Kunjungan Pimpinan GISBH ke atas Duta Besar Malaysia ke Turki

Kongsikan kepada yang lain
Share

Kunjungan Pimpinan GISBH ke atas Duta Besar Malaysia ke Turki

Salam ceria.
Musim sejuk di Turki ini telah lama tak anjang tempuh. Selama musim covid-19 ini anjang di Malaysia. Dulu banyak berlegar di Jordan, Turki dan Saudi. Sebelum Covid-19 balik Malaysia, terus lock down. 2 tahun tak keluar negara. Kali ini baru terasa balik sejuknya dan malamnya yang panjang.

Maghrib 5.46pm, Subuh pula 7.04am. Bukan sikit punya panjang malam dia. So, lepas Subuh, kudap lebih kurang, tak sempat sarapan kami dah gerak ke Konsulat Malaysia di Istanbul, takut terlambat sampai sebab jalanraya di Istanbul biasa sesak di waktu pergi dan balik kerja. Hari ini 23.12.2021 ada temujanji dengan TYT Duta dan Tuan CG.

salji turun memutih

Seperti yang dijangka, perjalanan yang sepatutnya hanya 40 minit telah melewati 2 jam lebih di sebabkan jalan jammed. Anjang ambil peluang melihat suasana jalanraya Istanbul di pagi hari. Sesak dengan kenderaan yang masuk ke Bandaraya Istanbul. Khabarnya, setiap hari ada 4 juta buah kereta peribadi di atas jalanraya Istanbul. Tak termasuk kenderaan milik kerajaan, syarikat, estokrat juga kenderaan awam. Giler banyak. Patutlah jammed.

Pun begitu, anjang ‘layan’ tengok kereta, teksi, metro-bas yang panjang bersambung dan mempunyai laluan khas, van, lori dan yang unik, lori-lori penolak salji yang telah siap siaga menunggu segala kemungkinan. Indahnya perjalanan kali ini kerana salji turun berterbangan, putih suci, hinggap di cermin kenderaan dan mencair. Adakala halus dan tidak banyak. Adakalanya agak kasar dan banyak. Indahnya….

Kami sampai ke bangunan di mana terletak Konsulat kira-kira jam 10.47 am. Ketika itu Salji terus turun. Setelah parking kenderaan, kami masuk ke dalam bangunan dengan mengikuti tatacara keselamatan iaitu melalui scanner, kemudian kami diminta menyerahkan paspot dan diberi kad pelawat. Dengan kad pelawat itulah kami boleh melalui laluan berpalang menuju lift.

Kami dibawa oleh pegawai bertugas ke tingkat 8 di mana terletak Konsulat Malaysia. Oleh kerana TYT Duta tidak berapa sihat, hanya 6 orang dibenarkan masuk pejabat bertemu beliau. Yang lain menunggu di Dewan mesyuarat.

Di pejabat kami dilayan penuh mesra oleh TYT Sazali Mustafa Kamal, Duta Besar Malaysia ke Turki dan CG, Tengku Mohd Dzaraf Raja Abdul Kadir, Majlis dimulakan oleh YH Dato CEO GISBH dengan sesi taaruf memperkenalkan anggota rombongan. Kemudian menceritakan peranan Malaysia bersama Turki dan Pakistan dalam menangkis Islamophobia di peringkat antarabangsa, di mana Malaysia boleh menjadi negara contoh dalam pengamalan Islam bila boleh duduk bersama pelbagai bangsa dan etnik dengan aman damai sedangkan ada negara umat Islam yang lain, walaupun satu bangsa tetapi berlaku berbagai krisis.

Dato’ Lokman berkongsi perkembangan GISBH kepada TYT Duta dan CG tentang pembelian 3 buah Motorhomes. Satu dibeli di Saudi dan 2 lagi di Dubai dan perasmiannya dibuat di Dubai.

GISBH berhasrat untuk mengadakan perjalanan darat jelajah negara-negara Teluk hingga ke selatan Turki dan bekerjasama dengan MAPIM memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria di sempadan Syria-Turki.

Puan Azura berkongsi perjalanan Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH dari Malaysia ke Haramain kemudian ke Mesir, Turki, Bosnia, Uzbekistan, UAE, Qatar, kembali ke UAE dan sekarang di Turki dalam misi menjalin Silaturrahim; Ziarah, Dakwah, Tijarah.

Dato’ CEO juga berkongsi penglibatan GISBH dalam memperkenalkan Malaysia di bidang kebudayaan Islam bila kumpulan silat dan nasyid GISBH berjaya membuat 2 kali persembahan di Pavilion Australia dan sekali di Pavilion Indonesia dan Thailand. Malah Thailand tanpa prejudis, memaparkan bendera Malaysia dan Thailand bersaiz besar di skrin stage mereka. Hingga sekarang kumpulan Generasi Harapan masih mendapat jemputan mengadakan persembahan di Dubai.

Di Turki pula GISBH banyak buat penumpuan di bidang pelancongan dengan menyediakan restoran untuk semua khasnya pelancong dan membawa pelancong mengenali sejarah keagungan Empayar Islam Uthmaniah.

TYT Duta mencadangkan GISBH meneroka tempat baru di bidang pelancongan iaitu di Rumkale yang sangat berpotensi. Kalau boleh GISBH buat hotel di situ atau paling kurang sebuah restoran dan kita kempen orang Malaysia meneroka tempat baru ini. Tuan CG juga berkongsi, setiap hari terdapat kira-kira 300 orang pelancong Malaysia di Turki. Pada beliau, sepatutnya semua pakej syarikat pelancongan ini ada sesi wajib berkunjung makan di Nur Muhammad.

Dato’ CEO berkongsi sambutan jemaah umrah yang datang ke Wadi Berkat Dato’ Ibu di Hudaibiyah, Saudi yang datang berbas-bas. Hari ini sahaja ada 300 orang jemaah umrah datang serentak ke Wadi di mana mereka boleh melihat sendiri haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW.

Tuan Nasiruddin pula berkongsi perkembangan GISBH ada membeli tanah di Tioman yang merupakan antara 10 pulau tercantik di dunia. Ia amat berpotensi untuk menarik pelancong dari Turki dan Timur Tengah yang sangat suka dengan keindahan Tioman. TYT menyarankan restoran GISBH juga menyediakan makanan Nasi Arab dan sesuai dengan selera mereka kerana para pelancong itu tentu tak mampu makan makanan tempatan berhari-hari.

Perbincangan diteruskan dalam pelbagai tajuk termasuk perniagaan runcit barangan Malaysia, ternakan ayam daging untuk dieksport ke Malaysia, pengilangan sos cili, kicap, pembuatan dodol untuk pasaran di Turki dan pendidikan. Pihak kedutaan dan Konsulat berulang kali menyatakan kesediaan mereka untuk membantu GISBH dan bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui dan amat mengalu-alukan kedatangan wakil-wakil GISBH samada di Istanbul mahupun di Ankara.

Pertemuan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan penyampaian cenderahati dari pihak GISBH. Moga Allah bantu kita semua untuk berkasih sayang sesama rakyat Malaysia dan membantu memperkenalkan Malaysia sebagai negara Islam contoh ke seluruh dunia. Aamiin ya Allah.

Restoran Nur Muhammad, Istanbul.
9.52pm, Dis 23, 2021

By anjang

Mengembara bersama GISBH di atas bumi Allah.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *