaja manusia yang dibimbangkan malah nasib seekor kambing biri-biri pun beliau risaukan.

Bagaimana boleh sesat? Bagaimana boleh mati? Kehausan ke? Bukankah ada sungai? Makan rumput yang tercemar ke? Ada yang menzalimi ke? Bila ada rasa di hati, timbul prihatin dan ingin membantu, paling kurang pun berdoa. Berhubung dengan Allah agar Allah pelihara semuanya. Memohon keampunan pada Allah, akan nasib kita di hadapan-Nya nanti sebab yang telah mati, telah selesai urusan mereka di dunia. Kita yang masih hidup ini, akan Allah tanya, apa yang kamu buat? Terutama para pemimpin. Untuk menjadi pemimpin yang adil, contohilah hati Saiyidina Umar RA, sangat takut dengan Allah. Kematian biri-biri yang diandaikan pun membuatkan beliau ketakutan.

Kita sekarang, pembunuhan telah terjadi. Yang dibunuh manusia bukan kambing. Mangsa ialah wanita dan kanak-kanak yang patut dilindungi. Dengan cara yang sangat kejam pula. Apa perasaan kita sebagai pemimpin? Tak rasa apa-apa? Tak takut Allah tanya di akhirat kelak? Selagi tidak kuat akidah tidak akan dapat perasaan takut begini.

Akhirnya dengan jawatan, kita cinta dunia. Kita minta rakyat hadkan kereta hanya 2, motorsikal hanya 2 sedangkan kereta kita berlambak-lambak. Jenama mewah, Ferrari, Lamborghini, Bugatti, Mercedes, Rolls-Royce, Jaguar, Porsche. Untuk apa semua ini. Untuk bermegah? Firman Allah:

أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ

حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ 

Bermegah-megah telah melalaikan kamu. Hingga kamu masuk kubur.

Allah larang kita bermegah-megah kerana banyak kesan buruknya. Antaranya kita membina dan menambah jurang dengan rakyat biasa khasnya yang miskin dan papa kedana. Sistem berkasta yang telah lama dihapuskan, kita pula membinanya kembali yang akhirnya membina permusuhan di hati rakyat. Bertambah-tambah lagi jika kita terpalit dengan tuduhan rasuah dan pecah amanah atau terbukti tidak menunaikan janji semasa kempen pilihanraya. Inilah hasil demokrasi. Kita hanya meneruskan track yang telah musuh sediakan. Sudah pasti kita tahu hujungnya di mana… Umat Islam wajib membina track mereka sendiri. Track takwa yang Allah jamin dengan bantuanNya.

Seorang kenalan baru, Datuk Zul yang berkunjung ke Istanbul ada berkongsi cerita kawannya yang mempunyai 99 buah kereta mewah. Jangan kata tak ada orang yang begini di tengah masyarakat. Kita tak rasa keperitan rakyat yang ada di antara mereka bukan punyai 2 motorsikal, nak makan pun susah.

Mari kita bersatu mengangkat maruah kita, maruah Melayu yang telah bangkrap ini kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Setelah kita bahas bab bersatu akidah, bersatu syariat dan bersatu akhlak, mari kita bersatu bab seterusnya:

4. Bersatu dalam Perkara-perkara Khilafiah

Di dalam Islam ada perkara-perkara yang Ulama sepakat tentang hukum-hukumnya tetapi ada juga perkara yang tidak sepakat kerana bersandarkan kepada dalil-dalil yang berbeza atau berbeza cara istinbatkan hukum dan lain-lain. Untuk perkara yang sepakat ulama, hendaklah kita semua sama-sama sepakat tetapi ada beberapa perkara yang mereka berbeza pendapat dan perkara itu pun memang dalam kategori boleh berbeza pendapat maka kita kena bersatu bagaimana untuk bersikap.

Kita kena bersikap terbuka, lapang dada dan bertoleransi dalam masalah khilafiah. Hendaklah kita fahami bahwa Islam memperbolehkan dan membenarkan adanya perbezaan pendapat dalam masalah furu’iyah tanpa mengganggu atau merosakkan persoalan asas (pokok) Islam itu sendiri.

Nabi SAW pernah bersabda:

Maksudnya: “Perbezaan pendapat di antara umatku adalah mendatangkan rahmat. “ (Riwayat Al Baihaqi)

Dalam hadis yang lain dari Ibnu Abbas berbunyi:

Maksudnya: “Perbezaan di antara sahabatku bagi kamu adalah suatu rahmat. ” (Ehya’).

Kerana itu sikap kita terhadap hal-hal khilafiah hendaklah sama-sama kita terima dan jangan dijadikan isu sensitif dan menjadi sebab persengketaan.

Di antara perkara-perkara khilafiah seperti doa qunut, talkin mayat, tahlil, kenduri aruah, sambutan Maulidur Rasul, tawassul, ziarah kubur dan lain-lain. Semua umat Islam kena menerima bahawa persoalan ini adalah perkara khilafiah yang dibenarkan berbeza pendapat. Kita kena menerimanya dengan lapang dada.

Tidak boleh jika kita tidak menerimanya kita halang orang lain yang menerimanya lebih-lebih lagi menuduh mereka ahli bid’ah, syirik, sesat dan bakal masuk neraka. Itulah maksud bersatu dalam perkara khilafiah.

Jika masyarakat Islam semua benar-benar faham maksud bersatu dalam perkara khilafiah begini, akan kuranglah perpecahan di tengah masyarakat Islam kita berpunca dari isu-isu begini dan menutup peluang musuh-musuh Islam mengapi-apikan permusuhan di kalangan umat Islam.

Kalau terus menerus ikut track yang telah musuh rancang walaupun selepas merdeka tidak mustahil nasib kita akan sama seperti Saudi. Dulu nampak terlalu kuat memegang hukum hakam Islam hingga perkara khilafiah pun tak boleh bertolak ansur. Sekarang, perkara yang jelas haram atau membawa kepada maksiat dibenarkan malah dibuat secara besar-besaran.

Warga Saudi di konsert K-Pop di Riyadh

Moga Allah pelihara kita semua dari perpecahan dan lemah kepada musuh khasnya nafsu dan syaitan.

Villa GISBH Istanbul

9.58am, Okt 12, 2019.

#MaruahMelayu

#SyaratBersatu

#BMF

#KPopDiSaudiArabia

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *