MALAYSIA DAPAT PERMINTAAN TINGGI

Kongsikan kepada yang lain
Share

DELEGASI perniagaan Malaysia yang menyertai Sidang Kemuncak Pelaburan Volga dan Hari Halal Dunia 2019 di Samara, Rusia baru-baru ini telah menandatangani perjanjian pelaburan bernilai AS$21 juta ((RM88.2 juta) melibatkan pelbagai sektor antaranya pertanian, keusahawanan, fintech, perkhidmatan perundingan dan kesihatan.

Presiden Kumpulan Mofaz Sdn Bhd, Mohamed Fauzy Abdul Hamid yang mengetuai delegasi itu optimis mensasarkan pelaburan lebih daripada AS$100 juta (RM420 juta) dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang mampu diraih berikutan permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia dari Komanwel Negara Bebas (CIS) yang termasuk Rusia.

“Wilayah Samara terletak di bahagian tenggara wilayah Eropah di Rusia. Dengan jumlah penduduk seramai 3.193 juta orang, Samara menawarkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan asing dan kami melihat ini sebagai pasaran baharu di dunia tanpa sempadan yang tidak boleh disia-siakan.

“Justeru, penyertaan kami bertujuan membangunkan perniagaan dan hubungan pelaburan berdasarkan prinsip dan amalan Islam di Rusia, CIS, Malaysia, negara-negara ASEAN dan negara-negara lain yang berminat terhadap industri halal,” katanya pada sidang media Pasca Sidang Kemuncak Pelaburan Volga dan Hari Halal Dunia 2019 di Wisma Mofaz, Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, potensi dalam segmen pelancongan kesihatan oleh syarikat-syarikat Malaysia dilihat turut mempunyai peluang yang besar di samping permintaan tinggi untuk produk dan perkhidmatan halal bagi memenuhi keperluan kira-kira 30 juta daripada 162 juta umat Islam di CIS yang termasuk Rusia.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, beberapa sesi padanan perniagaan telah berjaya diadakan sepanjang delegasi Malaysia berada pada acara tersebut dan dewan itu akan terus bekerjasama dengan Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa (IAIB) bagi menganjurkan Sidang Kemuncak & Sidang Kemuncak ASEAN di Rusia yang dijangka pada April 2020.

“Sebagai sebuah badan yang ditubuhkan pada tahun 2018, kami agresif mahu membantu kerajaan menjangkau negara-negara dan pihak yang ingin bekerjasama dengan Malaysia sama ada dalam bidang sosial dan ekonomi,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dewan itu mempunyai kira-kira 500 ahli dan membuka peluang kepada lebih ramai perniagaan tempatan menyertainya.

“Kami akan memainkan peranan membantu memudahkan perjalanan mereka mengembangkan jenama dan eksport mereka secara global,” katanya.

Kredit: Bisnessinar

Malaysia dapat permintaan tinggi

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *