Maruah Melayu Siri v – Bersatu Dalam Menilai Kawan Dan Lawan

Kongsikan kepada yang lain
Share

Salam ceria.

Malam tadi di Restoran Nur Muhammad Istanbul Anjang bertemu sepasang pelancong dari Malaysia. Bila berbual-bual, suaminya berasal dari Muar. Aaa kira orang kampung la. Duduk kat Tanjung Mas.Tempat anjang selalu lepak ketika belajar di Sekolah Tinggi Muar, pekena rojak petis. Sudah 6 hari dia di Istanbul baru tahu ada restoran Malaysia di sini, apalagi kira ‘balas dendam’. Teh Tarik satu kemestian. Begitu juga lain-lain hidangan hingga minta cili api dari dapur sebab tak cukup pedas. Memang betul, bila jumpa orang dari satu kampung atau dari satu daerah, ketika sama-sama di perantauan, ia lebih mesra.

Sebenarnya yang payah hendak berkawan ialah ulama, kecuali kalau hatinya bersih kerana selalunya ilmu yang ada menghijab hati, datanglah rasa ego, susah berkawan dengan orang yang dirasakan mencabarnya atau lebih rendah darinya.

Adapun yang tidak setia dan kekal berkawan adalah orang politik kerana orang politik selalunya mengutamakan kepentingan diri. Dia berkawan atas dasar kepentingan diri. Bila tidak dapat kepentingan dirinya, dia sanggup hilang kawan. Malah sanggup bermusuh. Bila nampak kepentingan lebih di parti lain, dia akan melompat parti. Rata-rata orang politik memang tidak setia dan kekal berkawan.

Tapi yang mudah berkawan ialah orang yang satu negara atau kampung, sama-sama berada di tempat orang atau di negara orang. Orang lain atau masyarakat tempatan sudah tentu makanan, budaya dan lain-lain berbeza. Bila jumpa orang kampung, rasa mudah mesra kerana banyak persamaan.

Kali ini kita nak bincangkan syarat bersatu yang terakhir untuk membina kembali maruah bangsa kita agar lebih berwibawa. Setelah bersatu di sudut akidah, syariat, akhlak dan bersatu dalam menerima perkara-perkara khilafiah maka ada satu perkara lagi kita wajib bersatu agar kesatuan ini benar-benar kukuh iaitu:

5. Bersatu Dalam Menilai Kawan Dan Lawan

Kalau dalam parti kita atau dalam organisasi kita atau dalam kumpulan kita tiada kesepakatan dalam menilai kawan dan lawan kesannya ia boleh menghancurkan kumpulan kita samada jangka pendek atau panjang.

Bila tiada kesepakatan, akan berlaku, ada yang berkawan dengan musuh, ada yang bermusuh dengan kawan. Orang yang patut jadi kawan, patut kita bina hubungan, beri kasih sayang, bantu membantu, bela membela sebaliknya kita musuhi. Orang yang patut kita musuhi, berhati-hati, jaga rahsia, sebaliknya kita berkawan mesra dan ceritakan segala-galanya hingga dia tahu rahsia-rahsia kita dan mencari peluang bertindak terhadap kita. Ini sangat merbahaya.

Islam telah menetapkan siapakah kawan dan lawan, sahabat dan musuh. Maka hendaklah kita sama-sama dapat mengenalinya. Yang musuh sama-sama kita jadikan sebagai musuh dan menolaknya tanpa ada kompromi sedikitpun. Malanglah bila musuh datang dengan kata-kata manis, kita terus ‘lembik tengkuk’, ikut semua kehendaknya. Lupa yang ‘Jerat tidak pernah lupakan pelanduk, pelanduk yang selalu lupakan jerat.’

Kawan dan sahabat hendaklah kita jadikan sebagai sahabat dan sama-sama menerima sebagai sahabat, bergaul dengannya, menguatkan ukhuwah dan kasih sayang serta bermuafakat dalam urusan agama. Sekiranya ada pihak yang cuba untuk menghancurkannya, wajib kita pertahankan.

Dalam Al Quran Allah menjelaskan kepada kita siapa musuh dan siapa sahabat atau saudara kita sebagai orang mukmin. Firman Allah tentang musuh:

‎وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

 Maksudnya: “Dan tidak sekali-kali akan redha oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani itu kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (cara hidup) mereka. ”

(Al Baqarah : 120)

Firman ALLAH tentang sahabat dan saudara:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara satu sama lain, oleh kerana itu berusahalah mendamaikan kedua saudaramu yang bertikai.”

(Al Hujuraat : 10)

Di samping itu ada ayat Al-Quran yang menceritakan tentang permusuhan orang munafik kepada orang mukmin dan ada juga penjelasan dalam hadis berkaitan orang mukmin yang hasad sebagai musuh. Setiap golongan pula ada cara menghadapi mereka.

Demikianlah pengertian dan konsep bersatu dalam lslam. Dengan konsep itu Islam mengajak dan menyeru seluruh manusia bernaung di bawahnya tanpa melihat bangsa, warna kulit, bahasa, keturunan, daerah, negara dan perbezaan lahiriah lain yang palsu, yang direka oleh manusia untuk mempertahankan statusnya yang bersifat sementara itu. Walaupun pada lahirnya ada perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit di antara manusia itu, tapi apa yang Allah jadikan itu semata-mata mempunyai hikmah yang amat besar untak manusia itu sendiri, iaitu untuk tujuan saling kenal-mengenal. Firman Allah:

‎يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ

 Maksudnya: “Hai manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.”

(Al Hujuraat : 13)

Islam menyatukan seluruh manusia sedunia di bawah namanya dengan lima ikatan yang kukuh dan sejati sambil membebaskan mereka dari segala kongkongan keduniaan yang sempit dan pura-pura. Kalau semua umat Islam menerima konsep itu serta mempraktikkannya, maka itulah kekuatan hakiki yang menjamin kejayaan perjuangan yang sedang kita usahakan dan lalui ini.

Kita dah cuba bersatu atas nama keluarga, atas nama bangsa, atas nama parti, atas nama kenegerian, atas nama ekonomi, atas nama pendidikan, atas nama sukan, atas nama alumni pengajian dan lain-lain tetapi terbukti tidak berjaya. Apa yang terjadi ialah perpecahan demi perpecahan hingga sempit hidup ini kerana musuh lebih banyak dari kawan. Sudah sampai masanya kita bersatu benar-benar atas nama Allah dan Rasul.

Nanti Allah yang akan memberkati dan merahmati kita. Kalau Allah yang memberkati dan merahmati kita, adakah kuasa lain yang mampu memecahkan kesatuan kita? Sama sekali tidak! Sebab itulah kena bersatu seperti yang Allah mahu, bukan bersatu seperti yang kita mahu. Yang berlaku adalah perpecahan demi perpecahan hingga dalam keluarga pun tak mampu bersatu untuk membela Allah dan Rasul. Hidup seperti tidak berakidah. Syariat tidak dapat dipertahankan. Bergaul bebas lelaki perempuan yang bukan mahram. Makan minum tak kira halal haram. Akhlak mulia telah hilang dari diri. Dalam keadaan begini, kalau berhadapan dengan musuh pasti kita kalah. Kekalahan umat Islam selalunya bermula dari dalam. Bermula dari lemahnya umat Islam bukan kerana kuatnya musuh.

Oleh itu mari kita bersatu di atas lima prinsip ini:

1. Bersatu Akidah.

2. Bersatu Syariat.

3. Bersatu Akhlak.

4. Bersatu dalam perkara-perkara khilafiah.

5. Bersatu dalam menilai kawan dan lawan.

Villa GISBH Istanbul

5.13pm, Okt 13, 2019

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *